Tuesday, June 19, 2012

Pesta durian Balik Pulau

TAN CHOW menunjukkan durian terbaik sempena Fiesta Buah Durian Berjenama Balik Pulau di Queensbay, Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini.


SEBUT sahaja durian Balik Pulau, Pulau Pinang, sesiapa yang sudah merasainya pasti bersetuju bahawa kualiti raja buah dari dusun di situ adalah yang terbaik.

Ia turut dikenali sebagai durian bukit kerana kebanyakan dusun duriannya terletak di kawasan tanah tinggi. Itu juga salah satu faktor menjadikan buah durian Balik Pulau istimewa berbanding kawasan lain di Pulau Mutiara.

Bercerita tentang raja buah ini, pastinya penghujung bulan Mei hingga Julai merupakan saat yang sangat dinanti-nantikan penggemarnya kerana ketibaan musim durian di Pulau Pinang.

Walaupun harga durian jenis Mau Shan Wang atau Musang King dan Duri Hitam mencecah RM30 sekilogram, manakala Ang Heh dan Hor Lor pula dijual RM20 sekilogram, tetapi nilai tersebut dirasakan berbaloi.

Jika ada yang beranggapan harga itu keterlaluan, durian kampung masih boleh menjadi pilihan yang boleh dibeli antara RM5 sebiji atau RM20 selonggok, bergantung kepada kebijaksanaan pelanggan untuk tawar-menawar.

Jika berkunjung ke Pulau Pinang ketika ini, singgah sahaja ke Anjung Indah yang terletak di Jalan Tun Sardon menghala ke Balik Pulau untuk menikmati Pesta Makanan dan Durian 2012.

Berlangsung sehingga 31 Julai nanti, tujuh gerai menjual durian Balik Pulau dibuka oleh pemilik-pemilik dusun bagi memudahkan orang ramai mengunjunginya. Harga yang ditawarkan pula adalah mengikut pasaran semasa.

Sementara itu, tempat letak kereta Queensbay dekat Bayan Baru pula menjadi lokasi Fiesta Durian Berjenama Balik Pulau. Suasananya sedikit berbeza kerana pengunjung boleh menikmati keenakan raja buah sambil melihat panorama Pulau Jerejak dan Jambatan Pulau Pinang.

Pesta raja buah turut diadakan di New World Park dekat Jalan Burmah yang mengumpulkan durian terbaik sekitar Pulau Pinang selain taburan gerai-gerai durian kaki lima di sekitar jalan utama menuju ke Relau.

Menurut seorang peniaga, Siang Tan Chow, harga buah durian pada tahun ini masih sama seperti musim lalu walaupun jumlahnya berkurangan selain kemasukan buah dari negara jiran.

Pemilik dusun dari Balik Pulau yang membuka gerai di tempat letak kereta Queensbay memberitahu, keistimewaan durian tempatan telah meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri pengeluar durian yang cukup dikenali.

Katanya, penganjuran pesta durian pula memberi peluang orang ramai menikmati raja buah itu pada harga berpatutan tanpa perlu ke Balik Pulau, manakala buah yang dijual pula dijamin daripada baka berkualiti tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: