|
MENYANDANG gelaran Ratu Super GT tidak mudah. Sebelum pemilihan dibuat, puluhan para peserta yang merebut gelaran perlu melalui saingan yang mencabar minda. Kecantikan paras rupa bukanlah ukuran asas, namun keseimbangan personaliti dan kecerdikan lebih diutamakan.
Sewatu kali pertama ia dianjurkan di Malaysia pada tahun lalu, Lushan Ng, 22, telah melenyapkan impian puluhan peserta lain yang mendambakan gelaran tersebut. Semenjak detik kemenangan itu, Lushan telah mempelajari 1,001 pengalaman yang sukar diungkap menerusi lisan.
“Saya dilatih berkomunikasi dengan orang awam, menghapuskan rasa malu dan membina keyakinan diri. Tugas saya banyak merangkumi hal membabitkan perlumbaan Super GT yang akan diadakan di negara ini.
“Segala maklumat berkaitan tiket, aktiviti dan pasukan yang menyertai perlumbaan perlu saya kuasai. Dalam erti kata lain, Ratu GT ini juga berfungsi sebagai jurucakap acara,” tutur Lushan memulakan bicara.
Ke mana sahaja pihak pengurusan membawa Lushan, beliau perlu bersedia menyampaikan informasi perlumbaan. Semua maklumat perlu berada dalam fikirannya dan sedia diungkapkan kepada mereka yang bertanya. Kesilapan kecil mampu mencacatkan keseluruhan imejnya selaku ‘orang tengah’ yang menghubungkan penganjur dengan masyarakat.
Pada hari perlumbaan, kerja Lushan menjadi sangat berat. Mungkin pandangan yang dilontarkan orang awam kepada mereka agak sinikal. Namun, ia tidak menghentikan senyuman wanita dari Terengganu itu untuk terus menjalankan tugas.
“Mengukir senyuman sepanjang masa merupakan salah satu skop kerja saya. Tidak dinafikan, ia meletihkan malah waktu awal dahulu ia menjadi perkara yang sukar untuk dikekalkan. Lama-kelamaan, saya dapat membiasakan diri.
“Pengunjung yang hadir pada acara dua hari itu juga berpeluang bergambar bersama Ratu GT dan kereta lumba. Percaya atau tidak, tugasan ini sedikit meresahkan.
“Mengekalkan rupa yang cantik dalam gambar amat penting. Jadi, saya perlu pastikan wajah dan tubuh badan berada pada posisi dan sudut yang betul ketika bergambar. Jika tidak, hasilnya mungkin mendukacitakan,” ucap Lushan yang amat mementingkan kesempurnaan dalam bekerja.
Kebanyakan acara perlumbaan kereta dan motosikal tidak sah tanpa kehadiran gadis litar. Sekumpulan perempuan berpakaian seksi yang memegang payung dan berjalan di kawasan litar menjadi pemandangan ‘mengasyikkan’ buat pengunjung.
Bukan gadis litar
Walau bagaimanapun, masyarakat perlu peka dalam membezakan antara gadis litar dengan Ratu GT kerana kedua-dua kelompok itu menggalas peranan yang berlainan.
Ratu GT Jepun, Toshimi Takahashi, 24, menjelaskan bahawa gadis litar perlu mengiringi pemandu sebelum dan sesudah perlumbaan. Ke mana sahaja kelibat mereka dilihat membawa payung atau botol air.
“Kalau di Jepun, Ratu GT dipanggil ratu lumba GT (race queen) dan tugas kami banyak dihabiskan di trek. Kami perlu bergaul dengan semua pihak termasuk penganjur, pelumba dan penonton.
“Paling penting bagi seorang Ratu GT ialah mempelajari fakta berkenaan kereta dan pasukan yang mereka wakili. Contohnya, tahun lalu saya menjadi jurucakap untuk pasukan GT JLOC Lamborghini, jadi segala perkara yang melibatkan mereka wajib saya pelajari.
“Bukan itu sahaja, informasi asas pasukan lain juga wajar diketahui. Bayangkan kalau ada orang bertanya dan saya tidak ada jawapannnya, sudah tentu ia mencalarkan kredibiliti saya sebagai jurucakap perlumbaan,” ujar Toshimi yang cukup terkenal dalam arena perlumbaan Super GT di Jepun.
Semenjak tiga tahun lalu, waktu Toshimi banyak dihabiskan di litar lumba Super GT. Kesemua tujuh pusingan di Jepun memerlukan beliau berinteraksi dengan semua pihak yang terlibat. Beliau perlu mengingati nama-nama penting dan mengenali hampir setiap pelumba pasukan.
“Melayan kerenah penonton memerlukan kesabaran yang tinggi. Jika tercetus suasana tegang atau kurang menyenangkan, saya perlu bijak menangani situasi tersebut.
“Ia juga melatih saya merendah diri dan sentiasa menghormati individu sekeliling,” jelasnya yang berasal dari Tokyo.
|
Walaupun berada di Malaysia untuk pusingan perlumbaan yang seterusnya di Litar Sepang, Toshimi tidak berdepan kesukaran berkomunikasi. Biarpun tidak fasih berbahasa Inggeris, penguasaan bahasa Mandarin yang dimiliki beliau memudahkan urusan kerjanya.
Selama setahun, Toshimi mempelajari bahasa Mandarin di China. Selepas mengetahui terpilih mewakili Jepun sebagai Ratu GT ke Malaysia, beliau meningkatkan lagi kemahirannya.
Aksi pentas
Pada hari perlumbaan juga, Ratu GT perlu membuat persembahan di atas pentas. Menariknya, tahun ini bakal menyaksikan kombinasi ratu GT Jepun dan Malaysia berkongsi pentas bagi mempersembahkan nyanyian dan tarian mereka.
Lagu berbahasa Jepun menjadi pilihan Lushan dan Toshimi dengan diiringi gerak tari yang menarik. Beraksi di pentas mungkin dianggap biasa bagi sesetengah orang namun bagi mereka, ia satu tugasan yang menguji fizikal dan mental.
“Mempelajari langkah tarian tidak senang memandangkan saya bukanlah seorang penari. Tambahan pula lagu yang dinyayikan dalam bahasa Jepun sekali gus menambahkan gugup saya. Namun, saya sentiasa berharap agar setiap tugasan yang perlu dibuat berjalan lancar,” kata Lushan jujur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: