Thursday, June 21, 2012

Starbucks ajak bersih sungai




SUASANA tapak perhimpunan Hutan Lipur Sungai Chongkak, Hulu Langat, Selangor awal bulan lalu sangat meriah walaupun waktu baru menunjukkan pukul 9 pagi.

Diketuai oleh lima orang pekerja kafe Starbucks, acara dimulakan dengan senaman pagi yang agak rancak diiringi muzik terkini.

Bukan semata-mata mahu bergembira, lebih kurang 320 orang peserta yang terdiri daripada partner (gelaran untuk kakitangan Starbucks), ahli Hope Malaysia dan Tourism Selangor datang dengan satu niat murni. Mereka mahu membersihkan sungai rekreasi itu untuk keselesaan para pengunjung.

Mereka dibahagi kepada 10 kumpulan yang diberi nama berdasarkan jenis tumbuh-tumbuhan dan diberi tugas berbeza- berbeza. Pada pagi itu, Louise Chin, 40, yang bertugas sebagai pengurus kanan kewangan Starbucks sanggup turun ke sungai membasahkan kakinya.

Tugas kumpulannya ialah membersihkan sungai dengan membuang batu-batu kecil dan sampah dalam sungai. Kemudian, mereka mengempang sungai supaya terdapat ruang yang besar untuk pengunjung bermandi-manda pada masa hadapan.

Louise yang baru bekerja dengan Starbucks selama empat tahun mengakui tempat kerja terkininya merupakan sebuah syarikat yang amat aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

“Saya memang suka dengan aktiviti seperti ini. Saya mengaku bahawa kerja saya sekarang paling menyeronokkan,” ujar Louise kepada Kosmo!

Menurut Pengurus Pemasaran Daerah Coffee Master Starbucks, Salleharon Ahmad, sehingga April 2012, Berjaya Starbucks Malaysia telah mengadakan 27 buah projek Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) dengan jumlah masa terkumpul sebanyak 8,898 jam termasuk acara CSR yang diadakan di Sungai Chongkak kali ini.

Faktor cuaca

Lebih kurang 250 meter dari tempat Louise sedang mengangkat batu sungai seberat dua kilogram, Nor Azrul Izan Mohd. Zakaria, 23, dan ahli kumpulan Meranti pula sibuk mengecat dinding.

Dinding yang bertindak sebagai pintu masuk ke kawasan rekreasi itu sudah berlumut akibat faktor cuaca panas dan hujan yang silih berganti.

Ketika ditemui, mereka memberus permukaan berlumut manakala yang lain sibuk mengecat dengan warna asas sebelum sebuah lukisan mural dilukis.

Nor Azrul yang sudah bertugas selama empat tahun sebagai barista di pusat beli-belah Viva sebenarnya memiliki bakat melukis.

Apabila seluruh tembok sudah dicat dengan warna asas, dia mengambil-alih tugas dengan melukis sebuah pemandangan yang sudah dibayangkan.

Pernah melukis di dinding Rumah Tunas Bakti sebelum ini, Nor Azrul menyifatkan Starbucks sebagai sebuah syarikat yang bukan sahaja mencari keuntungan tetapi turut memahami bakat yang dimiliki partner mereka.


TIDAK hanya mengutip sampah, dinding yang menjadi pagar juga dibersihkan, dicat dan lukisan mural dilukis bagi menjadikan Sungai Chongkak lebih menarik.


“Selain melakukan tugas hakiki sebagai barista, saya dapat mengasah bakat dan minat sedia ada melalui aktiviti sebegini,” katanya.

Dalam cuaca yang baik pada pagi itu, para sukarelawan itu telah membersihkan kawasan sungai sepanjang satu kilometer dan persekitarannya.

Tidak semua daun-daun kering dibersihkan dan dibawa keluar dari Sungai Chongkak kerana ia berfungsi sebagai baja organik selain memberi impak semula jadi kepada pengunjung.

Daun-daun kering

Namun, jika tidak dibuang langsung daun-daun kering yang gugur ke tanah boleh menyebabkan pokok-pokok kecil tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup kerana ditimpa daun-daun tersebut.

Secara kasar, sampah-sampah yang ditinggalkan pengunjung dan daun-daun kering dibenarkan untuk dibawa keluar dengan kekerapan dua kali seminggu dengan kuantiti lebih kurang lori seberat satu tan.

Pengurus Besar Tourism Malaysia, Noorul Ashikin Mohd. Din, 37, menyifatkan aktiviti CSR seperti yang dilakukan oleh Starbucks amat baik kerana ia dapat memberi pendidikan kepada orang ramai.

“Kami amat menghargai usaha-usaha pihak swasta dalam melakukan aktiviti seperti ini tambahan pula Sungai Chongkak merupakan sebuah kawasan terbuka untuk orang ramai,” ungkap Noorul ketika ditemui pada majlis tersebut.

Tambahnya, acara kali ini yang melibatkan aktiviti pembersihan sungai dan persekitarannya merupakan yang terbesar pernah diadakan di Hutan Lipur Sungai Chongkak.

Berkeluasan 7,000 hektar, Sungai Chongkak memiliki 14 buah chalet pada harga antara RM80 hingga RM120 selain tapak perkhemahan dan barbeku.

Sungai Chongkak menerima kehadiran para pengunjung lebih kurang 2,000 orang sebulan dan meningkat dua kali ganda apabila tiba musim cuti umum dan sekolah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: