UNTUK sesi pandu uji, saya sebenarnya lebih gemar memilih kereta sporty atau berprestasi. Bukan apa, kemahiran saya sebenarnya lebih terasah dalam bidang modifikasi yang sinonim dengan prestasi.
Mengenal pasti kelebihan dan kekurangan sesebuah kereta berprestasi lebih senang berbanding kereta keluarga, apatah lagi sebuah sedan mewah.
Beberapa minggu lalu, saya diberi peluang oleh Edaran Tan Chong Motors (ETCM) untuk memandu uji Nissan Teana 2.5 V6.
Sewaktu mengambil Teana di bilik pameran, saya tidak tahu apa yang hendak dijangka dengan kereta sebegitu. Walau bagaimanapun, pengalaman bersama Teana selama empat hari tiga malam dan perjalanan melebihi 800 kilometer berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru memberi perspektif baharu dalam melihat fungsi sesebuah kereta.
Nissan mengambil pendekatan yang berbeza dengan Teana. Jika dilihat dari segi reka bentuknya, kereta itu hadir dengan prinsip yang berlawanan dengan pesaing lain seperti Honda Accord atau Toyota Camry.
Kedua-dua model itu mempunyai suntikan imej sporty, sedangkan Teana langsung tidak ada sifat tersebut. Teana ialah sedan yang benar-benar menghayati makna eksekutif.
Kereta itu tidak janggal untuk tuannya duduk di belakang dan dikemudi oleh pemandu.
Duduk di hadapan, pemandu dan penumpang boleh melaras kedudukan tempat duduk secara elektrik sama ada ke atas atau bawah dan ke depan atau belakang.
Sebagai sebuah sedan mewah, adalah wajib untuk mempunyai tempat duduk yang selesa dan Teana lulus dalam aspek itu. Penumpang di belakang nyata selesa dengan kaki yang boleh melunjur ke hadapan.
Sebagai pemandu, amat penting untuk mendapatkan pelarasan yang harmoni antara stereng dan badan. Dengan ciri kerusi yang boleh dilaras melalui pelbagai arah, saya tidak mempunyai masalah untuk duduk dengan stail kereta lebih sporty. Perehat pada konsol tengah pula menyokong lengan semasa lenguh memandu jauh.
Format mewah
Ruang dalaman Teana 2.5 V6 berwarna cerah, sesuai dengan format mewah sedan itu. Tempat duduknya dibalut kulit, manakala papan pemuka ada efek kemasan kayu.
|
|
Pada meter, dipaparkan visual digital seperti penggunaan minyak, jarak perjalanan dan informasi penting lain untuk pemandu. Sistem multimedia pula lengkap dengan GPS, pemain cakera, kamera undur dan sistem sambungan telefon secara bluetooth.
Selain itu, Teana dilengkapi sensor hadapan yang akan membunyikan amaran jika kereta menghampiri objek hadapan atau sisi. Sebagai sebuah sedan yang besar, peralatan itu amat penting kerana bukan senang untuk menggagak apa yang ada di depan dengan bonet yang panjang. Kamera undur pula banyak membantu untuk keluar dan masuk parkir.
Saiz kabin yang luas membuatkan angin sejuk agak lambat untuk dirasai oleh penumpang belakang. Nasib baik Teana mempunyai dua slot penyaman udara tersedia khusus untuk mereka di bahagian belakang konsol tengah.
Ada beberapa perkara yang saya kurang gemar berkaitan ruang kabin Teana. Pertama, kurangnya tempat meletak bekas minuman, baik untuk pemandu atau penumpang. Kedua, butang-butang kawalan untuk bidai belakang, sensor depan dan gugusan lain yang berada di bawah stereng nampak seperti kurang kelas untuk sebuah sedan mewah.
Teana juga tidak mempunyai slot kad untuk tol dan seumpamanya. Namun itu bukanlah isu besar kerana lain orang lain pula citarasanya.
Apa yang membuatkan saya seronok memandu Teana ialah enjin 2.5 liter V6. Mereka yang biasa dengan enjin bersesaran besar serta konfigurasi V pasti seronok dengan ngauman enjinnya.
Sekali pedal minyak ditekan bunyinya yang mengaum menangkap telinga. Dengan badan Teana yang besar dan berat, tiada masalah untuk enjin tersebut yang dipadankan dengan transmisi CVT untuk menggerakkan kereta itu.
Di lebuh raya pula, untuk lebih selesa gunakan sahaja auto cruise yang mudah dicapai pada stereng tanpa bersusah-payah menggerakkan kaki untuk menekan pedal minyak.
Tentang penggunaan minyak pula, kadar paling ekonomikal yang dapat saya capai ialah 8.9 kilometer per liter yang saya kira padanlah dengan saiz enjin dan badannya yang besar.
Dari segi pemanduan dan pengendalian pula, sinonim dengan kereta Jepun, memandu laju bukanlah suatu yang menyeronokkan kerana kereta terasa ringan. Tetapi apa yang saya tidak jangka ialah tindak balas sterengnya. Pengemudian Teana agak mudah kerana badan kereta patuh kepada input putaran stereng pemandu. Suspensinya pula sedap dan selesa, setakat melalui lopak dan lubang jalan raya itu kacang goreng sahaja untuk Teana.
Sepanjang empat hari bersama Teana, apa yang boleh saya simpulkan ialah kereta ini selesa, bernadikan enjin V6 yang memuaskan hati serta mampu memenuhi citarasa mereka yang mahukan sebuah sedan benar-benar eksekutif, tanpa suntikan sporty atau seperti hendak berlumba.
Faktor penarik lain adalah reka bentuknya yang konvensional berbanding pesaing sekelasnya. Rekaannya yang besar lebih menjurus kepada kereta ala-ala pasaran Amerika Syarikat (AS), walaupun di pasaran sana, model itu dinamakan sebagai Altima dengan rekaan berbeza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: