KALAU dulu sebut pasal diabetes atau kencing manis kurang menimbulkan rasa cemas kerana belum ramai yang menghidapinya.
Tapi kini, penghidap penyakit berbahaya itu di negara ini telah meningkat seramai 2.6 juta orang.
Trend yang membimbangkan itu dikenal pasti menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011.
Berdasarkan laporan itu diabetes kini kekal sebagai cabaran kesihatan yang paling besar.
Sama ada mahu percaya atau tidak, kiraan purata menunjukkan seorang daripada tujuh rakyat Malaysia menghidapinya. Tapi bukan setakat di Malaysia sahaja, insiden penghidap penyakit itu sebenarnya makin meningkat di seluruh dunia.
Statistik yang merisaukan itu menyebabkan DiabCare Malaysia merangka Prosiding Pelan Perubahan Diabetes Kebangsaan (NDCP), untuk menggaris satu pelan tindakan bagi meningkatkan tahap penjagaan diabetes di Malaysia.
Penyelidik utama DiabCare, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata , daripada 1,600 pesakit diabetes di hospital kerajaan yang terlibat dalam kajian berkenaan, hanya 22 peratus mencapai sasaran gula dalam darah.
"Sebanyak 75 peratus pesakit mengalami komplikasi mikrovaskular, 28.9 peratus komplikasi makrovaskular manakala 25.4 peratus mengalami komplikasi akhir yang teruk," ujar beliau pada sidang akhbar di Hospital Putrajaya, Putrajaya, baru-baru ini.
Beliau yang juga pengarah kampus dan profesor perubatan di Universiti Sains Malaysia berkata, kajian DiabCare itu dilakukan di lapan negeri dengan cara mengedarkan borang kaji selidik.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Endokrinologi Kementerian Kesihatan, Dr. Zanariah Hussein berkata, hasil perbincangan NDCP tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam Prosiding NDCP sebagai panduan untuk tindakan yang bakal diambil pada masa hadapan.
"Program yang digariskan dalam prosiding ini memerlukan gabungan usaha dan juga penyertaan daripada badan bukan kerajaan, organisasi profesional, pegawai klinik, paramedik, pembuat dasar dan sektor swasta.
"Kami sedang berusaha untuk menjadikan dokumen ini sebagai pelopor untuk pelan perubahan diabetes yang akan memberi panduan kepada semua ke arah mencapai tahap penjagaan pesakit diabetes yang lebih baik di Malaysia," jelasnya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kanan Kesihatan Awam, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa pendekatan lebih serius dan agresif diperlukan untuk mengatasi cabaran penyakit ini.
Langkah tersebut katanya, dapat meningkatkan tahap penjagaan diabetes di negara ini pada masa depan.
"Kerjasama dengan pemegang kuasa dalam penjagaan primer (klinik) sekunder dan tertiari (hospital) dan penglibatan yang lebih daripada pesakit perlu diwujudkan," jelasnya.
Dalam pada itu NDCP ke-4 juga telah mengesyorkan satu rangka kerja berdasarkan lima strategi utama.
Kelima-lima strategi tersebut ialah, pengurusan klinikal diabetes, peningkatan komplian (kepatuhan) pesakit, tindakan bersama pertubuhan bukan kerajaan, badan profesional dan yang lain, pengawasan, penyelidikan dan pemantauan serta peningkatan kapasiti.
Menerusi lima strategi yang telah disenaraikan dalam prosiding NDCP peningkatan jumlah penghidap diabetes dijangka dapat diuruskan dengan lebih efektif.
Cuba supplemen herba untuk mengelakkan Diabetes.
ReplyDeletehttp://www.goodlifetimehealth.com/2012/06/triplex-ubat-semulajadi-kencing-manis.html