Monday, June 25, 2012

Norlin bina resort tradisi Melayu

Ruang spa menggabungkan konsep moden dan tradisi.

INTANYA pada budaya dan seni bina Melayu memang sudah sebati sejak kecil.

Bahkan, dia antara wanita muda yang berjaya mencipta nama dalam dunia perniagaan hotel berkonsepkan resort butik mewah.

“Pulau Langkawi adalah destinasi yang paling diminati dan bermakna buat kami sekeluarga.

“Kebetulan bapa saya, Datuk Zainal Abidin sering mempunyai urusan kerja di sini dan ditemani kami sekeluarga. Kemudian, kami bercadang mendirikan rumah istirehat untuk sekeluarga. Namun, perancangan itu diubah apabila kami sekeluarga bersetuju berkongsi pengalaman menginap di resort bercirikan budaya Melayu kepada pelancong dalam dan luar negara ," ujar Norlin Datuk Zainal Abdin sambil menunjukkan gambar-gambar Seri Chenang Resort & SPA Langkawi.

Menariknya, resort ini mempunyai reka bentuk seni bina seperti istana Melayu yang diselitkan elemen moden sesuai dengan aliran semasa.

“Resort butik ini juga menitikberatkan setiap perincian dan butiran dalam seni ukiran dan kraf kayu tradisi Melayu. Uniknya, anda seperti berada di rumah sendiri.

“Kami mahu berkongsi dengan dunia, cara layanan orang Melayu kepada tetamu sepanjang mereka menginap di sini," ujarnya.

Tambah Norlin, tetamu resort ini juga boleh merasai sendiri pengalaman melihat keindahan alam seperti kehijauan hutan, air laut dan bunyi-bunyian alam sekitar.

“Berbeza dengan resort butik lain, kami menyediakan makanan dan minuman di setiap ruang kompleks resort butik termasuk di taman, di tepi kolam renang, di bilik bacaan atau mana-mana kawasan atas permintaan tetamu atau menikmati hidangan terus di dapur wakaf sekitar resort.

Seni bina

Menurut Norlin, resort ini mengandungi tujuh bangunan dalam satu kompleks iaitu enam vila yang dibina mengikut seni bina beberapa negeri Melayu seperti Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Selangor.

“Anda boleh menikmati keindahan kerja kayu pada setiap vila yang menggunakan kayu berkualiti seperti cengal yang hanya boleh ditemui di Malaysia.

“Bagi melengkapkan percutian, resort butik ini juga menyediakan perkhidmatan pakej lawatan luar kepada tetamu termasuk jelajah Langkawi," katanya.

Norlin memberitahu, idea ini membolehkan orang ramai merasai percutian dan penginapan menarik seperti VIP tetapi berkonsepkan budaya tradisional. "Saya berharap resort ini dapat membantu ekonomi dan pelancongan Langkawi sekali gus memperkenalkan tradisi Melayu ke peringkat antarabangsa.

“Mereka yang berminat boleh membuat tempahan di stay@serichenangresort.com yang akan dibuka secara rasmi pada 30 Jun ini," katanya.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya, Norlina bersyukur kerana dibantu pasukan kerja yang baik.

“Ia adalah bisnes keluarga. Saya bersama adik, Mohammad Shukor selaku Pengarah Urusan Kumpulan Seri Chenang Resort, menguruskannya. Kami dibantu bahagian pemasaran, perhubungan awam dan komunikasi yang diuruskan oleh Whosyn Signature (syarikat Husain Khalid dan Warren Fernandez). Mereka juga konsultan yang bertanggungjawab menaikkan keuntungan syarikat, jambatan perniagaan dan yang penting pakar runding dalam jualan terutama jualan kreatif," katanya.

Walaupun mempunyai jadual kerja yang padat, isteri kepada Johan Tam dan ibu kepada Nur Liyana ini tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya.

Baginya, keluarga tetap nombor satu. Nasihat Norlin kepada wanita bekerja yang sudah berkeluarga, supaya jangan abaikan tanggungjawab dan bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

"Wanita adalah tulang belakang kepada keluarga harmoni," ujarnya ringkas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: