Tuesday, June 26, 2012

Penjahat kena tinggal rakan dicekup


ANGGOTA polis memerhatikan MPV Toyota Estima yang terbabas ketika dikejar polis di Tongkang Yard, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Malang menimpa dua penyamun apabila bukan sahaja ditinggal dua rakan malah, dapat diberkas pula selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki terbabas ketika dikejar polis di Tongkang Yard di sini kelmarin.

Kejadian pukul 10.45 malam tersebut berlaku apabila empat penyamun termasuk seorang wanita terbabit yang cuba melarikan diri selepas menyamun sebuah kafe siber di Jalan Putra di sini kira-kira 30 minit sebelum itu telah berlanggar dengan sebuah kenderaan lain.

Jarak antara kafe siber dan tempat kemalangan kira-kira empat kilometer.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, dalam kejadian samun itu, dua suspek yang menggunakan senjata tajam dapat melarikan wang RM3,000 dan dua telefon bimbit.

Katanya, dua lagi menunggu di dalam MPV yang diletakkan berhampiran premis tersebut.

"Ketika hendak keluar, mereka ditahan oleh orang awam sebelum berlaku satu pergaduhan tetapi suspek dapat melepaskan diri dan bergegas masuk ke dalam MPV.

"Polis yang menerima maklumat kemudian mengejar kenderaan suspek sebelum MPV yang dinaiki terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan lain di Tongkang Yard," katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: