KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek, 49, bercerai talak satu dengan isterinya, produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, petang Rabu.
Lafaz cerai itu dibuat di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin kira-kira pukul 3.25 petang mengikut Enekmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor, Nombor 2, tahun 2003.
Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tiada lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Raja Azmi yang berbaju kurung hitam berkata, keputusan itu sudah dibincangkan bersama anak-anak dan tiada kena-mengena dengan kehadiran orang ketiga.
"Perceraian ini adalah keputusan yang dicapai atas persetujuan kami sekeluarga. Anak-anak memahami dan menerimanya kerana ingin melihat saya dan Jalani gembira.
"Ia tiada kaitan dengan kehadiran orang ketiga tetapi demi mengembalikan maruah bekas suami yang dituduh dayus kerana pelbagai kontroversi yang pernah melanda rumah tangga kami sebelum ini," katanya yang bersedia menerima dugaan bergelar janda selepas ini.
Sementara itu, Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek berkata, dia menceraikan Raja Azmi kerana mahu bersikap adil demi kebahagiaan wanita itu.
"Saya faham Raja Azmi menghadapi tekanan dengan pelbagai kontroversi yang timbul selama ini.
"Saya tidak berlaku adil jika terus hidup bersamanya sedangkan dia tidak bahagia. Atas sebab itu, saya berkorban dan ceraikan dia untuk kebaikan bersama. Baik dan buruk kami selama 28 tahun berkahwin biarlah menjadi kenangan buat kami.
"Yang penting, hubungan kami akan terus baik sebagai kawan demi anak-anak. Saya bahagia dengan pengorbanan ini," katanya.
Pasangan itu hadir ke mahkamah dengan ditemani anak kedua mereka Puteri Suaida,23.
Raja Azmi selaku plaintif diwakili peguam syarie Roslizam Rahim.
Dalam prosiding perceraian pada Rabu, kedua-dua pasangan tersebut bersetuju untuk menyelesaikan pembahagian harta sepencarian di luar mahkamah.
Raja Azmi yang juga penerbit filem ...Dalam Botol sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini.
Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung.
Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda.
Kedua-dua pasangan tersebut bernikah pada 23 Disember 1984. Selain Puteri Suaida, mereka turut dikurniakan dua lagi anak iaitu Puteri Suraya, 27, dan Megat Deli, 18.
Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: