Monday, June 25, 2012

Belum ada kaedah cegah barah usus

BERHENTILAH...rokok turut meningkatkan risiko kanser usus.
BERHENTILAH...rokok turut meningkatkan risiko kanser usus.
BERSENAM...gaya hidup aktif boleh kurangkan risiko pelbagai masalah kesihatan termasuk kanser usus.
BERSENAM...gaya hidup aktif boleh kurangkan risiko pelbagai masalah kesihatan termasuk kanser usus.

KETIKA menerima berita kematian rakan sekerja akibat kanser usus baru-baru ini, ramai terkejut kerana dia masih muda belia. Belum mencecah 30 tahun pun lagi, sedangkan kanser usus diketahui umum sebagai penyakit golongan yang lebih berusia dan kebanyakannya berumur 50 tahun ke atas.

Namun dalam soal penyakit kanser, semuanya berkemungkinan. Pun begitu kes kematian akibat kanser usus di kalangan pesakit muda masih jauh lebih rendah berbanding pesakit warga senior, kata Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Dr Muhammad Azrif Ahmad Annuar.

Kanser usus adalah kanser ketiga lazim di dunia selepas paru-paru dan payudara, tetapi pesakit ada peluang hidup dalam tempoh lima tahun yang jauh lebih rendah iaitu antara 30 hingga 60 peratus jika dikesan pada tahap ketiga dan kurang lima peratus bagi tahap keempat.

Walaupun kanser usus sudah banyak kali dibincangkan tetapi masih ramai yang mempunyai pelbagai anggapan kurang tepat mengenai penyakit ini. Dr Muhammad Azrif menyenaraikan beberapa tanggapan umum seperti:


1. Saya terlalu muda untuk mendapat kanser usus.

Tidak. Sebilangan pesakit yang datang mendapatkan rawatan untuk kanser usus terdiri daripada golongan muda, malah ada yang berumur 17 tahun. Namun biasanya pesakit seperti ini mengalami masalah genetik yang membuatkan mereka mendapat kanser usus pada usia muda walaupun tidak mempunyai sebarang faktor risiko atau sejarah keluarga.


2. Lelaki lebih berisiko mendapat kanser usus.

Ya. Risikonya tinggi sedikit berbanding wanita. Bagaimanapun ini bukan bermakna wanita terlepas daripada ancaman kanser usus kerana ia berada pada tempat ketiga utama selepas kanser payudara dan pangkal rahim. Pada lelaki, kanser usus berada pada tangga pertama.

Ada banyak sebab mengapa perkara ini berlaku. Antaranya ialah lelaki makan daging lebih banyak berbanding wanita. Walaupun tidak dilarang makan daging, namun biarlah pengambilannya secara sederhana. Kena perhatikan juga cara memasak daging. Kurangkan daging yang dipanggang, goreng dan daging berproses seperti burger, sosej, salami dan peperoni. Ini kerana proses pembuatan dan memasak mengubah struktur kimia dalam daging yang menyebabkan ia menjadi karsinogenik iaitu bahan yang menyebabkan kanser.

Selain itu lelaki mempunyai lebih banyak tabiat buruk jika dibandingkan dengan wanita seperti merokok dan minum minuman keras. Ini menyebabkan risiko untuk mendapat kanser usus lebih tinggi.


3. Ada ahli keluarga saya menghidap kanser usus, bermakna saya juga akan mendapatnya.

Tidak semestinya. Namun jika ahli keluarga terdekat menghidap kanser usus pada usia 45 tahun ke bawah, anda disarankan berjumpa doktor. Doktor akan membantu melakarkan sejarah kanser dalam keluarga anda yang membolehkan anda mengetahui risiko yang dihadapi. Bagi yang ada sejarah keluarga, disarankan menjalani saringan atau pemeriksaan kesihatan pada umur 40 tahun kerana kebanyakan kanser usus mengambil masa 10 tahun untuk membesar dan menimbulkan tanda.

Begitu juga sebaliknya. Jika tiada sejarah kanser usus dalam keluarga anda, tidak bermakna anda bebas sepenuhnya daripada penyakit ini.


4. Pemakanan tidak sihat akan menyebabkan kanser usus.

Dulu pakar perubatan percaya bahawa pemakanan yang kurang serat (sayur-sayuran dan buah-buahan) turut menyumbang kepada pembentukan kanser usus. Bagaimanapun dalam kajian yang lebih baru mendapati pemakanan kurang serat bukanlah faktor utama dan penting kepada kanser usus berbanding masalah berat badan berlebihan dan amalan gaya hidup yang tidak aktif.

Kajian menunjukkan obesiti, pemakanan dan gaya hidup tidak sihat serta kurang bersenam bergabung memberi sumbangan besar kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk kanser usus. Gaya hidup tidak sihat itu termasuklah tabiat merokok dalam jangka masa yang lama.


5. Merokok dan minum minuman beralkohol akan menyebabkan kanser usus.

Ya, merokok dan banyak minum minuman beralkohol adalah antara faktor risiko kanser usus. Namun risiko untuk mendapat kanser ini boleh dikurangkan dengan menghentikan kedua-dua tabiat ini.

Merokok itu sendiri sudah menjadi faktor risiko kepada banyak jenis kanser. Jadi jika anda merokok, jarang bersenam dan kurang menitikberatkan soal pemakanan, maka sudah sampai masa untuk berubah demi kebaikan diri sendiri dan keluarga.


6. Saya tidak akan dapat kanser usus kalau tiada tanda.

Tidak benar. Walaupun antara tanda utama kanser usus ialah kewujudan darah dalam najis, tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Kanser usus bermula dengan pembentukan polip pada dinding usus dan polip ini biasanya mengambil masa sehingga 10 tahun untuk berubah menjadi kanser. Dalam tempoh ini (ketika masih dalam bentuk polip), pendarahan tidak berlaku sehinggalah ia berubah menjadi kanser.

Kanser usus peringkat pertama tidak mempunyai sebarang tanda, biasanya tanda hanya akan muncul apabila kanser sudah memasuki ke peringkat kedua. Justeru, jika mengalami sebarang tanda atau gejala kanser usus seperti berlaku perubahan jadual ke tandas (sama ada terlalu kerap atau jarang), berasa tidak puas walaupun sudah buang air, sakit perut atau perut berasa tidak selesa (banyak angin, kembung), berat badan menurun dan sentiasa berasa penat, berlaku pendarahan dari dubur, pergilah berjumpa doktor.

Malah perhatikan juga sama ada warna najis bertukar. Jika ada kesan merah gelap, ia mungkin bermakna pendarahan berlaku pada hujung awal usus.


7. Pembersihan kolon dan program detoks boleh mencegah kanser usus.

Sehingga kini dakwaan ini belum terbukti. Untuk mengatakan ia benar atau tidak, perlu ada kajian jangka panjang sebelum ia boleh disahkan bermanfaat. Namun jika mahu melakukannya sekali-sekala atas tujuan kesihatan, rasanya tiada masalah walaupun ia sebenarnya tidak perlu.


8. Polip bermakna kanser.

Tidak. Polip bukan kanser tetapi ia boleh berubah menjadi kanser selepas satu jangka masa tertentu. Biasanya polip mengambil masa selama bertahun-tahun untuk berubah menjadi kanser. Inilah sebabnya bagi individu yang ada sejarah kanser usus disarankan menjalani ujian kolonoskopi yang boleh mengesan kehadiran polip dan membuangnya.


9. Kolonoskopi menyakitkan dan membuat kita berasa tidak selesa.

Kolonoskopi adalah kaedah untuk melihat keadaan di dalam usus bagi mengesan kehadiran polip. Pesakit akan diberikan suntikan bius menyeluruh sebelum proses kolonoskopi dijalankan. Jadi pesakit tidak sedar sepanjang prosedur berlangsung justeru, tidak perlu bimbang rasa sakit atau tidak selesa.

Antara kaedah lain untuk mengesan kanser usus ialah ujian kehadiran darah dalam najis, bagaimanapun melalui kaedah ini kita tidak dapat mengetahui kewujudan polip di kalangan individu yang menunjukkan keputusan negatif (tiada darah dalam najis). Ujian saringan ini disarankan kepada individu yang ada sejarah keluarga menghidap kanser usus terutama pada usia muda.

Ujian penanda tumor didapati gagal menunjukkan keputusan tepat kehadiran kanser usus tetapi ia penting untuk kanser prostat atau ovari.


10. Pembedahan adalah satu-satunya cara merawat kanser usus. Kalau saya tidak mahu dibedah, adakah saya akan mati awal?

Pembedahan adalah antara kaedah penting dalam merawat kanser usus terutama pada peringkat pertama dan kedua. Ada juga pesakit perlukan rawatan kemoterapi dan radioterapi sebelum pembedahan untuk mengecutkan kanser.

Masalahnya, ramai pesakit di negara ini 'menghilang' selepas menjalani kemoterapi dan radioterapi. Biasanya ia mengambil masa enam minggu untuk kanser ini mengecut tetapi yang sedihnya, apabila gejala hilang, pesakit turut menghilangkan diri. Mereka sepatutnya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan kerana kanser boleh menyerang semula. Dianggarkan hanya 10 peratus kes ketumbuhan pada dubur boleh hilang terus melalui kemoterapi dan radioterapi. Selebihnya (90 peratus) masih ada kanser dan ia perlu dibuang melalui pembedahan. Jika kanser usus menyerang buat kali kedua, rawatan akan menjadi lebih sukar dan mahal. Ajal maut bukan doktor yang tentukan. Doktor hanya memberi rawatan terbaik untuk meningkatkan kualiti kehidupan pesakit. Kini perkembangan rawatan membolehkan pesakit hidup lebih lama (sekitar tiga hingga empat tahun) dengan baik walaupun penyakitnya sudah sampai ke peringkat teruk (keempat).

Walaupun sehingga kini tiada kaedah untuk mencegah kanser usus, tetapi dengan mengamalkan gaya hidup sihat iaitu menjaga pemakanan dan kerap bersenam, risiko mendapat penyakit ini boleh dikurangkan. Malah ada kajian menunjukkan orang kurus mempunyai risiko 30 peratus lebih rendah berbanding orang gemuk untuk menghidap kanser usus. Jadi, tunggu apa lagi, ambillah langkah untuk menjaga dan menyayangi badan kita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: