MUAR – Sepasang suami isteri merayu sumbangan masyarakat menampung kos tambahan pembedahan anaknya yang menghidap penyakit jantung berlubang dan masalah dua saluran injap jantung sempit.
Ibunya, Zuleha Yahya, 44, berkata, Nur Farah Athirah Balqis Razak, 3, disahkan menghidap penyakit berkenaan semasa dilahirkan, selain dikategorikan sebagai anak kurang upaya (OKU).
Menurutnya, Balqis dijadualkan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 16 September depan dengan kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM30,000.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju untuk menanggung perbelanjaan rawatan sebanyak RM29,800.
“Tetapi kami memerlukan kos tambahan kira-kira RM6,200 untuk menampung perbelanjaan sepanjang berada di IJN yang dijangka memakan masa hampir sebulan termasuk juga kos pengangkutan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Hj Jabbar, Parit Tiram, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Zuleha berkata, dia memerlukan wang tersebut secepat mungkin memandangkan pihak hospital mahu segera menjalankan pembedahan itu kerana lubang jantung Balqis semakin membesar.
“Pendapatan suami sebanyak RM545 sebulan sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di sini menyukarkan usaha untuk mengumpul wang sebanyak itu.
“Kami tiada pilihan lain dan terpaksa meraih simpati orang ramai supaya Balqis dapat dibedah segera,” katanya.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata, dia sering menitiskan air mata kerana tidak sampai hati setiap kali melihat Balqis menangis ketika diserang penyakit berkenaan.
“Balqis akan menangis tanpa henti, muka dan seluruh tubuhnya jadi kebiruan serta nafasnya tercungap-cungap.
“Ketika Balqis dilahirkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), pihak hospital tidak dapat menjalankan pembedahan ketika itu kerana lubang pada jantungnya terlalu kecil,” katanya.
Katanya lagi, sehingga kini Balqis perlu menjalani pemeriksaan sebanyak empat kali seminggu di HPSF dan enam bulan sekali di IJN.
“Setiap kali hendak hantar Balqis menjalani pemeriksaan, suami terpaksa pinjam kereta jiran atau rakan-rakan,” katanya.
Justeru orang ramai boleh menyumbang derma ke akuan Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Zuleha, 04106-29- 00047268-5 atau menghubungi di talian 012-923 8215.
Wednesday, June 27, 2012
Balqis perlu dibedah segera
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: