VCD
Anggota Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya memeriksa VCD dan DVD selepas berjaya merampas VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM5 juta.

KUALA LUMPUR - Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM5 juta dalam serbuan di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan PJU 1A/3J Ara Damansara di sini, hari ini.

Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya, Fahmi Kasim berkata dalam operasi selama lima jam bermula pukul 1.40 petang itu, pihaknya merampas 500,000 keping VCD dan DVD cetak rompak pelbagai tajuk dan lucah.

Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat dalam serbuan itu kerana pekerja premis berkenaan melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasa KPDNKK melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya serbuan itu dilakukan sepasukan 11 penguatkuasa KPDNKK Putrajaya diketuai Mat Jidin Hassan selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Semasa serbuan, premis yang dijadikan setor memproses dan menyimpan VCD dan DVD itu berkunci dan anggota saya terpaksa memecahkan pintunya sebelum dapat masuk ke dalam.

"Dipercayai premis itu beroperasi sejak tiga bulan lepas dan VCD serta DVD itu dijual pada harga pasaran sekitar RM8 hingga RM10 sekeping," katanya.

Fahmi berkata antara barangan lain yang dirampas ialah 19 unit mesin penyalin atau 'burner' serta beberapa peralatan mencetak.

Katanya kes itu disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap satu salinan dan minimum RM2,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.