Saturday, June 2, 2012

Lexus GS 350 F SPORT




DI Malaysia, Lexus nampaknya sudah dikenali oleh kalangan mereka yang mahukan kenderaan mewah bukan dari pengeluar Eropah. Bernaung di bawah Toyota, Lexus dilihat sebagai alternatif terbaik berikutan produk yang dihasilkannya memang mampu menepati kehendak pelanggan.

Jenama itu pada awalnya berada dalam liga tersendiri apabila cuma ia sahaja yang menawarkan jentera mewah dari Jepun. Namun, segmen itu kini dikongsi oleh kehadiran jenama Infiniti daripada Nissan.

Bagi memastikan ia kekal relevan dan terus mampu menarik perhatian pasaran, Lexus Malaysia dilihat aktif menawarkan produk-produk terbaharu. Contohnya, pada bulan Mac lalu Lexus Malaysia memperkenalkan sedan eksekutif mewah yang dikenali sebagai Lexus GS.

Kali ini, lima varian Lexus GS ditawarkan. Sama ada Lexus GS 250, Lexus GS 250 Luxury, Lexus GS 250 F SPORT, Lexus GS 350 Luxury atau Lexus GS 350 F SPORT semuanya memiliki kelebihan tersendiri serta menyasarkan kelompok pembeli yang berbeza.

Lexus GS serba baharu itu sebenarnya sudah memasuki generasi keempat. Mula dipasarkan sejak tahun 1993, Lexus GS sentiasa dikenali sebagai sebuah sedan yang memiliki karekter pemanduan dinamik.

Bagi mereka yang kurang tahu mengenai Lexus GS, ia sebenarnya diposisikan antara model IS dan LS. Di sini, Lexus GS mula menemui pengguna tempatan pada tahun 2007 apabila Lexus Malaysia beroperasi secara rasmi.

Memandu Lexus GS 350 F SPORT sememangnya memberikan satu pengalaman berbeza kepada saya. Pendek kata, ia memang layak dipanggil sebagai sedan mewah kerana segala ciri yang ada padanya mungkin membuatkan anda mahu terus memandu tanpa jemu.

Perasaan itu banyak didorong oleh kuasa yang mampu dijana unit enjin V6 bersesaran 3.5 liter. Dengan kuasa sebanyak 312hp dan tork 378Nm, sukar untuk anda sedar bilakah ia kekurangan kuasa.

Mood berlumba

Tujahan tenaganya jelas terasa tanpa perlu menekan pedal minyak dengan keras. Agihan kuasa juga lancar melalui kotak gear enam kelajuan super ECT dengan ciri A.I Shift Automatic. Berbeza dengan transmisi Continuously Variable Transmission (CVT) atau gear berkembar, kotak gear itu masih memberikan senggukan ketika gear ditukar. Tetapi, percayalah itu adalah senggukan yang anda dambakan.

Jentera, ia dibina untuk semua corak pemanduan. Sekiranya anda seorang pemandu yang suka bersantai dan pentingkan penjimatan bahan api, pilih sahaja mode ECO. Tetapi jika mood berlumba sudah datang, putar sahaja dial kawalan pada bahagian konsol tengah ke mode Sport (S) atau Sport + (S+). Semua gaya pemanduan tersebut boleh ditukar dengan mudah menerusi ciri Drive Mode yang ditawarkan oleh Lexus GS 350 F SPORT.


BUTANG kawalan yang tersusun kemas membarisi ruang papan pemuka.


Walaupun saya merasakan sterengnya sedikit ringan, kestabilan pengendalian jentera itu banyak dibantu oleh ciri Dynamic Rear Steering Vehicle Dynamics Integrated Management (VDIM). Malah, suspensi hadapan dan belakang varian F Sport telah ditala demi meningkatkan kecekapan sistem Adaptive Variable Suspension (AVS). Ia juga memaksimum kawalan tubuh kenderaan dan maklum balas stereng.

Apa faedahnya? Anda boleh melayan selekoh dan memandu pada kelajuan tinggi dengan lebih yakin. Penumpang juga dapat menikmati perjalanan dengan selesa.

Sudah namanya pun F SPORT, jadi jentera itu menawarkan karekter pemanduan yang dinamik dan sporty. Bukan sekadar kualiti pengendalian, malah penampilan luarannya dipastikan supaya benar-benar sporty.

Kalau tidak percaya, lihat sahaja kepada aksesori yang dipasang padanya. Bampar dan gril hadapan serta belakang, rim aloi sembilan jejari premium berwarna gelap serta brek hadapan yang dipertingkatkan.

Ruang kokpit Lexus GS 350 F SPORT meneruskan tema rekaan generasi baharu Lexus yang mula-mula diperkenalkan pada model hibrid CT200h. Tidak dapat dinafikan bahawa bahagian dalamannya dibina dengan penuh teliti bagi menyerlahkan keseimbangan di antara kemewahan, fungsi teknologi terkini dan emosi.

Mata pasti tertarik ke arah paparan skrin Electronic Multi-Vision (EMV) beresolusi tinggi bersaiz 12.3 inci pada bahagian tengah papan pemuka. Ia mempamerkan pelbagai maklumat yang boleh dipilih oleh pemandu menerusi kawalan Romote Touch Controller.

Bertindak seperti tetikus komputer, Romote Touch Controller membolehkan pemandu dan penumpang memilih pelbagai menu sistem yang ada. Misalnya, mencari siaran radio atau menaip alamat destinasi yang dicari melalui navigator.


PENUKARAN mode pemanduan bole dibuat menggunakan dial kawalan ini.


Mungkin atas sebab keselamatan, jangan harap anda boleh menggunakan tetikus itu ketika sedang memandu. Sebabnya, kemungkinan tangan menekan ruang menu yang salah cukup tinggi.

Maka, cara terbaik dan selamat untuk menukar frekuensi radio selepas memasuki ruang udara negeri lain adalah dengan berhenti di tepi jalan. Jangan bimbang, ia tidak akan mengambil masa yang lama kerana sistem itu mudah untuk dioperasi.

Bagi menambah ciri mewah dan premiumnya, telinga pemandu dan penumpang Lexus GS 350 F SPORT dihidangkan oleh kualiti bunyi sistem audio jenama Mark Levinson.

Dengan 17 unit pembesar suara dan ciri CD/DVD changer sehingga enam keping pada satu-satu masa, sistem audio itu juga boleh memainkan muzik dalam format MP3, WMA selain menawarkan sambungan AUX dan USB.

Sekarang, sudah faham kenapa saya kata sesiapa sahaja boleh memandu Lexus GS 350 F SPORT tanpa rasa jemu?.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: