|
BUKAN sesuatu yang mustahil jika suatu hari nanti Pulau Langkawi bakal dikenali sebagai sebuah hab fesyen di rantau ini. Pembukaan Oriental Concept Apparel Store (OCAS) yang pertama di Malaysia baru-baru ini di Oriental Village, Langkawi bagaikan nadi penggerak awal ke arah impian tersebut.
Seperti yang diperkatakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli, ketika menyempurnakan upacara prapembukaan pusat fesyen tersebut baru-baru ini, OCAS Langkawi adalah pusat fesyen yang pertama.
Ia bakal menjadi katalis untuk menarik lebih ramai peniaga dan pelabur yang berkaitan dengan produk fesyen Langkawi, sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri fesyen di sekitar pulau tersebut.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Urusan, Lada Eco-Tourism Sdn. Bhd., Ali Makkit.
Hampir 30 pereka yang terdiri daripada pereka terkenal dan pereka muda tempatan bakal menempatkan produk mereka di OCAS.
Mereka juga merupakan barisan pereka di bawah naungan Persatuan Pereka Bumiputra (BDA). Antara pereka yang menyertai cabaran OCAS pada peringkat awal ialah Datuk Radzuan Radziwill, Bon Zainal, Salikin Sidek, Datin Norjuma, Amir Luqman, FiziWoo, Lofa Shoes oleh artis dan personaliti terkenal Neelofa, Mistio Vintage oleh Fairuz Ramdan, Melvin Shah, Indah Hias dan Zattera Apparel oleh Mira Adriatie, Ramond Zack dan WanPa.
Tumpuan pelancong
“Kini terdapat purata 3,500 hingga 5,000 pelancong tempatan dan asing melawat Oriental Village untuk menaiki kereta kabel Langkawi setiap hari. Merekalah sasaran bagi produk yang dijual di OCAS ini. Orang yang melancong lazimnya akan membeli-belah.
|
|
“Pulau Langkawi cukup terkenal dengan produk bebas cukai barangan rumah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Walaupun ada produk fesyen yang dijual tetapi peratusannya amat kecil berbanding produk barangan rumah,” tegas Khalid.
Usaha LADA ini diharapkan dapat menarik lebih ramai pelabur baik di dalam mahupun luar negara untuk melabur di dalam industri fesyen di Langkawi.
Rata-rata ahli BDA yang menyertai OCAS menganggap kolaborasi antara LADA dan BDA adalah satu usaha bijak agensi kerajaan tempatan dalam membantu dan menyediakan platform serta peluang bagi pereka-pereka bumiputera yang berbakat.
Dengan adanya kerjasama terbaharu ini, BDA melihat OCAS sebagai peluang bagi mempromosi dan mengetengahkan outlet-outlet BDA Concept kepada para pembeli global.
“OCAS merupakan outlet pertama yang terbesar di Malaysia, yang mempromosi dan menjual koleksi rekaan fesyen hasil sentuhan 30 pereka menjelang bulan Julai ini. Perniagaan jualan di OCAS terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa prapembukaan pada bulan Mei 2012 dan fasa kedua sempena pembukaan rasminya pada bulan Julai 2012,” jelas Ali Makkit.
Perancangan rapi
Untuk fasa kedua, dijangka beberapa jenama gah bumiputera seperti Datin Sharifah Kirana, Noni Ryenders yang kini beroperasi di London, Hazree Wahid, Rahman Saif, I Love Wirda, Jarumas Batik, Hasfitri Yusof dan Pretty Lulu akan mempamerkan koleksi mereka di OCAS.
Selain pakaian, pereka-pereka ini juga menghasilkan perhiasan kepala dan tas tangan malam manakala jenama Suhara pula menghasilkan rekaan aksesori kostum serta barang perhiasan berharga.
Dengan keluasan lebih daripada 3,600 kaki persegi (334 meter persegi), OCAS menawarkan pengalaman beli-belah yang menarik kepada para pelancong.
Mereka boleh membeli pelbagai koleksi bergaya dengan sentuhan cita rasa tersendiri oleh para pereka terkenal tempatan serta barisan pereka fesyen yang kini pantas menjadi jenama-jenama popular.
OCAS sulung ini menduduki tiga lot kedai di kompleks tersebut. Melalui tingkap kaca yang luas, hias letak di tingkap pamer yang menawan dan moden serta skim warna segar, ia mudah menambat para pengunjung yang lalu-lalang di kawasan tersebut untuk mengalih tumpuan mereka.
Susun letak dalaman yang ringkas dan mementingkan konsep kemas, rapi dan fungsi, pastinya memberikan pengalaman indah membeli-belah.
Para penggemar dan pembeli fesyen Malaysia akan mendapati koleksi-koleksi yang dipamerkan bukan saja bergaya dan bermutu tinggi bahkan ia mempamerkan ciri-ciri hidup serta budaya Malaysia.
Produk kraf tangan
Bagi memenuhi cita rasa pelancong yang sentiasa mencari produk bercirikan kebudayaan masyarakat Malaysia, pelbagai rancangan sedang diusahakan. Antaranya menyediakan produk kraf tangan menarik yang mempunyai elemen dan bercirikan kebudayaan negara seperti produk daripada batik, songket dan tenun.
Terdapat pelbagai rekaan fesyen dijual di OCAS antaranya kasut, beg, tudung, pakaian tradisional Melayu hingga ke pakaian sedia dipakai. Ia dijual dari harga RM50 hingga RM500.
Kolaborasi antara OCAS, LADA-Eco Tourism Sdn. Bhd. (LETSB) dan Bumiputra Designers Association (BDA) ini dijangka mewujudkan lebih banyak usaha dan aktiviti yang dirancang untuk menggiatkan industri pelancongan di Oriental Village dan Kereta Kabel Langkawi khususnya, serta pembangunan ekonomi di Langkawi secara keseluruhannya.
Komitmen LETSB untuk menerajui pelan tindakan LADA dalam usaha merealitikan Langkawi sebagai Hab Membeli-belah Bebas Cukai bagi pelancongan, kini berada di landasan yang tepat.
“OCAS dijangka menjadi pusat beli-belah dan gaya hidup yang secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada program pembangunan Langkawi. Kerjasama dengan BDA pula akan terus mengukuhkan aspirasi LADA untuk mengetengahkan bakat-bakat tempatan dan industri fesyen negara kepada dunia melalui fesyen dan pelancongan,” tambah Khalid.
Menjelang musim perayaan Aidilfitri, OCAS bakal menghimpunkan lebih banyak produk fesyen dan koleksi Aidilfitri. Bagi para penggemar fesyen dan bagi yang ingin mencari kelainan di dalam himpunan pakaian raya 2012, pastikan anda berkunjung ke sini untuk mendapatkan trend corak, potongan serta warna terkini untuk musim perayaan tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: