Wednesday, June 27, 2012

Bakar kalori dengan Lynda Alqudree

LYNDA dan TJ Bryan akan bergabung dalam program Jom Bakar Kalori! yang akan diadakan pada 7 Julai ini.


ANDA mempunyai masalah berat badan dan tidak mahu menjalani rutin senaman yang membosankan seperti berjoging, berbasikal dan berlari?

Tiada apa yang perlu digusarkan kerana anda boleh bersenam dengan cara yang menyeronokkan kerana pengajar kecergasan profesional, Lynda Alqudree akan mengadakan program Jom Bakar Kalori! (Dance Fitness Blast) pada 7 Julai ini.

Program Jom Bakar Kalori! akan diadakan di Hotel Flamingo, Kuala Lumpur bermula dari pukul 10 pagi hingga 4 petang itu bakal menyaksikan gabungan Lynda bersama ketua jurulatih yang berasal dari Kepulauan Carribean iaitu TJ Bryan atau lebih dikenali sebagai Calypso King.

Kedua-dua mereka akan menunjukkan kehebatan masing-masing dalam menarik perhatian anda untuk turut sama bersenam sambil bersantai dan bersuka ria.

Rutin senaman dengan teknik dan tarian terbaharu di Malaysia yang akan dipersembahkan iaitu Selamba Dance Power, Calypso Moves, tarian rumba dan Maraca Fitness.

“Pergerakan Afro Carribean Latin ini mudah dipelajari dan menyeronokkan. Maraca Fitness pula merupakan senaman yang menggunakan peralatan muzik iaitu marakas,” kata Lynda.

Tambahnya, Maraca Fitness sangat popular di Australia dan di Malaysia. Dia merupakan orang pertama yang menggunakan peralatan marakas di studionya di Wangsa Maju, malah sesi Selamba-Maraca akan diadakan setiap hari.


PERALATAN marakas digunakan untuk menambahkan lagi keseronokan saat melakukan aerobik.


Program Jom Bakar Kalori! terbuka kepada semua peringkat umur tidak kira lelaki mahupun perempuan, pandai menari atau sebaliknya.

“Program ini juga terbuka kepada pengajar dan jurulatih aerobik yang inginkan pembaharuan selain mempertingkatkan profesionalisme mereka dalam bidang aerobik.

“Setiap peserta yang mengikuti program ini akan menerima sijil dan bagi 30 peserta pertama yang mendaftarkan diri, mereka akan mendapat peralatan marakas secara percuma,” ujarnya sambil memberitahu bayaran yang dikenakan ialah RM195 sahaja.

Sesiapa yang berminat dikehendaki menghantar nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di 019-358 9494 dengan kadar segera kerana tempat adalah terhad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: