|
KETIKA pengeluar lain sibuk dengan kenderaan hibrid dan elektrik (EV), pembuat kereta dari Jepun yang satu ini mengambil pendekatan berbeza. Itulah Mazda. Ia jarang mengikut trend semasa, sebaliknya melakukan apa yang difikirkan sesuai demi meneruskan survival jenamanya.
Faktor itu jugalah yang membuatkan Mazda pengeluar kenderaan unik. Walaupun tidak menjual setiap produk keluarannya dalam volum berjuta-juta unit, namun jenama itu masih mampu terus hidup sehingga sekarang.
Perbezaan arah itu dibuktikan sekali lagi menerusi teknologi SKYACTIV. Menurut Mazda, SKYACTIV merupakan jawapan kepada keperluan pengguna yang mahukan kenderaan jimat minyak dan mesra alam, tanpa mengabaikan aspek keselamatan, prestasi serta dinamik pemanduan.
Apa alasan Mazda untuk membangunkan teknologi SKYACTIV? Ia dibangunkan kerana Mazda percaya enjin pembakaran dalaman (ICE) akan terus digunakan untuk tahun-tahun akan datang. Lagi pun, bukan semua pasaran sesuai untuk menggunakan teknologi kenderaan canggih seperti hibrid dan EV.
Teknologi SKYACTIV meliputi seluruh aspek pembinaan sebuah kereta iaitu enjin, transmisi dan kerangka tubuh. Semua elemen tersebut dibangunkan agar lebih ringan, cekap dan mampu bekerjasama dengan harmoni.
Produk pertama yang menerima semua kelebihan itu ialah SUV crossover CX-5. Lebih menarik lagi, CX-5 dibina atas falsafah dan hala tuju rekaan terbaharu Mazda yang dikenali sebagai KODO - Soul of Motion Design. Sebab itu jugalah ramai yang mengakui bahawa penampilan CX-5 memang menarik perhatian.
Berita baik untuk pengguna tempatan, CX-5 sudahpun mula dijual secara rasmi oleh pengedar kenderaan Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Motor Sdn. Bhd. (Bermaz) dan Prima Merdu Sdn. Bhd. sejak minggu lalu. Ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan dua roda (2WD) dan semua roda (AWD), anda boleh memiliki CX-5 pada harga RM159,500 dan RM169,760 seunit (termasuk insurans).
Crossover paling ringan
Crossover itu bakal bersaing dengan model-model seperti Honda CR-V, Kia Sportage, Hyundai Santa Fe dan Volkswagen Tiguan. Sebelum anda melihatnya sebelah mata, apa kata teliti dulu apa yang mampu ditawarkan oleh CX-5.
Percaya atau tidak, ia antara crossover paling ringan dalam kelasnya. Secara tepatnya, 15 peratus lebih ringan berbanding model terdahulu. Terima kasih kepada kerangka/casis SKYACTIV. Ketegaran struktur tubuhnya telah ditingkat sebanyak 30 peratus dan lapan peratus lebih ringan.
Kerangka itu jadi semakin istimewa apabila pasukan jurutera Mazda melakukan ubah suai sepenuhnya ke atas sistem suspensi dan fungsi stereng. Matlamatnya adalah untuk menawarkan keseronokan pemanduan yang membuatkan pemandu seolah-olah 'bersatu' dengan kenderaan. Orang Jepun kata, Jinba Ittai.
Kerangka itu bukan sekadar menawarkan pemanduan dinamik. Malah kualitinya ditingkatkan menerusi keselesaan dan keselamatan ketika berada di dalam kabin. Maka, anda boleh mengharapkan kabin yang senyap ketika memandu dan maklum balas stereng yang tajam apabila mengambil selekoh.
CX-5 dijana oleh unit enjin bersesaran 2.0 liter empat silinder yang turut digunakan pada model Mazda3 tahun 2012. Harus tahu bahawa ia merupakan enjin petrol pertama di dunia yang mampu mencapai tahap nisbah mampatan 14.0:1. Itu merupakan kadar mampatan paling tinggi untuk enjin yang dikeluarkan secara massa.
Sebenarnya, mampatan itu lebih tinggi berbanding enjin-enjin popular lain seperti 1.4 TSI buatan Volkswagen, Mazda MZR 2.0 DISI dan Ferrari 458.
Operasi enjin SKYTACTIV-G disempurnakan dengan sistem ekzos 4-2-1 injap kaviti dan penyuntik berbilang lubang. Hasilnya, ia berupaya menjana kuasa sehingga 114kW @ 6,000rpm dan tork puncak 200Nm. Penggunaan bahan apinya juga 15 peratus lebih jimat. Mazda mendakwa untuk 100 kilometer (laluan bandar dan lebuh raya), hanya 7.3 liter petrol diperlukan.
Tujahan kuasa tersebut diagih menerusi kotak gear automatik enam kelajuan. Jangan tidak tahu, SKYACTIV-Drive itu adalah gabungan kelebihan transmisi automatik konvensional, continuously variable transmission (CVT) dan klac berkembar. Kira macam tiga dalam satulah.
Transmisi itu menjanjikan penukaran gear yang pantas dan tepat. Tanpa membazirkan tenaga dengan meletakkan gear pada kedudukan dan masa yang kurang betul.
Saya sempat memandu uji CX-5 dalam sesi yang dianjurkan oleh Bermaz menuju ke Pulau Pinang. Secara peribadinya, saya lebih menggemari varian 2WD kerana ia berasa lebih responsif berbanding versi AWD.
Namun begitu, versi AWD menawarkan cengkaman lebih baik di atas jalan raya. Saya sebenarnya tidak fikir pacuan sebegitu perlu untuk sebuah kenderaan yang 95 peratus masa berada di atas jalan tar dan bukannya laluan berlumpur. Tetapi, percaya atau tidak, masih ada pengguna yang mahukan pacuan roda sebegitu.
Menyentuh mengenai ruang dalamannya pula, Mazda terus mengaplikasikan tona hitam ke atasnya. Menekankan aspek sporty, anda tidak akan jumpa terlalu banyak butang kawalan pada papan pemuka. Sementara butang kawalan audio pada stereng adalah ringkas dan mudah dioperasi.
Papan pemukanya menggabungkan permukaan material yang lembut dan sedap dipegang. Bahagian tengahnya pula diletakkan dengan unit audio dengan skrin sentuh bersaiz 5.8 inci.
Ia juga memiliki sambungan AUX-in, USB, Bluetooh dan iPod Playback. Bagi mereka yang menghargai kualiti bunyi muzik, CX-5 dipasang dengan Bose Centerpoint Surround Sound System, meliputi sembilan unit pembesar suara.
Seperti biasa, CX-5 diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz, Datuk Ben Yeoh menyatakan sekiranya sambutan terhadap CX-5 memuaskan, pihaknya bersedia untuk memasangnya secara tempatan (CKD).
Sejak membuat penampilan pertama pada Pameran Motor Frankfurt 2011, CX-5 tidak putus-putus menerima pengiktirafan di seluruh dunia.Jadi, sudah bersedia untuk zoom-zoom dengan Mazda?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: