|
Penyanyi Muhammad Yasin Sulaiman, 37, merupakan salah satu nama besar yang sememangnya sangat dikenali dalam kalangan peminat-peminat nasyid menerusi lagu-lagu berunsur kerohanian dan ketuhanan.
Tidak hanya dikenali sebagai penyanyi, bekas ahli kumpulan Brothers yang suatu ketika dahulu pernah popular menerusi lagu Teman Sejati itu juga turut bergelar komposer dan penerbit album.
Selain itu, figura kelahiran Kajang, Selangor itu juga turut kerap menjalinkan kolaborasi dengan ramai penyanyi popular tanah air termasuk Amy Search menerusi lagu berjudul Takbir Cinta.
Selepas kali terakhir berkolaborasi dengan pelakon Tiz Zaqyah untuk lagu berjudul Nur Kasih, kini tiba giliran pelakon terkenal Maya Karin pula berpeluang untuk berduet dengannya menerusi lagu yang diberi judul Sinar Ini.
Ketika ditemui sewaktu sesi rakaman klip video lagu tersebut di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini, Yasin memberitahu Sinar Ini merupakan single terbaharu yang dihasilkannya dengan memilih Maya Karin sebagai rakan duetnya.
"Mengenai lagu terbaharu ini ia merupakan hasil ciptaan saya, tetapi liriknya pula telah dihasilkan sendiri oleh Maya berdasarkan inspirasinya yang memanjatkan doa kepada Allah.
"Apa yang menariknya Maya telah menghasilkan lirik lagu ini dalam bahasa Inggeris, kemudian saya ubah pula dalam Bahasa Melayu. Malah, liriknya juga telah dihasilkan dalam tempoh satu hari sahaja," ujarnya.
Menurut Yasin, dia memilih Maya untuk menghasilkan single terbaharunya kerana sebelum ini mereka pernah menjalinkan kerjasama sewaktu bernaung di bawah MIG Records dahulu.
Ujarnya, dia sememangnya mahu menerapkan unsur-unsur sinematik untuk single terbaharunya itu dan merasakan Maya merupakan individu yang paling sesuai kerana popularitinya sebagai antara salah seorang pelakon wanita tempatan yang digemari ramai.
"Memandangkan kami pernah bekerjasama dengan menjadi penerbit albumnya sebelum ini, jadi tidak ada masalah besar buat kami untuk berkolaborasi dan sudah tahu peranan masing-masing.
"Lagipun sudah banyak perbezaan yang saya lihat kepada Maya sepanjang kami bekerjasama merakamkan lagu Sinar Ini. Kini saya nampak dia semakin matang dan sudah banyak peningkatan berbanding sebelum ini," jelasnya.
Pada masa yang sama penyanyi, komposer dan penerbit itu juga bercadang supaya lagu tersebut dapat dijadikan runut bunyi untuk mana-mana filem yang bersesuaian.
"Buat masa ini saya memang bercadang untuk berbuat demikian, namun sehingga sekarang masih belum berjumpa dengan filem yang sesuai. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan klip video sahaja terlebih dahulu," ujarnya.
Penyanyi itu juga menyatakan dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan album baharu berdasarkan kepada keadaan industri muzik sekarang dan lebih selesa menghasilkan single sahaja.
Tidak hilang
Selepas mengecap pelbagai kejayaan termasuk pernah muncul juara dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu 2001 menerusi lagu Mimpi Laila, Yasin dilihat seolah-olah menyepi daripada industri seni.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan memberitahu dia sebenarnya tidak menyepi atau menghilangkan diri seperti tanggapan sesetengah pihak, sebaliknya dia lebih banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya memang lebih gemar melakukan kerja-kerja studio seperti menghasilkan lagu, menjadi penerbit album dan berkolaborasi dengan ramai penyanyi popular seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Alyah.
"Namun, kini saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif menyanyi semula. Selepas lagu Sinar Ini, saya akan menghasilkan lagi beberapa buah single terbaharu," jelasnya.
Selain aktif menyanyi, Yasin juga menyatakan dia turut kembali ke dunia lakonan dan bakal berlakon dalam sebuah drama yang akan menjalani penggambaran di Mekah.
"Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang seni buat masa sekarang memang banyak. Selain menyanyi dan berlakon saya juga akan terbabit dalam sebuah rancangan berbentuk travelog untuk saluran Astro, tetapi ia masih lagi dalam peringkat perbincangan," ujarnya.
Luahan hati
Maya Karin yang ditemui sewaktu pembikinan klip video lagu Sinar Ini menceritakan dia sendiri sebenarnya agak terkejut apabila dihubungi Yasin dan ditawarkan untuk berduet bersama-sama.
"Kira-kira tiga minggu lalu Yasin telah menghubungi saya dan menyatakan hasratnya untuk berduet dengan saya menerusi sebuah lagu. Kemudian pada satu malam kami telah lepak bersama kerana mahu membuat perbincangan lanjut mengenainya.
"Namun, semasa kami lepak Yasin memperdengarkan lagu yang dihasilkannya dan menyuruh saya menyiapkannya pada malam itu juga. Mulanya saya tidak begitu yakin untuk melakukannya, tetapi akhirnya saya telah berjaya menyiapkannya," jelas pelakon filem Ombak Rindu itu.
Ditanya mengenai idea untuk menghasilkan lirik lagu tersebut, Maya memberitahu ia merupakan luahan hatinya yang diadaptasikan berdasarkan perjalanan kehidupan yang dilaluinya selama ini.
"Ada kalanya ketika bersendirian saya memang sangat gemar memandang ke arah langit pada waktu malam. Kemudian saya akan merasakan kebesaran yang Maha Esa terhadap segala yang diciptakan oleh-Nya.
"Dengan perasaan kerohanian yang kerap dirasakan itu saya telah curahkan menerusi lirik lagu ini. Apa yang boleh saya katakan, lirik tersebut saya hasilkan dengan jujur menerusi luahan hati saya sendiri," ujarnya.
Watak antagonis
Bercerita lebih lanjut mengenai projek terbaharunya sekarang, Maya menyatakan dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Lagenda Budak Setan 3.
Kemudian dalam tempoh terdekat ini pula dia bakal membintangi sebuah filem arahan Osman Ali yang berjudul Jwanita. Turut berlakon filem tersebut ialah Bront Palarae dan Cristina Suzanne Stockstill.
"Sebelum ini saya memang kerap memegang watak-watak wanita yang baik, sebaliknya untuk filem ini saya telah diberi peluang untuk melakonkan watak antagonis.
"Saya bersetuju menerima tawaran berlakon dalam Jwanita bukan semata-mata kerana Osman Ali, tetapi saya tertarik dengan jalan ceritanya serta karektor yang perlu saya bawa dalam filem ini," jelasnya.
Walaupun sering sibuk dengan karier lakonan, pelakon berkenaan memberitahu dia akan turut meluangkan masa untuk melakukan kerja-kerja amal dan kini terbabit secara aktif dengan sebuah persatuan yang membantu golongan yang kurang bernasib baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: