TUGAS utama mereka adalah untuk memadamkan kebakaran. Namun, khidmat dan kepakaran mereka tetap ditagih apabila menerima panggilan kecemasan membabitkan mangsa lemas sama ada di laut, sungai, tasik atau kawasan takungan air.
Dikenali dengan nama Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, seramai tiga pegawai dan 21 anggota diletakkan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa di Balai Bomba Jalan Perak, George Town Pulau Pinang.
Sebagai unit elit bomba negeri itu, tanggungjawab mereka meliputi seluruh negeri Pulau Pinang iaitu meliputi bahagian pulau dan tanah besar.
“Anggota unit skuba atau unit selam ini umpama ‘dua dalam satu’,” ujar Penguasa Kanan Bomba II, Pegawai Operasi Negeri Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Wan Azmi Ahmad.
Menurut beliau, mereka yang merupakan penyelam mahir juga perlu melakukan operasi memadam api seperti anggota bomba lain sekiranya tidak menerima panggilan kecemasan berkaitan kes lemas.
“Jika menerima panggilan kes kecemasan mangsa lemas, tiga pegawai dan 21 anggota unit skuba bersiap sedia sepanjang masa,” ujar Penguasa Kanan Bomba II, Pegawai Operasi Negeri, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Wan Azmi Ahmad.
Bertindak selaku ketua unit khas tersebut, Wan Azmi memberitahu, anggotanya dibahagikan kepada tiga kumpulan yang akan digerakkan untuk tugasan mencari dan menyelamat.
Setiap kumpulan bertugas selama 12 jam bagi satu syif iaitu bermula dari pukul 8 pagi hingga 8 malam dan seterusnya.
Sebagai anggota unit khas, mereka dibayar elaun kerana bertugas melebihi waktu yang diperlukan.
Tapisan ketat
Menurut Wan Azmi, keanggotaan untuk menyertai Unit Skuba terbuka kepada semua anggota bomba, tetapi hanya mereka yang melepasi syarat dan ujian tertentu layak dipanggil bagi sesi pemilihan.
Tegas beliau, proses tapisan ketat dilakukan oleh Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat di Putrajaya dan nama yang terpilih perlu menjalani ujian.
“Calon terlebih dulu akan dihantar ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk menjalani ujian selama tiga hari dan diperiksa oleh Pegawai Perubatan Selam TLDM.
“Ini penting bagi memastikan tahap kesihatan calon yang terpilih berada pada tahap yang memuaskan. Calon yang mengalami penyakit tidak akan dibenarkan menyelam kerana latihan yang perlu diikuti adalah mencabar.
“Semua pelatih perlu menjalani dan melepasi ujian yang ditetapkan. Anggota penyelam harus memiliki mental dan fizikal yang tinggi kerana tugas ini memerlukan keberanian yang tinggi,” katanya.
Tambah Wan Azmi, anggota Unit Skuba perlu menjalani ujian renang yang meliputi ujian apungan selama 10 minit, memanjat tali dan Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK).
“UKJK melibatkan larian sejauh 2.4 meter yang akan diambil masa, mendagu dan lompat statik. Semua pelatih perlu lulus kesemua ujian kerana jika gagal walau satu ujian, mereka tidak akan diterima sebagai anggota Unit Skuba.
|
“Seperti latihan anggota penyelam tentera misalnya Gerak Khas atau Pasukan Khas Laut, cabaran serupa juga digariskan pada pelatih-pelatih Unit Skuba Bomba untuk melepasi ujian.
“Alasannya mudah, kerana tugasan mereka nanti melibatkan nyawa penyelam sendiri. Ujian merupakan penanda aras kebolehan penyelam dan oleh itu, ia bukan proses pemilihan main-main.
“Tugas penyelam unit skuba bomba amat penting kerana tugas hakiki kita adalah menyelamatkan mangsa dan ia melibatkan nyawa,” katanya.
Bagi K. Sarawanan, 27, peluang menyertai pemilihan unit skuba merupakan saat paling dinanti-nantikan sejak bergelar anggota bomba pada tahun 2004.
“Saya memperoleh lesen Juruselam Penyelamat Am (Public Safety Diver) pada tahun 2009. Apapun kerjaya, memang ada risikonya apatah lagi sebagai anggota penyelamat seperti kami.
“Setiap kali melangkah ke gigi air, saya sentiasa berdoa agar dilindungi daripada bahaya dan lebih penting, dapat sempurnakan tugas terutamanya membabitkan kes seperti mangsa lemas,” ujarnya.
Latihan mencabar
Bagi penyelam berpengalaman, Abdul Aziz Mohamad, 37, sama seperti rakan-rakan yang lain, beliau turut mengakui bahawa latihan untuk bergelar sebagai penyelam unit skuba cukup mencabar.
Beliau yang menyertai bomba pada tahun 1996 sebagai anggota biasa sebelum menyertai unit itu pada tahun 1999 bersyukur kerana mendapat galakan tidak berbelah bahagi daripada isteri dan keluarga.
Begitupun, adakalanya hati beliau tersentuh ketika melakukan operasi mencari mangsa-mangsa lemas selain sentiasa bertawakal agar Tuhan memudahkan tugas yang dipikulnya.
“Bagi saya, walaupun tugas ini dianggap berbahaya, namun saya bangga kerana dapat berbakti kepada orang ramai yang berhadapan dengan sesuatu kejadian kecemasan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: