|
PENGGUNAAN sarung telefon boleh dianggap sebagai salah satu keperluan penting bagi kebanyakan pemilik telefon bimbit di seluruh dunia. Apatah lagi jika mereka membeli telefon berteknologi tinggi atau dikenali sebagai telefon pintar yang menjadi trend masa kini.
Namun, jika dilihat dalam pasaran, rata-rata sarung telefon yang ditawarkan mempunyai warna hampir serupa dan rekaan yang kurang menarik.
Menyedari hakikat itu, PopMyCase, sebuah syarikat yang mengkhususkan rekaan dan pengubahsuaian sarung telefon bimbit tampil dengan inovasi terbaharu.
Kini, para pengguna boleh mereka sendiri sarung telefon bimbit mereka dengan memuat turun gambar kegemaran melalui laman web rasmi www.popmycase.com/diy. Aplikasi di dalam laman web tersebut membolehkan pelanggan menukar saiz imej, mengubah kedudukan, menambah warna dan meletakkan ayat-ayat tertentu untuk rekaan sarung telefon mereka.
Pengurus Besar Kumpulan PopMyCase, Ediyuzri Esa berkata, melalui teknologi tersebut, pihaknya menawarkan pilihan sarung rekaan sendiri untuk pengguna iPhone, iPad, Blackberry dan Samsung.
“Buat masa ini, telefon bimbit dan tablet yang boleh diubah suai rekaan sarungnya terdiri daripada semua model iPhone seperti iPhone 4S, iPhone 4, iPhone 3GS, iPhone dan iPad 2 manakala bagi model Blackberry pula ialah Blackberry Bold 9780, Blackberry Bold 9700, Blackberry Curve 3900 dan Blackberry Curve 8520.
“Sarung untuk Samsung S2, S3 dan Samsung Note turut ditawarkan tetapi, ia untuk pratempahan sahaja,” ujar Ediyuzri ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam baru-baru ini.
|
|
Dilancarkan pada 1 Mei lalu, sambutan terhadap produk PopMyCase cukup menggalakkan. Dalam tempoh tiga minggu, sebanyak 100 tempahan telah diperoleh dan jumlah itu semakin meningkat.
Justeru, Ediyuzri mengakui pihaknya menyasarkan untuk mengembangkan lagi rangkaian produk PopMyCase ke Singapura menjelang hujung Julai dan kemudian ke Jakarta pada bulan Disember tahun ini.
“Pihak kami telah melabur sebanyak RM2 juta untuk produk PopMyCase yang merupakan kesinambungan daripada PopMyBerry iaitu rekaan sarung telefon untuk Blackberry.
“Kami yakin perniagaan ini mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan dalam dunia teknologi yang semakin canggih dan seolah-olah tiada penghujungnya,” tutur Ediyuzri.
Secara keseluruhan, terdapat tiga jenis rekaan sarung telefon yang terdapat dalam PopMyCase. Pertama, muat turun gambar digital sendiri dari komputer, Facebook atau Instagram ke dalam laman web. Kedua, memilih imej dan hasil seni artis-artis yang terlibat atau pengguna boleh terus mendapatkan koleksi prarekaan tanpa perlu mengubahsuai rekaan sarung telefon itu.
Tambah Ediyuzri, kolaborasi dengan artis grafik dan selebriti melibatkan Amy Search, Bunkface, Nini Marini, Orkibal, Spoonman, Shieko, Art Tech, Super Sunday dan Kukubesi.
Menyentuh tentang kualiti cetakan rekaan pada sarung telefon tersebut, Pengarah Besar Kumpulan Digital PopMyCase, Riz Ainuddin memberitahu, produk yang dikeluarkan dijamin tidak menghampakan pembelinya.
Rekaan bercetak
“Penghasilan sarung telefon PopMyCase menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi (3D) resolusi tinggi dengan kaedah terkini pemindahan haba yang dipanggil ink-embedded process.
“Tekanan dan haba daripada proses penghasilan sarung telefon itu menyebabkan dakwat berwarna meresap terus ke dalam permukaan sarung telefon. Ini menghasilkan rekaan dengan imej yang sangat jelas dan tidak mudah luntur atau pudar,” kata Riz.
Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan rekaan yang dicetak pada sarung telefon akan kelihatan 99.99 peratus sama dengan salinan asal yang dihantar kepada PopMyCase.
“Namun begitu, perbezaan daripada segi penalaan warna monitor komputer pengguna dengan aplikasi yang terdapat di dalam laman web mungkin menyebabkan perubahan kecil pada cetakan sarung telefon tersebut,” jelasnya lagi.
Apa yang pasti, setiap rekaan akan dicetak pada sarung telefon berkualiti tinggi yang dikenali sebagai Lexan. Ia bersifat ringan, tahan lama dan fleksibel.
Sarung telefon yang dikeluarkan oleh PopMyCase bukan menggunakan plastik biasa, sebaliknya daripada bahan resin polikarbonat yang pernah digunakan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan yang terbaharu pada pembuatan jentera Formula Satu.
Sementara itu, Zulaili Zulkifli,30, yang menggunakan telefon pintar iPhone memberitahu, inisiatif yang dilakukan PopMyCase dalam menawarkan sarung telefon rekaan sendiri mampu menarik perhatian pengguna.
“Sebenarnya kali pertama melihat sarung telefon PopMyCase yang dikongsi oleh seorang rakan di laman sosial Facebook, hati saya sudah tertarik dan jatuh cinta dengan produk tersebut.
|
|
“Tanpa membuang masa, saya terus membuat tempahan di laman web berkenaan mengikut cita rasa sendiri. Kemudian, dalam tempoh yang singkat, sarung telefon yang saya tempah siap dihantar dengan kualiti yang sangat memuaskan,” kata Zulaili yang bertugas sebagai pegawai bank sambil memberitahu ramai rakan-rakan yang memuji sarung telefon baharunya itu.
Bagi pelanggan yang mahu dikenali sebagai Zulfadhly, 29, pula mengakui sarung telefon keluaran PopMyCase berkualiti tinggi.
“Saya sangat berpuas hati dengan konsep dan kualiti yang diberikan oleh PopMyCase kerana ia merupakan satu trend yang baru bagi komuniti di Malaysia. Perhiasan barangan telefon mudah alih sudah menjadi satu cara hidup masa kini.
“Paling penting, harganya amat berpatutan dan berbaloi dengan produk yang diterima,” tuturnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: