Thursday, June 21, 2012

Diablo III selepas 11 tahun


DIABLO III menawarkan mekanisme permainan yang lebih hebat berbanding siri terdahulu.


BLIZZARD Entertainment merupakan sebuah koperasi permainan video yang sangat dikenali dalam kalangan peminat gamer di seluruh dunia sejak keluaran francais mereka Diablo pada tahun 1997.

Diablo telah berjaya menarik minat pelbagai pihak dengan mekanisme permainan yang sangat unik pada era tersebut.

Malah, pada tahun tersebut, Sierra Entertainment turut melancarkan DLC (Downloadable Content) mereka khas untuk Diablo yang membawa masuk watak yang baharu iaitu Monk.

Berikutan dengan kejayaan Diablo, Blizzard Entertainment melancarkan sequel kepada siri tersebut pada tahun 2000 iaitu Diablo II yang kemudiannya juga diterima dengan positif oleh ramai pihak.

Selepas 11 tahun, baru-baru ini Blizzard Entertainment melancarkan siri terbaharu Diablo III yang boleh didapati untuk platform Microsoft Windows dan Max OS X.

Plot

Peminat setia francais Diablo pasti tertunggu-tunggu kesinambungan plot siri Diablo. Permainan bermula dengan sedikit pengenalan dan setelah membuat pemilihan watak, pemain akan disajikan dengan sebuah klip yang menunjukkan kejatuhan bintang aneh berwarna biru dari langit.

Perasaan ingin tahu menyebabkan watak pemain akan mengembara ke arah lokasi bintang tersebut untuk menjalankan siasatan.

Setibanya di pekan New Tristram, pemain akan mendapati bahawa bintang tersebut telah menarik perhatian kejahatan.

Sejak itu, New Tristram dan kawasan persekitarannya semakin dipenuhi dengan raksasa. Berikutan kejadian tersebut, Leah seorang wanita dari New Tristram, meminta bantuan daripada pemain untuk menyelamatkan pak cik beliau, Deckard Cain yang kebetulannya berada di tempat di mana bintang tersebut jatuh.

Dengan bantuan kemahiran yang ada, pemain memulakan pengembaraan dengan menyelamatkan Deckard Cain.

Mekanisme permainan


DENGAN kualiti grafik yang lebih menarik, Diablo III pasti menjadi fenomena baharu dalam kalangan gamer.


Blizzard Entertainment berjaya mengekalkan identiti francais Diablo dengan mengekalkan mekanisme permainan asal, di samping meletakkan beberapa penambahbaikan.

Sama seperti siri-siri yang lepas, HUD (Heads Up Display) terdiri daripada dua glob yang melambangkan nyawa.

Inventory juga masih menggunakan sistem slot dengan barang-barang kecil hanya menggunakan satu slot dan barang yang bersaiz besar akan menggunakan dua hingga empat slot.

Walaubagaimanapun, kemampuan pemain adalah terhad dan memerlukan mata wang gold dalam permainan bagi membesarkan bilangan slot.

Antara kelas yang ada dalam Diablo III ialah Monk, Barbarian, Witch Doctor dan juga Demon Hunter. Setiap kelas mempunyai kemahiran yang berbeza dan gaya yang tersendiri dalam menumbangkan pihak musuh.

Diablo III juga memperkenalkan artisan iaitu NPC yang menjual dan membuat senjata baharu. Artisan boleh membuat senjata menggunakan barang dan duit yang dibekalkan pemain untuk membina senjata yang lebih kuat.

Sistem level up juga diberikan sedikit pengubahsuaian, kini pemain tidak lagi perlu menaikkan status mereka kerana perkara tersebut akan dilakukan secara automatik.


PERMAINAN dalam talian membolehkan sehingga empat orang pemain beraksi dalam satu-satu sesi.


Malah, lebih memudahkan lagi skil pemain juga kini dikuncikan pada slot nombor 1 hingga 0 dan setiap slot mempunyai skil yang berbeza berbanding dengan siri Diablo sebelum ini.

Mod dalam talian

Untuk pengetahuan pemain, Diablo III memerlukan sambungan atas talian sepenuh masa sepanjang permainan walaupun hanya untuk mod single-player. Namun, mod atas talian membolehkan pemain bermain bersama rakan-rakan mereka dalam apa jua misi yang sedang dilakukan oleh pemain utama.

Diablo III membolehkan permainan sehingga empat orang dalam satu sesi.

Secara keseluruhannya, Blizzard Entertainment telah berjaya mengekalkan identiti francais Diablo di samping beberapa penambahbaikan.

Setelah 11 tahun, Diablo III menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dari segi grafik, persembahan dan juga efek bunyi.

Peminat asal dan baharu juga pasti akan tertarik dengan siri terbaharu daripada Blizzard Entertainment itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: