Monday, June 25, 2012

Risiko mewarisi kanser rahim

IBU saya baru dikesan ada sel kanser di bahagian endometrium (dinding rahim). Atas nasihat doktor dia telah menjalani pembedahan untuk membuang keseluruhan bahagian rahim termasuk ovari dan pangkal rahim. Soalan saya apakah rawatan susulan untuk penyakit ini dan adakah ia disebabkan keturunan?

* Terima Kasih,

Ingin Tahu, Kuala Lumpur.

JAWAPAN

Kes kanser rahim di Malaysia tidak setinggi di Barat. Di Amerika Syarikat, kanser rahim yang paling utama selepas kanser payu dara. Di Malaysia, kes kanser rahim adalah paling tinggi dalam kalangan wanita yang berusia 60 hingga 69 tahun.

Kanser rahim merujuk kepada kanser yang terjadi atau berasal daripada bahagian badan rahim. Terdapat dua bahagian utama badan rahim iaitu selaput dinding rahim ataupun endometrium dan dinding rahim yang terdiri daripada tiga lapisan otot dan stroma.

Kanser rahim terbahagi kepada beberapa kumpulan berdasarkan asal usul kanser itu, iaitu kanser yang berasal dari selaput dinding rahim dinamakan kanser endometrium, kanser yang berasal daripada otot dinding rahim dinamakan leiomiosarkoma, kanser yang berasal daripada kedua-dua komponen selaput dan dinding rahim dinamakan karsinosarkoma dan kanser daripada stroma selaput rahim dinamakan endometrial stroma sarkoma.

Kejadian kanser endometrium mempunyai kaitan yang rapat dengan peredaran serta aras hormon wanita yang dipanggil estrogen. Wanita yang mempunyai aras hormon estrogen tinggi sama ada diperolehi dari dalam badan mereka sendiri atau ubat-ubatan yang diambil boleh terdedah kepada kanser endometrium.

Memang benar kanser endometrium juga berkaitan dengan keturunan. Faktor-faktor risiko lain terjadinya kanser endometrium adalah kegemukan. Wanita gemuk mempunyai simpanan hormon estrogen yang tinggi terutama di lapisan lemak badan. Wanita yang sukar mendapatkan anak atau mandul, yang menghidap penyakit hipertensi, diabetes mellitus selain mengambil ubat hormon Tamoxifen untuk rawatan kanser payu dara juga berisiko menghidap kanser endometrium.

Bagaimanapun manfaat yang diperolehi daripada mengambil ubat ini lebih besar daripada mudarat kemungkinan menghidap kanser rahim dan juga wanita yang mengambil hormon estrogen yang berpanjangan.

Wanita yang putus haid (menopaus) perlu mengambil hormon estrogen untuk memulihkan kesihatan badan mereka dan meningkatkan kualiti hidup. Sekiranya mereka masih lagi mempunyai rahim, hormon estrogen ini perlu diambil bersama hormon progesteron. Kadar kejadian kanser rahim akan menjadi tinggi sekiranya mereka mengambil hormon estrogen sahaja. Oleh itu, wanita yang ingin mengambil hormon selepas putus haid perlu mendapat pandangan daripada Pakar Sakit Puan.

RawatanSyukur Alhamdulillah kerana penyakit kanser ibu anda masih di peringkat amat awal. Pembedahan untuk membuang keseluruhan bahagian rahim termasuk ovari dan pangkal rahim dan mungkin kelenjar limfa bukan sahaja penting untuk menentukan peringkat kanser endometrium bahkan mengurangkan masalah pendarahan yang dialami oleh pesakit.

Doktor yang membedah akan menentukan sama ada pesakit itu perlu mengambil rawatan adjuvan ataupun tidak. Rawatan lanjut yang dimaksudkan adalah rawatan adjuvan radioterapi dan hormon. Ia untuk mengesan sel-sel kanser yang tertinggal selepas pembedahan dan seterusnya mengurangkan kemungkinan kanser berulang. Setelah wanita tersebut selesai menjalani rawatan sama ada pembedahan sahaja ataupun pembedahan dan radioterapi, rawatan susulan seterusnya adalah sangat penting.

Rawatan susulan bagi kanser ini lebih kurang sama dengan kanser lain iaitu dalam masa tiga hingga empat bulan sekali dalam dua tahun yang pertama dan selepas itu enam bulan ke setahun sekali untuk tahun berikutnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: