Monday, June 4, 2012

Selera kampung di Sabar Menanti

NOOR Azlina Abd. Wahid sentiasa memastikan semua masakan menepati cita rasa pelanggan Restoran Sabar Menanti, Ipoh, Perak.

RESTORAN Sabar Menanti yang terletak berhampiran Kompleks Kolam Renang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Jalan Kompleks Sukan, Ipoh, Perak bukanlah satu nama asing bagi penggemar masakan kampung di negeri itu.

Restoran yang mula beroperasi sejak tahun 2003 itu menyajikan pelbagai juadah kampung yang pastinya membangkitkan selera pengunjung ke premis tersebut.

Biarpun tidak dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden seperti pendingin hawa, namun keistimewaan setiap juadah yang disediakan menggamit kunjungan sesiapa sahaja.

Dengan hidangan makanan melebihi 35 jenis sajian, pengunjung mempunyai pelbagai pilihan untuk memilih masakan mengikut cita rasa mereka.

Malah, sebaik sahaja menjejakkan kaki di restoran itu, aroma ikan bakar seperti tilapia, keli, pari dan terubuk pasti mengecurkan air liur mereka yang meminati hidangan yang dicicah bersama air asam itu.

Menurut pemilik restoran, Noor Azlina Abd. Wahid, 34, yang ditemui S2 baru-baru ini, perniagaan turun-temurun itu telah diwarisi daripada bapanya sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, restoran yang mula dibuka seawal pukul 7 pagi hingga lewat malam itu bukan sahaja menyediakan masakan kampung, malah turut menyajikan masakan panas, masakan barat dan manisan seperti bubur, kek dan puding.

"Di sini, kita menyediakan pelbagai jenis masakan kampung yang jarang didapati di restoran lain. Antaranya, gulai pucuk ubi, gulai pucuk paku, asam pedas, pajeri nenas dan gulai lemak rebung.

"Selain itu, kita juga menyediakan beberapa jenis air asam, sambal tempoyak dan sambal belacan untuk dipilih oleh pengunjung di samping pelbagai jenis ulam-ulaman," katanya.

Ditanya keistimewaan restoran tersebut berbanding restoran lain di Ipoh, Noor Azlina berkata, ia terletak pada hidangan pelbagai jenis bubur yang jarang didapati di restoran-restoran lain.

Malah katanya, pernah ada pelanggan datang dari jauh seperti Batu Gajah hanya untuk membeli bubur yang disediakan di restoran tersebut.

"Ini keistimewaan restoran ini yang tidak terdapat di restoran lain. Hidangan bubur seperti bubur jagung, bubur pulut hitam, bubur nasi dan pengat pisang menyebabkan mereka sanggup datang dari jauh untuk menikmatinya.

"Restoran ini turut menyediakan kedai runcit mini bagi kemudahan pelanggan terutama atlet-atlet yang menyertai kejohanan di stadium berhampiran mendapatkan barangan keperluan harian," ujarnya.

Tambahnya, restoran yang mampu memuatkan 300 pelanggan dalam satu masa itu turut menerima tempahan untuk jamuan atau majlis perkahwinan.

"Banyak tempahan yang telah kita terima terutamanya membabitkan jamuan pelajar dan tempahan makanan bagi atlet-atlet yang menyertai acara sukan di stadium berdekatan," katanya.

Mereka yang berminat membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut tentang restoran Sabar Menanti, boleh menghubungi talian 05-5481563.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: