Monday, June 4, 2012

Penjenamaan semula Hotel The Aston

RUANG legar yang luas untuk keselesaan tetamu.

HOTEL Allison Putra di Nilai, Negeri Sembilan telah dijenamakan semula kepada Hotel The Aston baru-baru ini sejajar dengan hasratnya untuk mengukuhkan kedudukan sebagai hotel peneraju di rantau ini bagi golongan usahawan dan pelancong santai.

Hotel tiga bintang itu terletak di tengah-tengah kawasan utama Bandar Baru Nilai yang sedang meningkat naik sebagai bandar lapangan terbang berikutan kedudukannya yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Selain KLIA, ia juga berhampiran dengan pusat membeli-belah borong, Nilai 3, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mengacarakan beberapa siri perlumbaan bertaraf antarabangsa seperti Formula Satu (F1).

Pengurus Besar Hotel The Aston, Zulkifli Ahmad berkata, penjenamaan itu dilakukan oleh pemilik dan pengurus hotel berkenaan, Al Hasry Travel & Tours Sdn. Bhd.

Beliau berkata, majlis penjenamaan semula itu telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Adat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Razi Kail.

"Perubahan nama itu menunjukkan kesungguhan kami untuk menjana industri hotel di kawasan ini serta menyediakan tetamu kami dengan pengalaman dan hospitaliti seperti yang diharapkan oleh mereka.

"Hotel ini akan menjalani pengubahsuaian dan naik taraf secara besar-besaran, namun operasinya akan berjalan seperti biasa," katanya.

Hotel The Aston terletak kira-kira 15 minit dari KLIA dan SIC, 20 minit dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah dan Putrajaya serta 30 minit dari bandar raya Kuala Lumpur.

Hotel itu mempunyai 200 bilik termasuk 10 suite. Setiap tingkat mempunyai 40 bilik, dua daripadanya suite dan selebihnya bilik superior.

Hotel itu dilengkapi kemudahan moden sesuai dengan kemahuan pelawat perniagaan atau santai seperti TV warna, saluran satelit, sambungan internet tanpa wayar, mini bar serta telefon dail terus antarabangsa.

Hotel The Aston menawarkan banyak pilihan makanan halal, sama ada kasual atau hidangan mewah serta makanan tempatan dan antarabangsa di restoran CitraRasa dan Tsui Sien.

Untuk hiburan, tetamu boleh bersantai dan menghiburkan hati di SQ Club.

Kedudukan Hotel The Aston di kawasan strategik memberi pilihan kepada tetamu untuk bersiar-siar, membeli-belah dan menikmati hidangan di beberapa restoran berhampiran.

Dari hotel, tetamu boleh berjalan kaki ke pasar raya besar Giant dan Tesco.

Hotel itu juga terletak di kawasan hab pendidikan Nilai, tempat banyak institusi awam dan swasta beroperasi termasuk Kolej Universiti INTI, Kolej Universiti Nilai, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Antarabangsa Manipal yang akan didirikan di sini tidak lama lagi.

Beberapa padang golf bertaraf antarabangsa juga terletak berhampiran dengan hotel ini.

"Apa yang paling istimewa ialah dengan pemilik dan pengurusan yang sama, para tetamu boleh mengharap perkhidmatan yang menarik seperti yang pernah kami tawarkan selama ini di hotel ini," kata Zulkifli.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: