CERITA ke akhir hayat"- kisah yang dipaparkan minggu lalu tentang masalah hidup isteri bekas komando tentera, mendapat perhatian Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.
Mereka mengunjungi Noraini di rumahnya di PPR Batu Muda, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini, bagi melihat sendiri keadaannya sejak kematian suami 14 tahun lalu. Dia dijanjikan bantuan sara hidup ATM sebanyak RM200 sebulan.
Selain itu, Noraini yang menghidap kanser darah tetapi terpaksa bekerja sambilan untuk menyara hidupnya dan dua anak juga bakal menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM100 sebulan.
Terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang prihatin. Semoga nasib Noraini lebih terbela selepas ini.
Minggu ini, mari kita sorot e-mel seorang gadis Zitazara yang bimbang dengan taktik lelaki penggoda zaman ini yang bukan sahaja menyasarkan wanita bujang bahkan isteri orang sebagai mangsa.
''Kita biasa dengar suami orang menggoda anak gadis terutama pekerja baru di pejabat mereka. Masing-masing cuba 'jual minyak' tak kurang juga yang nak test market kalau-kalau masih berharga.
''Lebih teruk ada yang sanggup bertaruh untuk melihat 'ayat' mereka masih 'ada power' atau tidak untuk memikat gadis, tetapi cerita yang ingin saya bawakan ini amat berlainan.
''Biasanya kes ini berlaku di pejabat atau jabatan yang ada kuasa meluluskan tender, pembayaran dan seangkatan dengannya. Kalau dulu pekerjanya ramai lelaki, tetapi sekarang wanita pun menjawat jawatan yang tak kurang tinggi dan penting. Ada anggapan pihak atasan wanita lebih tegas, pendek kata rasuah susah nak tembus.
''Tetapi manusia tetap manusia. Tak kira lelaki atau perempuan. Ramai wanita yang berhati batu dan berjiwa besi, tak lut dengan pujukan dan rasuah. Namun Puan Ann tewas. Apa yang menyedihkan dia telah berkahwin dan ada dua anak.
"Sebelum ini kehidupannya amat bahagia kerana suaminya bukan sembarangan, menjawat jawatan penting. Maklumlah mereka sama-sama lulusan luar negara.
''Mulanya saya tak perasan hubungan Puan Ann dengan Hail walaupun Hail sering juga keluar masuk pejabatnya apabila ingin bertanyakan tentang status permohonannya. Itu perkara biasa. Hail juga baik dengan kami dulu.
''Beberapa bulan kemudian, salah seorang staf ternampak mereka makan malam di sebuah restoran mahal. Itu pun kami tak hairan sebab Puan Ann memang berselera mewah dan bukan jenis makan kat gerai tepi jalan.
''Entah macam mana, cerita mereka berdua mula tersebar walaupun masih ramai yang tak percaya dia sanggup ketepikan suaminya itu.
''Perubahan gaya hidup Puan Ann semakin jelas. Dia mula suka balik lewat alasan kerja banyak. Pejabatnya sering didatangi Hail. Kami pernah melihatnya menerima jambangan bunga biarpun bukan hari lahirnya.
''Dia mula membataskan komunikasi dengan kami kakitangan sokongan, tidak lagi mesra seperti dulu.
Gaya''Gaya pakaian Puan Ann juga berubah menjadi lebih moden. Kalau dulu berbaju kurung moden tetapi sekarang dia lebih suka berskirt.
''Bab kasut dan bag tangannya yang berjenama dan mahal, itu kami tak hairan sebab sudah kegemarannya selama ini. Memang mereka anak beranak kaki bergaya.
''Tetapi sebagai gadis (saya bukan cemburu), saya dapat mencium bahawa hubungan Puan Ann dan Hail ada buruknya. Mereka terlalu akrab sehingga ke tahap pergi bercuti ke luar negara. Jika sebelum ini dia dan keluarga sering bercuti ke pulau-pulau, sekarang Singapura, Hong Kong dan Bangkok, jadi pilihan utama.
''Bodohnya dia meminta staf membuat tempahan bilik dan tiket penerbangan. Walaupun dia yang bayar, rahsianya kami tahu. Dia pergi sendirian tanpa anak-anak dan suami seperti dulu. Sudah pasti kami tertanya-tanya.
''Nak jadikan cerita, satu hari suaminya telefon ke pejabat bertanyakan isterinya. Tanpa mengesyaki apa-apa, staf beritahu dia bercuti dua hari ke Singapura. Staf kawan saya itu mula tak sedap hati apabila suami Puan Ann bertanya tentang kerja luar negara isterinya. Dia berterus terang yang hanya sekali Puan Ann bertugas luar tapi masih dalam Malaysia, luar negara dia pergi bercuti.
''Esoknya, Puan Ann balik bertugas, si kawan kena 'sembur' dituduh suka campur urusan rumahtangganya.
''Dipendekkan cerita, setahun setengah lepas peristiwa itu Puan Ann bercerai.
''Malangnya Hail pula 'tak berjaya' menceraikan isterinya. Sebab mereka banyak terikat dengan bisnes yang Hail uruskan.
''Kini yang pasti Puan Ann jadi ibu tunggal dan masih belum berkahwin dengan Hail. Kami tidak melihat lagi pasangan sejoli ini di pejabat. Puan Ann pun ditukarkan ke bahagian lain. Dengar cerita tidak ada 'power besar" seperti dulu. Patutlah Hail tak datang berjumpanya.
''Begitulah berakhirnya percintaan antara isteri orang dan suami orang. Nampaknya isteri orang juga terperangkap dengan taktik lelaki penggoda yang menggoda demi kepentingan peribadi," cerita Zitazara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: