Monday, June 25, 2012

Koleksi kasut comel Kak Nani

KECOMELAN replika kasut menghiburkan hati Rosnani.

WANITA sering tidak berasa cukup dengan koleksi kasut yang ada. Begitu juga dengan Rosnani Abd. Karim.

Pantang melihat yang berkenan, dia yang mesra dipanggil Kak Nani pasti menyambarnya walaupun masih banyak yang elok dalam simpanan.

Cuma bezanya Kak Nani dengan wanita lain, koleksi kasutnya bukan untuk dipakai. Dia menggilai replika kasut yang comel dalam pelbagai bentuk daripada hiasan meja, rantai kunci, pelekat peti sejuk bermagnet, alat tulis, pengetip kuku, klip rambut, kerongsang, jam, tabung malah hingga ke lampu suluh.

Cintanya terhadap replika kasut bermula sejak melihat seorang rakan mengumpul cenderamata berbentuk ikan lumba-lumba lalu menimbulkan keinginan Kak Nani untuk mencari hobi sendiri.

Dia kemudian merealisasikan impiannya dengan memiliki replika kasut pertamanya pada 2003 ketika menjejakkan kaki ke Nilai, Negeri Sembilan.

Koleksi pertamanya iaitu tiga pasang kasut kecil hiasan masih disimpan rapi di antara beratus-ratus koleksinya itu.

"Sejak itu, asal terlihat saja kedai-kedai perhiasan atau cenderamata, pasti saya akan singgah dan mata mula melilau mencari replika kasut idaman.

"Saya gemar melihat kasut, tetapi rasanya lebih senang mengumpul replika kasut kerana saiznya yang kecil dan reka bentuk yang unik.

"Antara replika kasut kesayangan saya dihadiahkan oleh rakan sekerja iaitu Allahyarham Hamidah dan Zainab.

"Kebanyakannya saya simpan di pejabat sebagai peneman saya ketika kerja," ujarnya yang turut gemar menjahit manik baju, ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Suami Kak Nani, Ree dan empat anaknya iaitu Amielia, Azlinda, Ardiana dan Azreen turut membantu menambah koleksinya setiap kali terlihat replika kasut.

Mereka sudah tahu mana-mana kasut atau tapak kaki kecil yang berada di kedai sudah ada atau belum dalam simpanan ibu mereka.

Saudara-mara dan kenalan juga mengetahui hobi Kak Nani. Setiap kali mereka bercuti, sekurang-kurangnya sepasang kasut dibawa pulang sebagai buah tangan untuknya antaranya dari Singapura, Vietnam dan Bali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: