Friday, June 22, 2012

Apabila bapa paksa berkahwin


JIKA ayah kepada seorang lelaki menghalang hasrat anaknya itu menikahi wanita solehah, maka tidak harus anak itu untuk mentaatinya. - Gambar hiasan


ADAKAH sesebuah perkahwinan sah sedangkan pengantin lelaki dipaksa untuk mengahwini pengantin perempuan kerana kehendak ibu bapa dan bukannya atas pilihannya? Apakah yang perlu dilakukan?

JAWAPAN:

Perkahwinan seorang lelaki yang dipaksa itu sah jika si lelaki menerima akad nikahnya, dengan menyebut 'Aku terima nikahnya fulanah binti fulanah'.

Berkenaan soalan ini, pihak lelaki hendaklah berterus-terang dan berbincang dengan pihak ibu bapanya agar memahami keadaan dirinya yang tidak bersetuju dengan pernikahan tersebut.

Walaupun pernikahan itu sah, akan tetapi dikhuatiri berlaku sesuatu yang akan merosakkan masa depan pasangan tersebut.

Di sini, saya sertakan jawapan oleh Asy-Syaikh Muhammad Shalih Al-'Utsaimin dalam kitab Durus Wa Fatawa Al-Haram Al-Makky yang menyatakan: Tidak boleh seorang ayah memaksa puteranya untuk menikahi wanita yang tidak disukainya, baik kerana aib yang ada pada wanita tersebut berupa aib agama, tubuh atau akhlaknya.

Betapa banyak orang yang menyesal ketika memaksa anak-anaknya untuk menikah dengan wanita-wanita yang tidak disukai. Akan tetapi, dia mengatakan: 'Nikahilah dia, sebab dia itu anak saudaraku atau kerana dia itu daripada kabilahmu'.

Maka, tidak mengharuskan bagi si anak untuk menerimanya dan tidak boleh bagi orang tua untuk memaksa puteranya agar menikahi wanita tersebut.

Demikian juga, seandainya si anak ingin menikah dengan wanita yang solehah, kemudian sang ayah menghalangnya, maka hal itu tidak mengharuskan bagi si anak untuk mentaatinya.

Apabila si anak memang senang dengan wanita solehah tersebut dan ayahnya mengatakan: 'Kamu tidak boleh nikah dengannya!', maka boleh baginya untuk bernikah dengan wanita tersebut walaupun dihalang oleh ayahnya.

Ini kerana seorang anak tidak harus taat kepada ayahnya dalam perkara yang tidak membahayakan ayahnya, bahkan bermanfaat bagi ayahnya. Kalau kita katakan bahawasanya wajib bagi seorang anak mentaati orang tuanya dalam segala sesuatu hingga dalam permasalahan yang dalamnya terdapat manfaat bagi si anak dan tidak membahayakan ayahnya, nescaya akan timbul pelbagai kerosakan.

Akan tetapi dalam keadaan seperti ini, hendaknya seorang anak bersikap lurus terhadap ayahnya, lemah-lembut dalam memahamkannya dan semampunya berusaha agar ayahnya merasa lega. [Durus wa Fatawa Al-Haram Al-Makky, Jilid 3 Halaman 224].

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: