KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab menegaskan dia bukanlah manusia yang terlalu jahil tentang agama Islam sehingga tidak mampu untuk membimbing suaminya, Eric Daniel Depp, menjadi Muslim sebenar.
Nurul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 35, berkata, walaupun pada luaran penampilannya dilihat moden, namun dia tahu tentang tanggungjawab untuk mendidik suaminya yang berasal dari Perancis itu.
"Jangan ingat luaran saya berimej moden dan saya tidak tahu apa-apa tentang agama yang dianuti. Saya tidak perlu menunjuk atau membuktikan kepada sesiapa kerana ia adalah di antara saya dan Allah sahaja yang mengetahui.
"Lagipun, untuk membimbing seorang mualaf mengenali Islam bukannya boleh dibuat dalam masa sehari. Nabi Muhammad S.A.W pun mengambil masa lama untuk menyebarkan agamanya," katanya yang ditemui pada pelancaran duta produk kecantikan Skinz Infinate di Flora Terrace, di sini, petang Isnin.
Nurul diminta mengulas kononnya dia gagal membimbing suaminya yang baru memeluk Islam untuk menjadi seorang Muslim yang mengamalkan ilmu-ilmu agama itu.
Tambah Nurul, dia juga mempunyai cara tersendiri dalam membimbing hal-hal agama terhadap suaminya yang berusia 47 tahun itu dan berharap isu suaminya tidak diberi pendedahan Islam sewajarnya tidak lagi timbul.
"Mujurlah Eriq seorang yang begitu positif dalam memandang kehidupan dan isu-isu sebegini tidak mengecilkan hatinya pun. Setakat ini dia faham dengan amalan harian yang saya lakukan iaitu menunaikan solat lima waktu serta mengaji kitab Al-Quran.
"Kita tidak boleh terlalu memaksa kerana dia juga mempunyai pegangan agama lain sebelum ini, cuma untuk berubah arah semua itu perlu dibuat perlahan-lahan," tegasnya.
Nurul yang baru pulang daripada meraikan majlis resepsi perkahwinannya di Bali, Indonesia pada 19 Jun lalu memberitahu, selepas pelbagai persoalan yang timbul mengenai perkahwinannya, dia mengambil pendekatan untuk tidak menceritakan tentang hal-hal peribadinya lagi.
"Cukuplah semua orang dah tahu bahawa saya kini sudah berkahwin. Selepas ini, saya tidak akan menceritakan apa-apa tentang hal-hal peribadi.
"Pengalaman lalu telah mengajar saya dan apa yang dapat disimpulkan, buatlah apa sahaja, orang tetap akan mengkritik.
"Bagaimanapun, saya tidak kisah jika orang masih lagi ingin memperkatakan tentang diri ini, saya terima dengan hati yang terbuka," ujarnya.
Nurul dan Eriq bernikah di Duchess Place, Jalan Ampang, dekat sini pada 6 Jun lalu.
Eric telah memeluk Islam sejak 13 Februari lalu dan langkah itu berjaya meyakinkan Nurul untuk mengangkat lelaki tersebut sebagai suami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: