Tuesday, June 19, 2012

1Sudoku untuk pemain tahap tinggi


TECK GUAN mula bermain sudoku untuk mengisi masa senggang selepas bersara, namun akhirnya kini beliau mempunyai buku sendiri tentang permainan itu.


SELEPAS bersara sebagai jurutera pada tahun 2001, Lim Teck Guan, 66, menyambung khidmat profesional secara jurutera bebas. Namun, dua tahun selepas itu, dia berhenti sepenuhnya untuk merehatkan diri.

“Berapa lama boleh berehat dan lepak?” tanya beliau kembali. Soalan itu bukan sahaja untuk dirinya yang bergelar warga emas, tetapi kepada semua pesara yang sudah mencapai usia emas.

Berehat itu penting, tetapi pada usia emas seperti Teck Guan, beliau sedar bahawa memberikan tugas kepada otak penting sebagai agen menyihatkan minda.

Tidak mahu terlibat dalam apa-apa masalah penyakit tua seperti Alzheimer, anak Teck Guan, Janice Lim yang merupakan seorang akauntan buat pertama kali memperkenalkan buku teka-teki sudoku kepada bapanya.

“Janice minta saya belajar menyelesaikan sudoku. Ketika itu juga, dia memberitahu telah mendaftar nama saya untuk satu pertandingan sudoku di Petaling Jaya. Saya seperti tiada pilihan, terpaksa belajar dan menyelesaikan pengiraan logik sudoku,” katanya.

Namun, lama-kelamaan Teck Guan bukan sahaja semakin mahir, malah kini akhirnya sudah pun mengeluarkan tiga buah buku panduan dan teka-teka sudoku.

Menariknya, buku ketiga Teck Guan, 1Sudoku adalah hasil patennya sendiri yang dikhususkan kepada pemain sudoku tahap mahir.

“Ia bukan seperti teka-teki sudoku yang biasa kita lihat, tetapi 1Sudoku yang disediakan oleh saya ini hanya menawarkan satu digit, iaitu nombor satu di tengah-tengah grid dan pemain perlu menyambung dengan kebarangkalian yang diberikan,” katanya sambil menceritakan secara lebih lanjut mengenai selok-belok menghasilkan buku 1Sudoku.

“Ia seperti satu ketagihan tetapi ketagihan yang baik. Pada suatu hari, sekitar tahun 2007, seorang rakan bertanya apa yang saya sedang lakukan sekarang. Saya memberitahu selepas bersara saya bermain sudoku. Kemudian dia bertanya, bagaimana saya selesaikannya,” cerita Teck Guan.

Bermula dari detik itu, saat Teck Guan memandu rakannya menyelesaikan sudoku, dia juga bertekad untuk tampil dengan buku yang boleh membantu seseorang menyelesaikan teka-teki sudoku.

“Saya melakar panduan pada beberapa muka surat, kemudian menyampaikan cara penyelesaian secara berperingkat. Anda boleh lihat sendiri dalam buku ini,” katanya sambil menunjukkan buku pertamanya yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Rentetan daripada kejayaan itu, Teck Guan mengeluarkan buku kedua juga menggunakan asas yang serupa.

Namun buku ketiga yang buat masa sekarang hanya dipasarkan dalam bahasa Inggeris, 1Sudoku, menjadi cabaran beliau memandangkan ia bukan sahaja rumit, bahkan memerlukannya menyediakan pelbagai kebarangkalian serta tip.

Walaupun buku ketiga Teck Guan yang berharag RM19.90 itu belum dikeluarkan dalam bahasa Melayu, dia menyarankan pembeli mendapatkan tip panduan penyelesaian 1Sudoku melalui laman webnya, www.1sudoku.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: