FENOMENA bazar larut malam atau uptown yang semakin diterima oleh masyarakat sejak beberapa tahun lalu turut menjadi tarikan utama bandar raya Alor Setar, Kedah.
Atas sebab itu, uptown Stadium Darulaman yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini cukup popular di kalangan penduduk dari seluruh pelosok negeri ini.
Apatah lagi pada hujung minggu atau musim perayaan, uptown tersebut sering sesak dengan orang ramai membeli-belah di bazar yang menawarkan pelbagai jenis barangan pada harga murah dengan suasana cukup nyaman.
Pelbagai jenis barangan ditawarkan di uptown Stadium Darulaman bermula daripada pakaian termasuk kanak-kanak, barang perhiasan, aksesori kereta, perkakasan rumah sehingga ke barangan kulit menjadikan ia lokasi sesuai untuk membeli-belah seisi keluarga.
Kewujudan uptown tersebut tentunya bertujuan menjana ekonomi sekali gus meningkat pendapatan di kalangan usahawan menerusi barangan yang ditawarkan.
Malah dengan suasana yang meriah ia juga berpotensi untuk menjana pendapatan menyebabkan ramai peniaga Melayu mencuba nasib menghidupkan uptown itu yang beroperasi dari pukul 8.30 malam sehingga 3 pagi.
Menurut salah seorang peniaga, Raliza Baba, 31, sejak berniaga di situ kira-kira dua tahun lalu pendapatan yang diraih agak lumayan.
"Budaya membeli-belah waktu malam ini semakin diterima ramai apatah lagi apabila tidak ada tempat yang menawarkan barangan pada harga yang cukup berpatutan seperti uptown ini.
"Mungkin kerana kedudukannya di tengah bandar dan bandar raya ini juga tidak mempunyai tarikan lain pada waktu malam jadi orang ramai akan tertumpu di sini," katanya yang menjalankan perniagaan tersebut bersama suaminya, Mohd. Shaufi Halim, 33.
Dalam pada itu Mohd. Shaufi mengakui suasana membeli belah di situ lebih sibuk ketika malam semakin larut.
"Seronok berniaga dalam suasana terbuka dan nyaman pada waktu malam apatah lagi ketika musim perayaan seperti hari raya Aidilfitri, ia sangat sesak.
"Namun berbeza daripada kebanyakan bazar larut malam di ibu kota lain, uptown ini perlu dikembangkan termasuk memeriahkan ia dengan pelbagai aktiviti lain juga untuk orang ramai beriadah," katanya lagi.
Seorang lagi peniaga, Wan Nor Fairuz Wan Ibrahim, 26, berkata, peluang berniaga di bazar tersebut menjadi platform kepadanya untuk meraih pendapatan sehingga mendapat pekerjaan tetap.
"Daripada tidak melakukan apa-apa pekerjaan saya mencuba nasib berniaga di sini dengan modal sekitar RM5,000 sahaja dan mendapat keuntungan agak lumayan," katanya yang mempunyai ijazah daripada sebuah universiti tempatan.
Beliau yang menjual aksesori perhiasan wanita berkata, walaupun terpaksa bersengkang mata setiap malam namun hatinya puas apabila dapat berdikari.
Selain itu jurujual barangan kulit, Mohd. Nasqiudin Mohd. Zaki, 23, memberitahu produk yang ditawarkan di uptown juga berkualiti.
"Banyak yang suka membeli-belah di uptown kerana produknya berkualiti seperti produk kulit ini yang dibawa dari butik. Namun harganya agak rendah berbanding dijual di butik," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: