DALAM menjalankan ibadah, khususnya ibadah haji dan umrah, adalah sentiasa dinasihatkan supaya seseorang itu mempertingkatkan daya kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi segala kesusahan, kepayahan serta ketidakselesaan kerana kesemua itu dianggap sebagai ujian yang diambil kira dalam menilai amal seseorang.
Tetapi itu tidak pula bermakna seseorang perlu sengaja mencari susah atau mengabaikan sebarang tindakan yang boleh mendatangkan keselesaan ketika menjalankan ibadah, termasuk haji dan umrah. Ini kerana keselesaan dalam melaksanakan ibadah akan menyumbang kepada ketenangan fikiran, bahkan dapat menajamkan lagi tumpuan seseorang dalam melakukan setiap kewajipan yang telah difardukan.
Maka dalam hal ini, adalah wajar bagi seseorang dalam lingkungan kemampuannya untuk mendapatkan keselesaan dalam melaksanakan ibadah. Namun terdapat banyak perkara yang mendatangkan keselesaan di luar kuasa seseorang, sebaliknya ia terletak dalam kemampuan pihak-pihak berkuasa terbabit.
Justeru itu, kerajaan negeri Terengganu yang menganjurkan Penerbangan Terus Umrah dari Kuala Terengganu mempunyai hasrat untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada para jemaah umrah dari negeri itu. Dengan penerbangan terus itu, para jemaah umrah Terengganu tidak perlulah ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Jeddah atau Madinah.
Tetapi keselesaan untuk para jemaah umrah bukanlah sekadar penerbangan terus tetapi tentunya meliputi keadaan ketika mereka berada di Madinah dan Mekah. Ini termasuklah perjalanan darat dan penginapan serta pemakanan mereka.
Bagi mengetahui keadaan mereka, Urusetia Operasi Penerbangan Terus Umrah Kuala Terengganu ke Jeddah/Madinah yang diketuai oleh Penasihat/Penyelaras kepada Menteri Besar Terengganu bagi Projek Umrah, Haji dan Ziarah, Abu Backer Sidek mengadakan tinjauan maklum balas ke tempat-tempat penginapan jemaah umrah Terengganu dari 27 hingga 29 Mei lalu.
Tumpuan tinjauan itu adalah di tempat-tempat penginapan jemaah umrah yang menyertai penerbangan terus itu melalui ejen perjalanan Syarikat Pelancongan Yaskin Sdn. Bhd., Agensi Pengembaraan Asari Murni Sdn. Bhd., Zahafiz Travel and Tours, Rayhar Travel Sdn. Bhd. dan Imtiyaaz Travel yang menempatkan pelanggan mereka di hotel-hotel Dar Al-Naeem, Ishraq Al Madinah, Mubarak, Dallah Taibah dan Sanabit.
Perkara pertama adalah kedudukan hotel-hotel itu hendaklah tidak berjauhan dengan Masjid Nabawi agar masa berjalan kaki para jemaah tidaklah begitu lama dan mengambil banyak tenaga lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang panas terik.
Daripada tinjauan itu didapati kedudukan hotel-hotel itu tidaklah jauh dan mudah bagi para jemaah umrah menunaikan sembahyang secara berjemaah di Masjid Nabawi dalam jangka waktu yang selesa. Ini adalah satu lagi keselesaan yang penting bagi para jemaah.
Keadaan hotel itu juga pelbagai. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan tidaklah ada tempat yang dikatakan baik dalam pelbagai segi. Umpamanya, ada hotel yang tempat penginapannya kelihatan lebih baik tetapi dari segi makanan dikira agak kurang menarik berbanding yang lain.
Sememangnya dalam kalangan jemaah, tentulah terdapat pelbagai cita rasa dan keutamaan. Ada yang lebih mementingkan keadaan tempat tidur daripada menu makanan dan begitu sebaliknya.
Tetapi akhirnya perkara pokok bagi seseorang jemaah umrah di Madinah adalah amal ibadat di Masjid Nabawi, daripada solatnya, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa hinggalah kepada ziarah Makam Rasulullah SAW dan para sahabat.
Namun begitu, untuk selesa beribadat, pastinya cukup tidur dan rehat adalah penting, di samping makanan yang berkhasiat dan tempat pembersihan diri yang sempurna. Justeru, tempat penginapan yang baik adalah amat penting.
Maka daripada tinjauan maklum balas, pihak Urusetia Operasi akan dapat membuat perakuan garis panduan bagi para jemaah dan agensi umrah untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang baik serta memuaskan hati jemaah secara sewajarnya.
Dalam hal ini, bakal jemaah umrah wajar lebih prihatin terhadap perkhidmatan agensi-agensi supaya mereka dapat melakukan ibadat umrah dengan selesa agar tidak timbul rasa kurang puas hati dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: