SEDAN yang sudah lama ditunggu-tunggu, Peugeot 408 akhirnya dilancarkan di premis Peugeot Blue Box baharu di Glenmarie Shah Alam, Selangor pada malam Isnin dua minggu lalu.
Bersaing dalam segmen C, 408 ditawarkan menerusi dua varian enjin iaitu 2.0 liter dan 1.6 turbo. Enjin 2.0 liter itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 145hp dan tork 200Nm. Enjin turbo pula dilihat lebih berkuasa dengan 163hp dan tork 240Nm. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.
Dengan prestasi, ruang dalaman luas, reka bentuk elegan dan sistem keselamatan canggih, 408 dilihat bakal mengubah landskap segmen sedan tersebut.
"Peugeot 408 serba baharu ini sesuai untuk golongan profesional muda yang inginkan sebuah kereta yang luas, berprestasi dan elegan," kata Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimudin.
Jentera ini nyata memiliki penampilan luaran yang bertenaga. Bahagian hadapannya menyerlah dengan logo Peugeot yang besar di samping sepasang lampu utama lebar dan lampu kabus.
Anda pasti berpuas hati dengan ruang kabin 408. Menggunakan warna hitam sebagai latarnya, ia hadir bersama pelbagai ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon, sistem bunyi World In Peugeot Sound dengan enam unit pembesar suara, sambungan USB dan Bluetooth, panel instrumen LCD serta banyak lagi.
Menyentuh aspek keselamatan pula, 408 dilengkapi beg udara, ABS, EBD dan EBA. Bagi varian 408 Turbo, senarai itu ditambah dengan Electronic Stability Program (ESP) dan Anti-Skid Regulation (ASR).
408 dipasang di kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Gurun Kedah dan bakal dipasarkan ke pasaran dengan pemanduan sebelah kanan. Ini termasuklah Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan Australia.
Harus tahu bahawa 408 merupakan produk global Peugeot. Ia dijangka meningkatkan lagi jualan kenderaan Peugeot. Jangkaan itu nyata berasas kerana pada tahun 2011, sebanyak 81,000 unit 408 telah berjaya dijual.
Untuk pasaran tempatan, pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia. Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) yakin 408 akan menjadi penyumbang utama kepada sasaran jualan syarikat sebanyak 9,300 unit pada tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 400 unit 408 sebulan sehingga akhir tahun 2012.
Harga atas jalan termasuk insurans bagi varian 1.6 turbo ialah RM125,888 seunit. Model 2.0 liter pula ditawarkan pada harga RM109,888 sebuah.
408 hadir dengan tawaran menarik iaitu jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Malah, pelanggan juga diberikan perkhidmatan Peugeot Assistance 24 jam sepanjang hayat dan keahlian Peugeot Privilege yang eksklusif. Semua itu demi menyediakan pelanggan dengan pengalaman pemilikan Peugeot yang terbaik kepada semua pembelinya.
Maklumat lanjut mengenai 408, sila layari laman web www.peugeot.com.my atau peugeotmobile.com.my yang boleh dilayari menggunakan komputer tablet dan telefon pintar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: