TERINGIN menjamah stimbot dan panggang dengan kuah asam pedas bersama nasi sewaktu makan tengahari? Cubalah ke restoran Nakhoda Malaya di Neo Cyberjaya untuk menukar selera sekali-sekala.
Kuah asam pedas yang berasap ditambah dengan jejari ikan goreng, bebola ikan, fucuk, dim sum, jejari ketam, gulungan ketam, cendawan, kailan, kangkung yang direndam sungguh membuka selera.
Di tepi dulang kuah, letakkan marjerin dan panggang udang, isi kerang, sotong, ayam, lembu dan hati ayam.
Hmmm... aromanya memang membuka selera.
Nasi yang dicurah dengan kuah asam pedas yang cukup segala perisa sudah pasti membuatkan anda terliur sebelum mula menyuap.
"Inilah kelainan yang kami tonjolkan menerusi hidangan nasi serta stimbot dengan kuah asam pedas," kata pemilik restoran Nakhoda Malaya, Amru Najmi Osman.
Menurut Amru, bagi mendapatkan rasa yang memikat pelanggan, beliau mendapatkan terus pes asam pedas dari Sungai Petani, Kedah.
"Secara kebetulan rakan kongsi Amal Faiz Baharudin berasal dari sana.
"Mula-mula memang sukar untuk membancuh pes bagi mendapatkan rasa yang dikehendaki tetapi lama kelamaan masalah dapat diatasi," katanya.
Di sini pelanggan boleh memilih tiga jenis kuah stimbot iaitu tomyam, sup ayam dan asam pedas.
"Buat masa ini kuah asam pedas dan tomyam mendapat permintaan yang amat menggalakkan," kata Amru.
Bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan yang menjimatkan, Nakhoda Malaya menyediakan set kelasi (untuk seorang), set nakhoda (untuk dua hingga tiga orang, set malaya, makanan laut kelasi, makanan laut nakhoda dan makanan laut malaya.
Dengan harga bermula RM9.90, pelanggan boleh mendapat set stimbot dengan nasi atau pilihan mihun, yee mee atau kuetiau.
Restoran yang memuatkan sehingga 50 pelanggan pada satu-satu masa menerima tempahan bagi pelbagai jamuan.
Bagi minum petang, pelanggan yang menikmati stimbot boleh memesan Karipap Lori yang bersaiz XXL di rangkaian kedainya di seberang jalan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: