|
JIKA diamati perjalanan Volkswagen di Malaysia pada tahun ini, tidak keterlaluan jika saya katakan, jenama Jerman itu memang agresif untuk mengukuhkan kedudukan dalam pelbagai segmen pasaran automotif tempatan.
Mengimbas kembali peralihan masa sepanjang enam bulan lalu, Volkswagen Group Malaysia (VGM) sudah memperkenalkan enam model dalam pasaran. Ini termasuk model yang diimport sepenuhnya (CBU) dan model pemasangan tempatan (CKD).
Model-model CBU yang diperkenal sejak awal tahun ini ialah Volkswagen Sharan, Passat CC R-Line, Golf R, Scirocco R dan Polo Sedan. Produk CKD tidak lain dan tidak bukan model Passat keluaran kilang milik DRB-HICOM di Pekan, Pahang.
VGM menerusi anak syarikatnya, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), turut memasarkan beberapa produk lain termasuk Polo, Polo GTI, Golf, Golf GTI, Jetta, Cross Touran, Passat, Scirocco, Eos, Tiguan dan Touareg.
Momentum VGM tidak terhenti di situ sahaja. Buktinya, satu lagi model CBU dari Jerman iaitu Volkswagen CC dilancarkan baru-baru ini di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KL Pac), Sentul di ibu negara.
Jentera mewah itu mula dipertontonkan kepada umum sewaktu pameran Los Angeles Auto Show 2011. Di situ, model berkenaan dikenali sebagai Volkswagen CC 2013.
Sebenarnya, Volkswagen CC menggantikan prapemasangan Volkswagen Passat CC. Maksudnya, perkataan Passat dikeluarkan daripada namanya.
Rasional di sebalik tindakan itu adalah untuk menjadikannya sebuah model yang berdiri dengan identiti dan nama tersendiri.
Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay berkata, Passat CC mencatat kejayaan ekoran konsep eksklusifnya. Jelasnya, model baharu itu bakal menyambung peranan untuk memuaskan selera premium kelompok pelanggan tertentu.
Tidak seperti pasaran negara lain yang menawarkan pilihan enjin berbeza untuk Volkswagen CC, VGM hanya membawa masuk satu model dengan enjin 1.8 liter TSI dengan dua versi iaitu Sport dan Comfort.
Enjin petrol empat silinder suntikan terus dengan pengecas turbo itu diberi padanan kotak gear tujuh kelajuan Direct Shift Gearbox (DSG).
Ia mampu meledakkan kuasa 160PS @ 5,000rpm. Tork maksimum pula sebanyak 250Nm pada 1,500rpm hingga 4,200rpm.
Dari kedudukan titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j), ia mengambil masa selama 8.5 saat. Kelajuan maksimum ialah 223km/j.
Sentuhan rekaan baharu
Berhubung penggunaan bahan api, jentera itu menggunakan sebanyak 7.2 liter bagi setiap 100km. Kadar emisi pula ialah 167 gram bagi setiap km.
Dilihat dari arah hadapan, model coupe empat pintu itu diberi sentuhan baharu oleh pasukan pereka yang diterajui oleh Ketua Reka Bentuk Jenama Volkswagen, Klaus Bischoff.
Antara transformasi yang dilakukan membabitkan bahagian hadapan, belakang dan pengemaskinian ruang kabin kenderaan dengan suntikan DNA Volkswagen.
Jurutera Volkswagen memadankan gril radiator, lampu hadapan jenis bi-xenon dengan lampu DRL LED pada bampar hadapan dan bonet baharunya.
Lampu belakang jenis LED dengan corak perumah merah baharu dan rim aloi Phoenix 17 inci melengkapkan penampilan keseluruhan Volkswagen CC.
Melangkah masuk ke dalam kabin, perkara pertama yang menarik perhatian ialah jam analog pada bahagian atas konsol tengah papan pemuka.
Jam itu sebenarnya mendiami lokasi butang kecemasan jika dibandingkan dengan model Passat CC sebelum ini. Butang kecemasan dialihkan di bawah skrin sentuh sistem audio RCD 510.
Tidak lupa juga panel kawalan baharu Climatronic. Pemanduan pada waktu malam diserikan dengan suasana pancaran lampu pencahayaan yang diselitkan pada bahagian pintu kereta.
Bagi memudahkan pengoperasian fungsi tanpa perlu mengalihkan tangan, stereng yang disalut kulit itu dilengkapi butang kawalan DSG, Multi Function Display (MFD) dan radio.
Tempat duduk bahagian hadapan yang dibaluti kulit Nappa boleh dilaras secara elektrik. Kemudahan simpanan memori tetapan tempat duduk turut disediakan.
Seperti biasa, Volkswagen CC sarat dengan pelbagai teknologi keselamatan untuk pemandu dan para penumpang. Antaranya termasuklah enam beg udara, EPS, ABS dan BA.
Tidak ketinggalan, sistem bantuan yang berkeupayaan mengesan keletihan pemandu iaitu Rest Assist. Volkswagen turut menambah sistem pengawasan tekanan tayar, alat pengesan (sensor) hujan dan cermin pandang belakang dengan pemalap automatik.
Kelebihan varian Sport membabitkan beberapa komponen tambahan seperti hiasan aluminium pada bahagian papan pemuka dan panel pintu, sistem audio dengan sepuluh pembesar suara, rim aloi Interlagos 18 inci, sistem kemasukan tanpa kunci Kessy, bumbung panaromik dan kamera pandang belakang Rear Assist.
Harga atas jalan tanpa insurans untuk Volkswagen CC Sport ialah RM244,967.20 seunit. Varian Comfort pula ditawarkan pada harga RM226,967.20 sebuah. Jaminan adalah selama lima tahun.
Perjalanan VGM untuk memperkenalkan model-model baharu bagi tahun ini masih belum sampai titik noktahnya.
Memetik kata Tay, VGM dijangka memperkenalkan sekurang-kurangnya 10 model kenderaan Volkswagen di Malaysia untuk tahun ini. Sama-sama kita nantikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: