Saturday, June 16, 2012

Kemeriahan Japan GT 2012 di Litar Sepang


PASUKAN Kunimitsu. Dari kiri: Takahashi, pemandu Naoki Yamamoto, Takya Izawa dan Matsumoto bersama jentera HSV-010 GT.


HUJUNG minggu lalu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) meriah dengan deruman enjin jentera berkuasa tinggi sempena perlumbaan Japan GT 2012. Sebagaimana diketahui, ia merupakan satu-satunya perlumbaan Japan GT yang diadakan di luar Jepun.

Lebih menarik lagi, ia bukan sekadar perlumbaan. Penganjurnya, JPM Motorsport telah menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk memeriahkan suasana.

Sudah semestinya, para pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenama kereta yang dipamerkan. Antara kenderaan yang dipamerkan termasuklah Honda, Nissan, Toyota, Subaru dan jenama di bawah naungan Sime-Darby Motors seperti MINI, BMW, Alfa Romeo, Hyundai.

Sudah puas melihat kereta berkenaan secara dekat, orang ramai juga boleh berkunjung ke bandar Akihabara dan menyertai permainan video Playstation Gran Turismo 5 Super GT.

Bagi mereka yang ingin berbicara secara dekat dengan para pelumba Japan GT pula, sesi temubual disediakan.

Apa yang pasti, tiada siapa yang mengadu kebosanan di sana. Apatah lagi apabila kawasan tersebut dipenuhi oleh ratu-ratu litar.

Dua hari sebelum perlumbaan Japan GT 2012 berlangsung, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) telah mengadakan satu parti. Ia bagi memperkenal dan memberi sokongam moral kepada lima pasukan HSV-010 GT yang mengambil bahagian dalam Japan GT 2012.

Lima pasukan tersebut ialah Autobacs Racing Team Aguri yang merupakan juara Super GT Series 2007, Weider Honda Racing yang mendapat tempat ketiga pada pelumbaan sama pada tahun 2011, Keihin Real Racing, Nakajima Racing dan Team Kunimitsu.


PASUKAN Audi memastikan jentera mereka berada dalam keadaan terbaik sebelum masuk ke litar.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno memberitahu, sukan bermotor dan perlumbaan sudah menjadi sebahagian daripada DNA Honda.

"Perlumbaan meningkatkan kesungguhan kami untuk terus belajar serta mencapai kemajuan baharu dalam teknologi.

"Menerusi perlumbaan Super GT, semua Pasukan Honda Racing akan terus mencabar diri masing-masing. Ia juga menjadi lambang kepada Challenging Spirit Honda kerana setiap perlumbaan adalah peluang untuk Honda menguji teknologi ke tahap paling tinggi," jelas Ueno.

Pada majlis sama, Honda Malaysia turut mengumumkan bahawa satu pasukan Honda Racing tempatan akan mengambil bahagian dalam perlumbaan 1,000km Sepang pada akhir tahun ini.

HSV-010 GT membuat penampilan pertama pada tahun 2009. Pada ketika itu, Honda ingin membina sebuah jentera berprestasi tinggi yang senang dikendalikan dan mampu mengatasi model NSX-GT.

HSV-010 GT dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 3.4 liter V8. Enjin itu memberi penekanan terhadap kelajuan, kestabilan dan lebih ringan berbanding enjin NSX. Untuk makluman, HSV itu bermaksud Honda Sports Velocity.


ATAS: GT Queen, Toshimi Takahashi (kiri) dan Lushan membuat persembahan pada malam memperkenalkan lima pasukan HSV-010 GT yang bersaing dalam Japan GT 2012.


Bagi melihat sendiri persediaan pasukan Honda, sekumpulan media dibawa melawat ke SIC dan menyertai satu sesi taklimat bersama anggota Team Kunimitsu.

Japan GT 2012 merupakan tahun ketiga pasukan tersebut menggunakan jentera HSV-010 GT. Penambahbaikan yang dilakukan kali ini melibatkan enjin, bahagian hadapan dan belakang kereta serta radiator sisi.

Menyentuh tentang setting khas yang dibuat untuk perlumbaan di SIC, Ketua Projek Honda Super GT 2012, Masahiko Matsumoto menyatakan pihaknya ada menambah pendingin hawa di dalam kenderaan bagi mengatasi masalah litar dan cuaca Malaysia yang panas.

Ditanya mengenai tahap kompetitif Honda berbanding pasukan lain pula, pengarah pasukan, Kunimitsu Takahashi mengakui bahawa Nissan memberi saingan sengit kepada pasukannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: