Thursday, June 21, 2012

Medan informasi atau luahan perasaan



Penggunaan laman sosial seperti Myspace dan Friendster yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu, kini sudah semakin terpinggir. Ia telah digantikan dengan kewujudan Facebook dan Twitter. Fungsinya masih sama iaitu menghubungkan antara individu walau di ceruk mana mereka berada, asalkan terdapat kemudahan internet.

Jika sudah menghubungkan orang ramai, secara automatik kuasa pemasaran amat besar dan tidak dapat disangkal.

Jika tidak, masakan ramai jutawan muncul hanya menerusi perniagaan internet, malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mempunyai akaun Twitternya sendiri yang digunakan sebagai medium mendekatkan diri dengan rakyat.

Tidak ketinggalan, selebriti tempatan dan luar negara juga mengikut trend semasa. Meskipun banyak faedah yang diperolehi menerusi kewujudan laman sosial, menerusi laman sosial juga timbulnya perang antara selebriti dan medan untuk mereka meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati.

Terkini, perang antara artis baharu bertatih dalam dunia seni, Neelofa yang menyaman Anzalna turut meluahkan isi hatinya di Twitter. Bukan itu sahaja, perang siber pasangan kekasih Remy Ishak dan Tiz Zaqyah juga disaksikan secara langsung oleh peminat di akaun Twitter dan Facebook masing-masing.

Meskipun sedar segala tindak tanduk mereka menjadi perhatian, Tiz memberitahu, dia tidak kisah dengan pandangan masyarakat terhadapnya.

"Ketika menulis status di akaun Facebook, waktu itu saya sedang marah. Memang saya seorang yang agak panas baran.

"Saya tidak kisah apa pandangan orang kerana saya menjalani kehidupan mengikut kehendak saya, bukannya atas telunjuk sesiapa," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Shila Amzah terbuka

Seorang lagi penyanyi muda, Shila Amzah juga dilihat cukup akrab dengan laman sosial. Cukup aktif di akaun Twitter, Facebook dan juga Youtube, Shila yang sedang hangat bercinta dengan aktor Sharnaaz Ahmad enggan hipokrit di hadapan peminat.

Tidak menyembunyikan kisah cinta dengan Sharnaaz, malah turut berbalas-balas mesej, kata Shila, biarlah segala kebenaran datang daripada mereka berdua, bukan daripada orang lain.

"Saya akui agak terbuka, kerana bagi saya daripada menyembunyikan hal sebenar, tetapi terbongkar di tangan orang lain, rasanya lebih baik perkara yang benar datang daripada saya sendiri.

"Sebab itu apabila pergi ke mana-mana dan bergambar dengan Sharnaaz, saya letak di Twitter atau Facebook kerana peminat akan tahu hal sebenar. Tidak ada apa yang perlu kami sembunyikan," jawabnya.

SHILA AMZAH begitu terbuka berkongsi perkembangan dan gambar-gambarnya di Twitter untuk tatapan peminat.


Jelas Shila yang sudah berkecimpung dalam dunia seni selama 12 tahun, apabila dia menjejakkan kaki dalam dunia seni, sebahagian dirinya milik masyarakat dan peminat.

Justeru peminat berhak tahu perkembangannya. Sungguhpun terbuka, tetapi Shila berhati-hati dalam menulis status di laman sosial kerana bimbang akan mengguris perasaan orang lain.

"Dahulu ketika mula-mula belajar guna laman sosial, saya tulis mengikut emosi tanpa memikirkan kesannya, sekarang saya lebih berhati-hati dan hanya menulis perkara yang positif sahaja," katanya yang turut menggunakan medium laman sosial untuk mendekatkan diri dengan peminat.

Medan informasi - Nabil

Pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai radio popular, Ahmad Nabil menggunakan laman sosial sepenuhnya untuk berkongsi informasi bersama peminatnya.

Mula menggunakan Twitter sejak bulan Mac tahun ini dan turut mempunyai akaun Facebook, ujar Nabil sebagai artis, tidak perlu meluahkan perasaan negatif atau menghentam seseorang di laman sosial kerana setiap baris ayat yang ditulis menjadi perhatian ribuan peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

"Kalau artis yang tulis status berbaur kontroversi, mereka sengaja cari kontroversi sebab sudah terang-terang tulisan mereka diikuti oleh ribuan peminat. Tidak perlulah tulis kalau gaduh dengan kekasih atau tidak suka seseorang, simpan sendiri dalam hati cukuplah.

"Lihat contoh Perdana Menteri kita yang turut mempunyai akaun Twitter, tidak pula beliau tulis yang bukan-bukan. Semua statusnya tentang kemajuan negara," katanya yang bakal muncul dengan program Senda Pagi di TV3.

Sambungnya lagi, terdapat kebaikan dan keburukan menggunakan laman sosial, jadi seharusnya artis menggunakan laman sosial dengan cara yang positif.

"Laman sosial banyak membantu memberi saya maklumat, contohnya ketika saya sedang ke udara di radio setiap pagi, peminat akan beri maklum balas dengan kadar segera terhadap sesuatu topik.

"Kadangkala, peminat di laman sosial yang memberi cadangan, jadi saya tidak perlu susah-susah fikir topik menarik," ujarnya yang bertugas sebagai penyampai radio Suria FM setiap pagi bersama Halim othman dan Kencana Dewi.

Adibah Noor nyanyi untuk peminat

Pengacara dan pelakon, Adibah Noor cukup aktif di Twitter. Segala gerak-geri dan aktiviti hariannya ditulis untuk tatapan pengikutnya.

AZNIL NANAWI melihat medium Twitter sebagai medan paling mudah dia berinteraksi dengan peminat.


Menariknya baru-baru ini, Adibah telah memilih peminat yang bertuah di akaun Twitternya untuk dihubungi seterusnya menyanyikan lagu khas buat peminat tersebut.

"Mulanya saya ingin memilih seorang sahaja, tetapi melihat sambutan yang menggalakkan, saya pilih lima orang. Lepas itu, saya pula yang seronok dan akhirnya saya telah hubungi tujuh orang peminat bertuah dan menyanyi di cuping telinga mereka sahaja," ujarnya sambil ketawa.

Kata Adibah, dia meletakkan syarat hanya menyanyi sebahagian lagu sahaja kemudian meletakkan ganggang telefon tanpa berbual-bual dengan peminat.

Melihat sambutan hangat, berkemungkinan pada masa hadapan, Adibah akan melakukan perkara yang sama untuk peminatnya.

"Ya, saya akan buat lagi, telefon peminat dan nyanyi untuk mereka, tetapi tidak boleh buat selalu nanti hilang nilai eksklusif," jawabnya.

Sejak wujudnya Twitter, akaun Facebook Adibah tidak lagi aktif, tetapi akuinya dia seorang yang spontan dalam menulis status di Twitter.

"Saya spontan dan menulis mengikut emosi ketika status itu ditulis, tetapi selalunya saya akan cuba menulis secara diplomatik.

"Jika terdapat sesuatu isu, saya cuba untuk tidak memburukkan keadaan tetapi jika ada orang yang terlalu kurang ajar dan menguji tahap kesabaran, saya akan buang sahaja orang itu daripada akaun saya," terangnya jujur.

Zaman surat vs Twitter

Pengacara dan pelakon terkenal, Aznil Nawawi pernah merasai aura negatif laman sosial apabila terasa hati apabila pelakon dan pelawak, Zizan Razak tidak sengaja tersalah sebut nama bapa Aznil di dalam program Raja Lawak musim ke-5.

Akui Aznil, isu tersebut menjadi panas selepas campur tangan peminat yang membuatkan api kemarahannya meledak, bagaimanapun mereka berbaik semula apabila Zizan secara terbuka meminta maaf kepada Aznil.

"Pernah terjadi saya terasa hati dengan Zizan. Sebenarnya isu itu kecil tetapi selepas ditokok tambah oleh peminat yang membuatkan api kemarahan saya meluap-luap, tiba-tiba perkara itu menjadi isu besar.

NEELOFA merupakan artis masa kini yang paling kerap meluahkan rasa tidak puas hatinya melalui Twitter.


"Saya belajar dan sebagai manusia kadangkala kita dirasuk perasaan marah tetapi jika boleh tidak perlu menyerang individu secara terbuka di laman sosial. Sebagai artis, segala perbuatan kita menjadi perhatian masyarakat, jadi tunjukkan perkara yang positif sahaja," ucapnya.

Aznil yang pernah melalui zaman menerima surat daripada peminat memberitahu, zaman tiada internet, peminat lebih gigih dan minat mereka terdapat artis lebih mendalam.

"Bayangkan, siapa yang sanggup tulis surat, pergi ke pejabat pos dan tunggu berbulan-bulan untuk mendapat balasan atau kadangkala tidak dibalas langsung. Jadi saya katakan peminat zaman tulis surat, merupakan peminat yang gigih.

"Peminat sekarang lebih mudah kerana mereka tidak perlu lama untuk artis membalas mesej mereka. Lebih cepat, artis dan peminat juga lebih rapat tetapi nasihat saya, sebagai artis kita masih perlu ada batasan ketika berbicara dengan peminat.

"Janganlah mengeluarkan perkataan yang tidak enak didengar, cuba beri contoh yang baik kepada peminat," balasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: