Wang simpanan ‘lesap’
transaksi buku akaun simpanannya yang meragukan.

BAGAN SERAI - Seorang pengusaha sawah tergamam apabila mendapati sejumlah wang bernilai RM4,399 yang disimpan di dalam sebuah bank tempatan ‘hilang’ tanpa sebarang kesan sewaktu hendak mengeluarkan wang di salah sebuah bank, di sini.

Lebih mengejutkan, mangsa tidak pernah memohon kemudahan kad bank atau perkhidmatan perbankan dalam talian untuk tujuan pengeluaran wang dari bank terbabit, sebaliknya hanya mengeluarkan wang secara manual dan menggunakan cap jari sebagai langkah keselamatan.

Mangsa, Abdul Wahab Ahmad, 59, berkata, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 3.30 petang pada 21 Jun lalu apabila beliau pergi ke bank terbabit untuk mengeluarkan wang sebanyak RM200.

Abdul Wahab terus ke kaunter bank untuk mengeluarkan wang dan terkejut apabila pegawai kaunter memaklumkan wang tidak dapat dikeluarkan kerana baki di dalam akaun simpanannya hanya tinggal RM49. “Saya tergamam kerana masih tercatat dalam buku akaun simpanan saya menunjukkan baki wang RM4,399 sebelum saya datang ke bank itu dan apabila semakan akaun dibuat, sejumlah RM4,350 telah ‘lesap’ begitu sahaja.

“Apabila saya meminta penjelasan pihak bank, mereka sendiri mengakui tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku dan mengesahkan wang itu dikeluarkan individu tidak dikenali di Selangor,” katanya.

Abdul Wahab yang berasal dari Simpang Empat Selinsing berkata, dia terpaksa menunggu pihak bank menjalankan siasatan mengenai kehilangan wang simpanannya sehingga lewat petang dan akhirnya membuat laporan polis pada hari sama.

Menurutnya, lebih kurang jam 8.40 malam hari kejadian, beliau menerima panggilan daripada pegawai bank dari salah satu cawangan di Selangor dan dimaklumkan berlaku kesilapan teknikal dan transaksi pengeluaran wang sememangnya dibuat oleh seorang pelanggan bank itu.

Bagaimanapun mereka memberi jaminan tiada unsur penipuan atau jenayah siber berlaku dan berjanji akan memulangkan kembali wang berkenaan.

“Sekiranya masalah ini berlaku disebabkan saya mengeluarkan wang menggunakan kad bank atau khidmat ‘online banking’, saya masih boleh terima alasan masalah teknikal.

“Bagaimanapun, wang saya ‘lesap’ secara tiba-tiba walaupun saya menggunakan kaedah manual iaitu pengeluaran wang melalui kaunter bank dan saya kini hilang kepercayaan untuk simpan wang di bank terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan laporan polis dibuat dan menyifatkan kes seumpama itu pertama kali berlaku di daerah ini.