Tuesday, June 26, 2012

Tip kesihatan kini di hujung jari

Ketua Bahagian Produk Baru Maxis, Claire Seatherstone menunjukkan contoh paparan aplikasi MyHealthy Heart yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) untuk pengguna android dan Iphone.

APABILA melihat kepada gaya hidup segelintir masyarakat Malaysia pada masa kini, tidak keterlaluan jika dikatakan mereka tidak mempunyai masa untuk menitikberatkan perihal penjagaan kesihatan diri.

Malah ada yang menganggap pemeriksaan kesihatan hanya diperlukan ketika tahap kesihatan diri terjejas.

Oleh kerana itu, mereka turut beranggapan bahawa tip penjagaan kesihatan juga tidak penting untuk diterokai kerana ia merupakan pengetahuan am semata-mata.

Menyedari situasi tersebut yang dilihat mampu mempengaruhi tahap kesihatan segelintir masyarakat di negara ini, syarikat telekomunikasi Maxis Berhad. (Maxis) mengambil inisiatif bekerjasama dengan pusat perubatan kardiovaskular dan torasik Institut Jantung Negara (IJN) dalam menawarkan panduan kesihatan kepada pengguna rangkaian tersebut.

Melaluinya, penguna Maxis memperoleh perkhidmatan penjagaan kesihatan khususnya mengenai jantung melalui teknologi mudah alih yang dilihat mampu memberi kesedaran kepada semua pelanggan talian tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Bersama Maxis, Suren J. Amarasekera, IJN akan bertindak selaku pemberi maklumat utama berhubung penjagaan kesihatan jantung dan maklumat tersebut disalurkan oleh pakar-pakar dari institusi itu sendiri.

Katanya, para pelanggan hanya perlu mengakses perkhidmatan berkenaan daripada telefon mudah alih yang mempunyai ciri-ciri khidmat pesanan ringkas (SMS), peranti pintar atau laman web.

"Kepada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan tip kesihatan jantung, mereka boleh melanggannya daripada Maxis dan akan menikmati kemudahan tersebut melalui SMS pada setiap tiga kali seminggu.

"Selain itu, bagi pelanggan yang mempunyai telefon pintar, mereka boleh mengakses maklumat penting berkaitan kesihatan jantung secara percuma melalui kaedah memuat turun aplikasi telefon pintar baru myHealthyHeart. katanya pada majlis pelancaran aplikasi tersebut di ibu negara baru-baru ini. Turut hadir Pengerusi Maxis Berhad, Tan Sri Arshad Uda.

Suren berkata, orang ramai turut berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan kesihatan jantung menerusi akses web iaitu dengan mengunjungi portal kesihatan health.mylaunchpad.com.my.

Selain itu katanya, Maxis juga akan turut menyumbang sebanyak 10 peratus daripada hasil penjanaan perkhidmatan SMS tersebut kepada Yayasan IJN untuk program bantuan pesakit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Dr. Mohd. Azhari Yakub berharap perkhidmatan seperti ini akan dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dalam usaha membantu meningkatkan gaya hidup mereka.

"Kerjasama ini dilihat mampu untuk mencapai objektifnya kerana kedua-dua organisasi mempunyai kekuatan serta pengkhususan yang saling melengkapi.

"Di samping itu juga, dengan adanya kerjasama pintar seperti ini ia mampu meningkatkan kesejahteraan orang ramai sejajar dengan kelangsungan teknologi pintar terkini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: