ORANG tua-tua selalu berpesan, pernikahan selain menyatukan dua hati turut merapatkan hubungan antara dua keluarga.
Maknanya setelah bernikah, pasangan tersebut harus juga menerima keluarga masing-masing sebagai ahli keluarga yang baru.
Namun, ada juga perkahwinan yang tidak mendapat restu keluarga sehinggakan suami isteri terpaksa membawa diri untuk membina hidup baru.
Ada yang hanya berat sebelah pihak keluarga suami atau isteri sahaja tetapi keluarga sendiri diabaikan. Dalam apa juga keadaan, perkara ini masih dapat dibetulkan agar pulih dan sempurna di mata semua pihak.
Tidak dinafikan masih ada pasangan suami isteri yang hidup sebumbung dengan mentua menyebabkan timbul masalah untuk mendapat privacy.
Pergerakan terbatas, tingkah laku perlu dijaga sementara perasaan semua orang di dalam rumah harus diberi perhatian agar tidak tersinggung termasuk urusan harian.
Seperti kebanyakan cerita yang didengar, mereka yang tinggal dengan mentua pasti akan menghadapi masalah.
Begitu juga dengan Tina (bukan nama sebenar) berusia awal 20-an yang tinggal bersama mentua setelah bernikah dengan Latif (bukan nama sebenar) berusia lewat 20-an.
Sebagai anak sulung, tentunya Latif ada tanggungjawab terhadap ibu dan adik-adiknya tambahan pula bapanya sudah lama meninggal dunia.
Apa yang berlaku kepada Tina? Ikuti kisahnya yang dikirim kepada saya menerusi e-mel untuk tatapan pembaca semua.
Begitu kisah Tina.
"Saya seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan, berkahwin dengan Latif seorang eksekutif juga anak sulung dalam adik-beradik empat orang.
"Mentua saya berusia lewat 50-an dan telah kematian suami sejak 10 tahun lalu. Saya akur kehendak suami untuk tinggal bersama mentua selepas bernikah kerana tahu tanggungjawabnya terhadap ibu dan keluarga.
"Salah seorang adik ipar seusia dengan saya dan bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat promosi produk kecantikan.
"Bekerja dengan syarikat kecantikan tentu memerlukan dia tampil cantik sepanjang masa.
"Memang adik ipar saya cantik, itu tidak saya nafikan jika tidak masakan syarikat tersebut mengambil dia bekerja. Sudahlah cantik pandai pula bergaya.
"Tapi masalahnya dia bergaya dengan barang-barang milik saya. Seperti dia, saya juga suka menjaga penampilan dan gemar mencuba fesyen terkini.
"Saya ada banyak koleksi tas tangan, kasut, aksesori, barang kemas, alat mekap dan sebagainya yang menjadi kegemaran wanita sekarang.
"Ipar saya ini selalu pinjam barang saya. Mula-mula sekali sekala, kemudian kerap juga sehingga akhirnya dia buat seperti barangnya sendiri.
"Jika saya tidak tanya dan minta balik alamat hilang terus. Telah banyak kali saya tegur sikapnya itu. Dia kata saya kedekut dan berkira. Malah mengadu kepada abang dan ibunya lagi.
"Saya tidak marah jika dia meminjam kemudian tahu memulangkannya. Tetapi jangan buat macam harta sendiri. Bila pinjam sepatutnya dipulangkan setelah selesai menggunakannya tetapi ini tidak, simpan sampai saya lupa.
"Apabila teringat saya minta semula, banyak pula alasan yang diberi, cari tak jumpa, hilang dan macam-macam lagi sedangkan saya juga perlu guna untuk diri sendiri.
"Saya diburuk-burukkan di hadapan mentua dan suami konon kedekut dan tidak mahu berkongsi barang dengannya. Pernah juga dia tipu katanya saya yang pinjam barang dia.
"Perkara ini telah berlarutan selama setahun.
"Mula-mula dulu saya dapat sabar tetapi sekarang kesabaran saya sudah hilang.
"Saya tidak tahu lagi apa hendak dibuat. Mengadu pada suami dia kata saya berkira. Tegur sikap adik-adik ipar, mereka tuduh saya kedekut. Keadaan ini menjadikan saya serba salah dan tidak gembira untuk tinggal bersama mereka lagi.
"Saya hanya mendapat ketenangan apabila di tempat kerja. Balik rumah saya akan menjadi susah hati dan tidak senang duduk. Saya rasa macam bersalah pula sedangkan mereka yang sepatutnya merasa begitu.
"Saya banyak kali cuba bercerita dengan suami, tetapi dia macam dengar tak dengar. Saya faham dia juga berada dalam kedudukan yang serba salah. Tapi saya harap sekurang-kurangnya dia dengar keluhan saya dan mencari jalan keluar.
"Saya cadangkan dia tegur sikap adik-adiknya tetapi dia tidak mahu tegur bimbang adik-adiknya terasa hati dan ibunya merajuk.
"Jadi bagaimana dengan perasaan saya? Sampai bila saya harus bertahan. Saya sayang barang-barang saya terutama pakaian dan aksesori. Ada yang mahal dan berjenama.
"Ini bukan kerana saya sayang lebih kepada barang-barang saya melebihi mentua dan ipar-duai saya. Tapi ini soal sikap. Yang tidak elok baik ditegur.
"Saya beli dengan duit hasil simpanan saya sendiri kerana teringin produk jenama. Pakai sekali dua ipar duai pula pinjam tak pulang-pulang.
"Saya pernah cerita pada ibu saya. Dia suruh saya sabar dan jangan ambil hati. Saya rasa tahap kesabaran saya sudah sampai ke kemuncak. Saya tidak boleh sabar lagi.
"Lagi lama saya tunggu lagi sakit hati saya. Keadaan juga tak menggembirakan saya. Daripada menjadi makin buruk saya nekad mengajak suami berpindah. Sama ada dia mahu atau tidak saya akan usahakan juga.
"Saya harus pujuk suami dan minta dia faham masalah saya. Jika kami terus tinggal bersama mereka, saya pasti keadaan akan menjadi lebih buruk dan hubungan keluarga juga mungkin terjejas.
"Saya harap selepas tinggal berasingan saya akan menjadi tenang tanpa gangguan lagi. Memang orang kata saya bodoh sebab ini perkara kecil tetapi saya yang menanggungnya.
"Berpindah bukan sebab saya tidak suka tinggal sebumbung tetapi dengan berpindah saya yakin keadaan akan berubah menjadi lebih baik.
"Saya harap suami setuju dengan tindakan saya. Saya berdoa agar Allah makbulkan permintaan saya dan semoga hubungan dengan mentua dan ipar-duai tidak terjejas," Tina menamatkan cerita penuh harap.
Masalah yang Tina hadapi banyak juga berlaku kepada pasangan suami isteri lain tetapi kebanyakan mereka terus bertahan kerana tidak mahu bergaduh dan bermasam muka dengan keluarga mentua.
Saya nasihatkan anda bersemuka dengan mentua dan ceritakan perkara sebenar. Apa pun nasihat saya, buat keputusan yang bijak tanpa menimbulkan rasa tersinggung mana-mana pihak.
Kedua-dua pihak harus mengaku kelemahan diri dan membaikinya untuk menjadi lebih baik. Saya pasti ipar anda akan terasa hati apabila anda keluar dari rumah dan faham kenapa anda bertindak demikian.
Menamatkan catatan, sepatah kata buat renungan, jika anda tersenyum sedangkan hati gundah gulana anda sebenarnya sedang meringankan beban masalah yang sedang anda tanggung serta membuka satu pintu ke arah kebahagiaan.
Salam
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: