KUALA PERLIS - Sepasukan anggota Unit Pencegah Penyeludup (UPP) yang sedang meronda di pantai Kampung Pulau Ketam di sini semalam terkejut apabila menemui wang palsu berjumlah RM17,200 milik seorang penagih dadah yang tercicir ketika suspek hendak melarikan diri.
Wang not RM100 sebanyak 172 keping ditemui di dalam sebuah beg sandang yang dibuang suspek selepas dia dikejar pihak berkuasa pada pukul 3.40 pagi. Suspek bagaimanapun dapat melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berdekatan.
Difahamkan, suspek yang belum dikenal pasti itu dipercayai datang ke tepi pantai untuk menghisap dadah berdasarkan penemuan ganja dan syabu di dalam beg tersebut.
Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, pemeriksaan rapi kemudian mendapati wang yang ditemui sebenarnya palsu kerana ia tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti yang tulen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: