Monday, June 25, 2012

Air meliuk ikut irama lagu



BUKAN mudah untuk mendapat peluang menyaksikan persembahan lagu-lagu yang mempunyai latar belakang kebudayaan dari seluruh pelosok dunia, bahkan dipersembahkan secara langsung di lokasi ikonik ibu kota iaitu Esplanade Suria KLCC.

Menampilkan sembilan buah kumpulan muzik, pengunjung bukan sahaja akan terpesona dengan irama muzik dunia yang dipersembahkan, malah pasti terbuai dengan lenggokan pancutan air bercahaya yang ‘menari’ mengikut rentak.

Jika dilihat dengan teliti, sesekali pancutan air membentuk kelopak-kelopak bunga raya, begitu sinonim dengan lambang kebudayaan Malaysia kerana ia adalah bunga kebangsaan kita.

Festival Muzik dan Cahaya Antarabangsa yang berlangsung dari 3 hingga 8 Jun lalu adalah sempena Persidangan Gas Sedunia 2012 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Memories Group of Companies, Francis Danker, festival tersebut bukan sahaja menampilkan para pemuzik yang memenangi pelbagai anugerah, tetapi turut mempertontonkan teknologi multimedia yang canggih.

“Kami bekerjasama rapat dengan rakan-rakan terutama pasukan jurutera seramai enam orang dari Malaysia dan United Kingdom (UK) untuk mempersembahkan pertunjukan cahaya, laser dan piroteknik yang menakjubkan. Ia pertama kali dipertontonkan di Malaysia.

“Jurutera-jurutera yang terbabit ialah mereka yang berpengalaman luas dalam menjayakan festival-festival serupa di serata dunia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Festival Muzik dan Cahaya Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 baru-baru ini.


AIR pancut di Esplanade, Suria KLCC dilepaskan bersama cahaya laser mengiringi persembahan pemuzik pada Festival Muzik dan Cahaya Antarabangsa Kuala Lumpur 2012.


Francis memberitahu, festival yang dipertontonkan secara percuma itu diharap dapat menggalakkan keamanan dan keharmonian antarabangsa, lebih-lebih lagi dengan kehadiran delegasi dari seramai 10,000 orang dari serata dunia.

“Persidangan Gas Sedunia berlaku setiap tiga tahun menyaksikan Amsterdam dan Buenos Aires menjadi hos untuk dua buah persidangan sebelum ini.

“Kedua-dua persidangan berkenaan sebelum ini hanya tertumpu kepada persidangan semata-mata tanpa sebarang aktiviti menarik berunsur pelancongan untuk dikongsi dengan para delegasi.

“Justeru, kami membuat kelainan apabila persidangan diadakan di Malaysia tahun ini diserikan dengan persembahan luar biasa,” katanya.

Menurut Francis, kos membangunkan projek berkenaan ditaja sepenuhnya oleh Sapura Kencana, Maxis, Astro, Mitsubishi Corporation, Murphy Sarawak Oil, Scomi, Technip, Petrofac, CIMB, Dialog, FPSO Ventures, Samsung dan Deleum.

“Delegasi-delegasi luar amat tertarik menyaksikan persembahan yang julung-julung kali diadakan ini.

“Delegasi dan pengunjung dapat melihat skrin sepanjang 100 meter melatari kiri dan kanan pentas selain pemetaan video yang melitupi dinding-dinding Suria KLCC. Persembahan bunga api menambahkan lagi kehangatan acara berkenaan,” katanya.


PELANCARAN festival dilaksanakan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah (tengah).


Aubrey Suwito and Friends

Sementara itu, Aubrey Suwito yang membuat persembahan dalam festival tersebut memberitahu, dia melakukan penyusunan khas bagi menampilkan kelainan dalam persembahannya melalui pasukan Aubrey Suwito and Friends.

“Lagu-lagu yang ditampilkan adalah daripada album saya sendiri yang menampilkan genre muzik jazz, tetapi mempunyai suntikan muzik tradisional Melayu seperti seruling, rebana, inang dan asli,” katanya.

Kata Aubrey, kumpulannya terdiri daripada enam orang pemuzik iaitu dirinya sendiri, Fly (bass), Kevin Choo (saksofon), Mohar (seruling), Steve (genderang) dan John Thomas (dram).

“Antara lagu-lagu yang kami bawakan ialah Malacca Sun, Kampung Boy dan One Busy Street. Lagu One Busy Street merujuk kepada Jalan Bukit Bintang yang sentiasa sesak dengan orang ramai.

“Saya sendiri tertarik dengan persembahan kumpulan lain seperti kumpulan Saharadja dari Bali yang membawakan banyak lagu etnik mereka sendiri dan Mdungu dari Amsterdam, Belanda yang membawakan muzik asli Afrika,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, Festival Muzik dan Cahaya Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 merupakan salah satu usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota pilihan bagi acara berskala besar, persidangan dan pameran global.


AKASHA merupakan salah sebuah kumpulan yang berpangkalan di Kuala Lumpur, tetapi membawakan muzik dunia.


“Inilah julung-julung kalinya peristiwa sebesar ini direncanakan dengan begitu terperinci di Esplanade iaitu sebuah lokasi ikonik di KLCC,” katanya.

Festival Muzik dan Cahaya Antarabangsa 2012 dilaksanakan dengan tema Keamanan Dunia, Keharmonian Dunia dan Perpaduan Dunia.

Pemuzik antarabangsa yang membuat persembahan termasuklah Easternox dari Korea, Mdungu dari Amsterdam dan Saharadja dari Bali, Indonesia.

Pemuzik tempatan pula terdiri daripada Aseana Percussion Unit, Aubrey Suwito and Friends, Amir Yussof Acoustic Project, Geng Wak Long, AkashA dan Tuku’ Kame’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: