Diugut bekas kekasih suami
Aisah menunjukkan salinan laporan polis yang telah dibuat di Balai Polis Setia Indah, semalam.

JOHOR BAHRU – Juruhebah sebuah stesen radio kerajaan di sini bingung dengan tindakan seorang wanita bersama suaminya dan empat lelaki yang secara tiba-tiba bertindak memaki-hamunnya di sebuah pusat membeli-belah, di sini, semalam.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Aisah (bukan nama sebenar) berkata, dia pada mulanya dihampiri pasangan suami isteri berkenaan ketika berjalan keluar dari pusat membeli-belah bersama anaknya, Safiya (bukan nama sebenar), 7, kirakira jam 3.15 petang.

Menurutnya, tidak cukup dengan tindakan memaki-hamunnya, pasangan suami isteri itu turut mengugut dan menolaknya sehingga hampir membuatnya tersungkur jatuh di khalayak ramai.

“Ketika itu saya baru nak bayar tiket tempat letak kereta sebelum mereka datang dari arah belakang dan secara tiba-tiba terus memaki-hamun saya dengan perkataan kesat dan merebut tiket yang dipegang anak saya.

“Saya dimalukan dengan kata-kata kesat di khalayak ramai dan hampir jatuh tersungkur bersama anak saya sebaik ditolak lelaki berkenaan,” katanya.

Aisah berkata, sebaik suaminya, Razak (bukan nama sebenar), 34, tiba ke pusat membeli-belah berkenaan, lelaki berkenaan turut membawa bersama empat lagi rakannya.

Menurutnya, dia bernasib baik diselamatkan pengawal keselamatan pusat membeli-belah berkenaan selepas diugut sekumpulan lelaki itu untuk memukulnya dan suami.

“Mereka mengarahkan saya menghubungi suami, tapi sebaik suami datang, lelaki berkenaan turut membawa bersama empat lagi rakanrakannya untuk memukul kami.

“Wanita itu adalah bekas kekasih suami saya. Tapi saya tidak faham apa motif mereka memaki-hamun dan mengugut kami, malah pernah mengugut kami tahun lepas melalui telefon,” katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Setia Indah, di sini, semalam.