SAYA tak nafikan ramai wanita kecundang kerana taktik lelaki penggoda seperti yang dipaparkan minggu lalu, namun saya tak salahkan lelaki semata-mata kerana kesalahan juga terletak di bahu wanita. Jadi kalau wanita merasa kecundang, masa depan gelap dan hancur, jangan salahkan orang lain tetapi salahkan diri sendiri.
''Contohnya saya. Elok-elok hidup membujang, ada rumah, ada kereta (walaupun kecil) dan tak ada masalah adik-beradik tetapi terperangkap setelah termakan hasutan kawan-kawan konon mahu lihat saya kahwin. Pelbagai dalil, nasihat diberi supaya saya tamatkan zaman andartu. Akhirnya diri merana. Kalau setakat diri sendiri, amin! Tetapi saya menyusahkan hidup anak-anak saya.'' Itu cerita None dalam e-melnya dan kami sambung cerita di telefon.
''Saya tak salahkan lelaki 100 peratus, kelemahan daripada diri saya sendiri kerana dengar cakap kawan, lekas percaya janji lelaki yang mengaku berani bertanggungjawab dan cepat simpati dengan cerita sedih suami orang yang kononnya hidup merana.
''Lelaki yang berjaya menggoda saya suami orang ada empat anak, Mock. Ibu dan ayah membantah. Kata mereka jangan pilih suami orang, pilih lelaki bujang biar tak berpangkat asalkan tak berkongsi.
''Tapi kata kawan, daripada kahwin dengan lelaki yang kita terpaksa tanggung makan minumnya, lebih baik suami orang, dia akan bagi nafkah sebab berduit. Fikir punya fikir, saya pilih suami orang. Lagipun dia memang pandai 'ayat', sedia bertanggungjawab dan ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama saya.
''Katanya, isterinya suka memerintah, anak-anak pula cuma sayangkan duitnya, tak tahu hormat dan suka melawan kerana isterinya terlalu manjakan dengan kemewahan.
''Oleh kerana keluarga membantah, kami nikah di sempadan. Ibu menangis tapi apa nak kata, saya dah suka. Kata ibu, bersedialah lambat laun rahsia kami akan terbongkar, ketika itu tunggulah serangan bom daripada isteri pertama.
''Untuk menjaga rahsia agar tak pecah, saya setuju bila Mock minta izin tidak bermalam di rumah saya. Jika saya mengikutnya kerja luar daerah atau bercuti, barulah kami dapat bersama untuk beberapa hari. Mock hanya datang rumah saya siang hari.
''Entah macam mana lepas lima tahun kahwin dan dapat anak dua, tembelang kami pecah. Apa lagi, bukan sahaja bom, rumah saya diserang siang malam oleh madu dan anak-anaknya. Lebih dahsyat, rumah saya dibaling dengan pasu bunga dan disimbah cat. Saya mengadu pada Mock dan dia suruh bersabar.
''Memang saya boleh sabar, tapi yang malu saya seorang. Sejak itu Mock jarang datang ke rumah biarpun siang hari. Telefon Mock ditamatkan perkhidmatan. Telefon pejabat pula ada 'pengawal' dengan pelbagai soalan atas arahan madu saya.
''Walaupun balik sesekali, saya masih dapat lahirkan anak ketiga. Maka timbul cerita baru, madu tuduh saya mengandung anak haram kerana katanya Mock tak balik ke rumah saya. Pendek kata cuma lima tahun saya bahagia, sebelum rahsia pecah. Selepas itu hidup macam sekam padi yang sentiasa terbakar dan berasap.
''Bagaimanapun saya bersyukur Mock daftarkan perkahwinan kami di negara ini, biarpun nun jauh di Perlis dengan bantuan kawannya. Kalau tidak, saya tak tahu apa nasib anak-anak saya, mungkin tak boleh bersekolah.
Nafkah''Untuk redakan perang, Mock tak balik rumah saya lagi malah nafkah pun tak diberi sebab semuanya di bawah kawalan madu saya. Sayalah yang terpaksa besarkan anak-anak sendiri. Waktu itu baru saya tahu tinggi rendahnya langit.
''Walaupun cermin kereta saya tak lagi pecah dan kemek, rumah tak dibaling pasu bunga setelah saya buat laporan polis tetapi saya terpaksa melunaskan sendiri ansuran rumah baru dan kereta di samping belanja anak-anak. Saya juga terpaksa bayar gaji pembantu rumah.
''Ketika inilah saya teringat kembali janji Mock yang mahu bertanggungjawab dan hidup bahagia bersama saya, ketika ingin berkahwin dulu. Kini, dia langsung tak berani balik rumah menjengok anak-anak, hinggakan dua anak saya berusia 8 dan 7 tahun beritahu adiknya yang ayah mereka dah mati. Anak ketiga saya berusia hampir 4 tahun langsung tak kenal ayahnya.
''Ada kawan nasihatkan saya tuntut cerai, sebab selagi bergelar isteri saya tidak akan dapat nafkah anak, sebab gajinya dikawal isteri pertama. Mulanya saya malu tetapi fikirkan masa depan anak-anak dan tanggungjawab semakin berat, saya beranikan diri ke mahkamah syariah. Malangnya Mock tidak mahu ceraikan saya.
''Sudah dua kali saya ke mahkamah tapi kedua-duanya gagal. Tuntutan nafkah anak-anak juga tidak berjaya dijalankan atas sebab yang sama.
''Saya dapat tahu isteri Mock mahu saya dipanggang dan disalai sampai mati. Sebab dia mahu saya hidup susah kerana tak dapat nafkah. Jadi dialah yang larang Mock ke mahkamah.
''Bagi saya Mock yang bersalah. Sebagai suami, dia tidak boleh takut dengan isterinya. Dia mesti bertanggungjawab kerana anak-anak saya adalah zuriatnya.
''Saya pernah menghubungi pihak atasan Mock tapi mereka kata tak boleh bertindak selagi tak dapat perintah mahkamah. Kini hampir lima tahun Mock tak balik rumah, hidup saya makin tertekan.
''Bohonglah kalau saya tak kesal dengan perkahwinan ini, sesekali memang saya menyesal. Dulu ada rumah sendiri biarpun apartmen tapi saya tak ada hutang. Kerana dengar nasihat Mock suruh jual dan beli rumah lebih besar, sekarang saya tanggung bayar seorang diri.
''Ditakdirkan saya mati, rumah ini bukan saja Mock ada hak, madu dan anak-anaknya juga ada hak. Sebab rumah ini atas nama kami berdua. Saya bimbang mereka halau anak-anak saya, mana mereka nak pergi? Nak harapkan Mock bela, tak mungkin, sebab Mock takutkan isterinya.
''Saya memang bodoh, tak ada hutang buat hutang. Semuanya gara-gara nak rumah dan kereta besar. Akhirnya sendiri merana. Setahun dua lagi Mock akan bersara, macam mana dia nak tolong saya?
Kesimpulannya, janganlah percaya pujukan suami orang, buat menyusahkan diri sendiri saja. Lainlah kalau anda berani berperang dengan isteri pertama,'' itu cerita None yang terjerat dengan janji palsu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: