Monday, June 25, 2012

Kota Biru

pix_gal0
Warna biru pada bangunan, keindahan langit dan laut menjadi tarikan pelancongan yang sukar dilepaskan

BIRU adalah warna yang paling sejuk dan menenangkan yang sangat sinonim dengan langit dan lautan. Pada zaman Mesir purba warna itu mewakili syurga.
Warna ini juga dikaitkan dengan inspirasi, keikhlasan dan kerohanian dan sering menjadi pilihan orang yang berfikiran konservatif dan menjadikan warna popular untuk digunakan di rumah, terutama bilik bayi dan bilik tidur.
Biru tua pula warna kebenaran dan kesederhanaan selain menjadi pilihan lambang persahabatan. Pelukis sering menggunakan warna ini untuk menunjukkan perspektif dan dengan memahami tenaga warna biru, membolehkan kita melihat lebih jauh dan meningkatkan perspektif kepada dunia luar.

Getaran sejuk pada warna biru juga dikatakan dapat membantu komunikasi.

Minggu ini, RONA menyenaraikan lima bandar di dunia yang bertemakan warna biru dan digelar Kota Biru. Lima bandar mengambil inspirasi warna biru itu menjadi tona utama latar kota. Malah, kota terletak di pinggir laut dan pergunungan yang nampak seakan di kaki langit turut dimasukkan dalam senarai berkenaan.

Bandar Jodhpur di Rajasthan, India
Mendapat jolokan bandar biru dunia kerana kebanyakan bangunan di Jodhpur dilimpahi warna biru laut seakan-akan indigo atau biru nila.

Terletak di kawasan gersang berhampiran Gurun Thar yang bersempadan dengan Pakistan, kota yang menempatkan kediaman di lereng bukit menggabungkan seni bina rumah seperti kubus kecil berwarna biru dengan keindahan lautan dan langit membiru yang sangat indah dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Bandar ini juga mendapat jolokan ‘kota suria’ kerana cuaca yang cerah dan berangin sepanjang tahun. Asalnya bandar ini dikelilingi tembok batu dalam kubu kota dikenali Fort Mehrangarh.

Namun, bandar itu berkembang besar di luar dinding tembok kota dan sering menjadi pilihan pengembara dan pelancong yang berkunjung ke India selepas Taj Mahal. Jika ditanya kepada penduduk Jodhpur mengapa mewarnakan rumah dengan warna biru, jawapannya biasa di dengar adalah warna biru mampu menyejukkan dan mampu menghalau nyamuk.

Industri kraftangan dan pelancongan menjadi sumber ekonomi utama negeri ini dan Jodhpur turut terkenal sebagai tempat penanaman gandum dan cili merah serta garam lombong.

Kota ini juga berfungsi sebagai tempat latihan ketenteraan serta hub pendidikan tinggi di India. Selain keindahan kota, terdapat tarikan pelancongan lain di bandar ini seperti tasik buatan yang dibina pada 1872 dikenali Kaylana Lake dengan pemandangan biru yang memukau.

Chefchaouen, Maghribi

Bandar ini terletak di pergunungan dengan latar awam putih dan langit membiru yang mempersonakan.
Kedudukannya di atas kawasan pergunungan menambah kesempurnaan Chefchaouen sebagai antara bandar tercantik di benua Afrika Utara.

Apabila datang ke bandar ini, sudah tentu seluruh pengembara kagum pada keindahan bandar ini dan pekan yang terletak di timur laut Maghribi ini kelihatan sangat sejuk dan selesa.

Menjadi antara bandar pilihan pelancong yang datang ke Maghribi, bandar ini menerima beribu pelancong setahun mempunyai kediaman yang tersusun cantik di lereng bukit dengan latar belakang pergunungan dramatik campuran putih dan tona biru memikat.

Selain cantik, kota biru ini terkenal dengan reputasinya sebagai pusat utama penanaman ganja dan kebanyakan ladang berkenaan mendapat lesen yang sah untuk beroperasi. Namun, bukan mudah untuk mendapatkan bekalan ganja di bandar ini walaupun di lorong kecil pinggir kota kerana mereka yang menjual dadah berkenaan boleh ditangkap pihak berkuasa.

Selain menikmati udara dan keindahan bandar yang telah membentuk lorong-lorong jalan, pengunjung boleh mendaki ke gunung Rif. Bandar ini menjadi titik permulaan ekspedisi pendakian ke gunung berkenaan dan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dulu daripada pihak berkuasa tempatan Chefchaouen.

Penduduk di kawasan bandar ini dipanggil Chaouen sangat mesra kepada orang luar dan tidak lokek memerlukan bantuan termasuk membenarkan pelancong menginap di kediaman mereka.

Selain itu, bandar ini menjadi pilihan jurugambar profesional dan pelukis kerana menawarkan panorama menarik di bawah langit yang cerah dan membiru memenuhi setiap sudut bandar.

Bandar Juzcar, Malaga, Sepanyol

Selama beratus-ratus tahun rumah ‘pueblo’ kecil di lereng bukit di Júzcar, berhampiran Malaga di Sepanyol bercat putih dan tiada apa yang luar biasa tentang kampung yang menempatkan 221 kediaman itu, malah ia bukanlah satu tempat tarikan pelancong di negara berkenaan. Dilaporkan tidak sampai 300 pelancong setahun berkunjung ke Juzcar bagi melihat kediaman kawasan pergunungan itu.

Semuanya berubah selepas musim bunga 2011, apabila seorang eksekutif dari Sony Pictures berkunjung ke sana. Eksekutif itu melihat Bandar Putih di Andalusia berpotensi sebagai destinasi penggambaran filem animasi Smurf.

Sesuai dengan tema biru yang dibawa oleh filem berkenaan, maka Sony Pictures mencadangkan bandar itu dicat biru. Pada awalnya, penduduk membantah namun selepas diyakinkan bahawa ia akan memberikan pulangan kepada penduduk dan mempopular kampung itu, akhirnya kota berkenaan dicat dicat biru dan kini menjadi sangat popular sebagai destinasi pelancongan di Sepanyol.

Kira-kira 4,000 liter cat biru digunakan untuk ‘membirukan’ perkampungan itu untuk dijadikan bandar rasmi Smurf. Dilaporkan 125,000 orang sudah berkunjung ke Juzcar sejak ia dibuka Jun 2011

Querétaro, Mexico

Bandar kecil di Mexico mendapat gelaran Kota Biru kerana menjadi yang bandar pertama terpilih menjadi 'Kota Hati Biru' atau 'City Blue Heart' dalam kempen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah (UNODC) memerangi penyeludupan manusia pada April 2010.

Blue Heart menggalakkan pegawai kerajaan, masyarakat sivil dan orang ramai di seluruh dunia mengambil pendirian terhadap sebarang bentuk perhambaan moden hari ini.

Serentak dengan itu, beberapa arca warna biru ditempatkan di seluruh bandar Queretaro manakala bangunan dicat biru dan taman awam diterangi lampu biru pada waktu malam.

Honolulu, Hawai

Mendapat jolokan bandar biru kerana lokasinya yang terletak di pesisir pantai yang dikelilingi laut dan langit membiru. Malah, kebanyakan bangunan pencakar langit di Honolulu tampil dengan tingkap berwarna biru sebagai refleksi warna laut dan langit yang menjadi landskap utama bandar itu.

Bandar paling popular di Amerika Syarikat selain New York, Chicago dan Los Angeles terletak di Hawai dikenali sebagai kawasan bandar pesisir di Tenggara Pulau Oahu pusat pentadbiran Hawai.

Honolulu adalah pusat utama kewangan kepulauan di Lautan Pasifik juga terkenal sebagai kawasan percutian pantai dan kawasan peranginan pilihan pelancong dunia.

Dengan pantai yang dipenuhi dengan pelancong yang suka berjemur di bawah sinar matahari, Honolulu juga adalah bandar pencakar langit selepas New York dan sehingga April 2012, bandar ini mempunyai sejumlah lebih 470 bangunan pencakar langit. Jolokan kota biru juga diberikan kerana ramai yang suka memakai pakaian mandi dan berjemur bogel di pantai peranginan sekitar kota itu yang sering dikaitkan dengan aktiviti 'biru' atau mengghairahkan.

Kota Biru, Oman

Bandar ini asalnya dikenali sebagai Al Madina A'Zarqa. Ia kemudiannya mahu diberikan nafas baru dan dijadikan bandar mega dalam salah satu rancangan Wawasan 2020 Oman.

Dengan kos RM47.6 bilion (AS$15 billion), ia diberikan nama Kota Biru kerana kedudukannya yang terletak menghadap pesisir laut. Terletak dalam kawasan seluas 32 kilometer persegi dan 16 kilometer di pesisir pantai Al Sawaadi, kira-kira 45 minit dari Muscat.

Apabila siap sepenuhnya, bandar ini akan mempunyai lebih daripada 20 hotel, hospital dan universiti selain pusat beli belah, kawasan marina, sekolah serta beberapa kemudahan lain seperti yang ada di bandar metropolis lain di dunia. Projek bandar mega ini adalah antara visi Kesultanan Oman untuk melonjakkan lagi ekonomi negara berkenaan serta menjana pendapatan lebih tinggi kepada rakyatnya selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta kota dagangan antarabangsa di Asia Barat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: