HONG KONG - Beribu-ribu peminat tidak melepaskan peluang menonton konsert besar-besaran K-pop yang diadakan di sini kelmarin.
Konsert tersebut merupakan bukti terbaharu lonjakan populariti muzik pop dari Korea Selatan itu.
Dikenali sebagai Bank Muzik, acara tersebut membariskan empat penyanyi popular Korea Selatan dan merupakan konsert K-pop terbesar pernah berlangsung di pulau berkenaan.
Kumpulan pop lelaki, TVXQ dan penyanyi comel, IU merupakan antara artis yang menyanyi dan menari di hadapan lautan peminat pada konsert itu.
"Saya berasa amat gembira kerana Hong Kong mampu menganjurkan konsert K-pop secara besar-besaran seperti ini.
"Saya juga sangat gembira kerana budaya Korea memiliki pengaruh di seluruh dunia," kata penyanyi kumpulan wanita popular, Wonder Girls yang turut beraksi pada konsert berkenaan.
Konsert gemilang kelmarin menyusul selepas beberapa kumpulan pop Korea Selatan seperti Girls' Generation dan 2PM mengadakan persembahan di sini pada tahun ini.
Tiket untuk siri konsert Bank Muzik habis dijual di Tokyo, tahun lalu dan amat popular di Paris pada awal tahun ini.
Selepas Hong Kong, konsert berkenaan akan diadakan di Brazil dan Amerika Syarikat (AS) lewat tahun ini.
Drama televisyen filem Korea Selatan bersama muzik K-pop semakin popular di seluruh Asia menerusi fenomena yang disebut Hallyu atau gelombang budaya Korea.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: