Muka depan B*Pop hari ini.
TIGA tahun lalu tiada siapa yang mengenali Siti Saleha Mohd Baharum atau Siti Saleha, 22. Kali pertama penulis menemubualnya ketika dia hadir ke lokasi penggambaran drama yang dibintangi ketika itu, Kecuali Cintamu. Saat itu Siti Saleha bukanlah satu nama besar, dia hadir dalam pakej lengkap sebagai pelakon baru dan masih meraba-raba mencari rentak di dalam industri lakonan.
Tidak dinafikan, selama tiga tahun bergelar anak seni, deretan drama sudah dibintanginya, termasuk Kabir & Habir yang dilakonkannya bersama bintang terkenal, Aaron Aziz. Sekalipun beraksi di sisi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 itu, namun kerana belum ada rezeki, karya itu masih gagal mengangkat nama Siti Saleha.
Sehinggalah muncul drama bersiri Nora Elena yang menemukannya kembali bersama Aaron, nama Siti Saleha menggelegak, sekali gus mencuri perhatian ramai.
“Ramai yang kata, saya berlakon di sisi Aaron, nama saya popular, tapi saya tidak melihatnya begitu, Ketika kami sama-sama digandingkan menerusi Kabir & Habir pada 2010, penerimaan peminat biasa saja, sehinggalah muncul Nora Elena, bakat lakonan saya berjaya mencuri perhatian. Alhamdulillah, gandingan semula saya bersama Aaron, disertai produk yang hebat, barulah wartawan dan peminat sedar kemunculan saya.
“Saya percaya kepada rezeki, selama tiga tahun bergelumang dalam dunia hiburan, saya akur apabila saya lambat diterima oleh peminat dunia seni. Ketika itu rezeki masih belum memihak kepada saya. Saya pula tiada kisah sensasi dan kontroversi yang menjadi buruan ramai. Bagi saya, tak mengapalah, biarlah saya merangkak perlahan-lahan membina nama, saya yakin apabila ada produk yang berkualiti, peminat akan nampak.
“Saya bersyukur kerana hari ini, peminat mula memberi kepercayaan kepada bakat lakonan saya, pihak media pula tak henti-henti memberi sokongan. Abang Zubir sendiri yang dah lama tak menemubual saya, akhirnya memberi saya peluang. Justeru, saya yakin dengan rezeki Tuhan, bagi saya, tanpa kontroversi, seseorang artis itu masih boleh diterima peminat. Cuma perlu kesabaran dan sentiasa berkerja keras,” katanya lagi.
Sebelum ini kebanyakan artis yang muncul dalam industri hiburan memberi kenyataan hampir sama dengan Saleha, mereka ingin menempa nama dan populariti berdasarkan kualiti lakonan dan tidak mahu bergantung kepada kisah sensasi dan kontroversi untuk cepat dikenali ramai. Namun, rata-ratanya sekadar omong kosong. Ramai artis memilih kontroversi untuk cepat meraih populariti, sekali gus menjadi kegemaran media massa.
Pun begitu, Saleha berjaya membuktikan, namanya meniti di bibir peminat kerana dia muncul bersama produk yang menjadi kegilaan ramai, sekalipun menuntut masa yang agak panjang.
Dalam dia memelihara nama supaya tidak terpalit dengan kisah kontroversi, tidak berapa lama dulu, beliau muncul juga di laman maya bersama gambar seksi sedang berhibur di pusat hiburan. Namun, Saleha tidak cepat melatah, malah menganggap perkara itu tidak dapat dielakkan apabila seseorang itu bergelar artis.
“Bagi saya, semua orang pernah melakukan kesilapan, bukannya kita lahir saja di dunia ini bersifat ‘maksum’, langsung tidak melakukan kesalahan. Tapi, apabila kita sudah bergelar artis, menjadi seseorang yang dikenali hari ini, pasti kisah silam kita akan diselongkar. Saya melihat perkara itu di sudut positif. Apabila melakukan kesilapan, kita akan berusaha memperbaikinya, berilah kita peluang menebus kembali kesalahan lalu,” jelasnya.
Melihat kepada pergolakan industri hari ini, suhunya sedang memuncak apabila kita disajikan dengan perbalahan yang membabitkan tiga artis cantik yang sedang menempa populariti - Anzalna, Neelofa dan Tasha Shilla apabila bakat ketiga-tiganya dicungkil menerusi pertandingan kecantikan, Dewi Remaja 2010/2011. Lebih parah, kontroversi yang membabitkan Anzalna dan Neelofa akhirnya membabitkan proses perundangan.
“Sebolehnya saya tidak mahu masuk campur dengan kisah peribadi yang membabitkan mereka bertiga. Sekalipun tidak bersahabat baik dengan mereka, ketiga-tiganya tetap kawan saya, teman sesama rakan artis. Seboleh-bolehnya biarlah kita berbaik dengan semua orang, bukannya nak hipokrit, tapi kita mencari rezeki dalam industri yang sama, justeru apabila timbulnya perselisihan faham, situasi ini tidak begitu sihat.
“Apabila kita masuk industri hiburan, jauhkan segala sifat negatif, masih-masing dah dewasa dan biarlah semua tindakan diselesaikan secara profesional dan matang. Saya melihat apa yang berlaku antara Neelofa dan Anzalna adalah kisah peribadi sesama mereka dan tidak seharusnya ia berakhir dengan proses perundangan. Saya bukan nak masuk campur, tapi seboleh-bolehnya biarlah mereka menyelesaikan perkara ini secara aman.
“Kalau ada apa-apa ketidakpuasan hati antara satu sama lain, tidak perlulah menggunakan saluran media massa untuk meluahkan segala-galanya. Jika ada yang terbuku di hati, terus saja berjumpa secara peribadi dan selesaikan dengan baik. Bagi saya, artis bukan hanya perlu memelihara hubungan baik sesama mereka, sebaliknya hubungan bersama media massa dan peminat juga harus diberi keutamaan,” ujar Saleha.
Saleha juga tidak berselindung apa-apa apabila diajukan soalan peribadi kepadanya apabila dia tidak keberatan untuk mengakui sudah putus cinta dengan teman lelakinya kira-kira tiga bulan lalu.
“Saya tidak mahu dilabel hipokrit, jika ada teman lelaki saya akan mengaku, malah apabila sudah putus cinta, tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan. Kini tumpuan saya 100 peratus kepada kerjaya dan pelajaran. Saya tidak mahu memikirkan isu putus cinta secara serius. Saya kembali solo dan selesa dengan keadaan sekarang. Saya tidak mahu mencari cinta, biarlah ia datang dengan sendiri. Keutamaan tetap kepada dunia lakonan dan baki pembelajaran yang masih belum selesai,” kata Saleha mengakhiri bicara tanpa mahu mengulas lebih lanjut perihal peribadinya.
Info Siti Saleha
NAMA PENUH: Siti Saleha Mohd Baharum
TARIKH LAHIR: 14 Mac 1990
DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Inggeris)
KELUARGA: Tiga daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa dari Inti College, Subang Jaya, Selangor
KOMERSIAL: Maxis, Celcom dan Hotlink
DUTA: Palmolive dan Enchaunter
DRAMA: 5 Jingga, Kasut Tumit Tinggi, Kabir & Habir, Kapten Boleh, Puaka Topeng Putih, Hati Batu, Kecuali Cintamu, 7 Hari Ke Neraka, Aku Untuk Siapa, Semadikan Roh Aku, Izan Azizan dan Nora Elena
FILEM: Kerat 14, Pak Pong, Bravo 5, KL Zombie dan Pencinta
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: