LAGU Kartita memperkenalkan jenama Awan Band dalam arena seni tempatan. Single yang dilancarkan pada tahun lalu itu membuka ruang baharu untuk kumpulan itu mengeluarkan single kedua berjudul Lintasan Bintang.
Jika single pertama mereka banyak bermain elemen abstrak, kali ini kumpulan yang dianggotai oleh Faris atau nama sebenarnya Mohd. Shazee Zailani selaku vokalis, Boy (Mohd. Badlyshah, gitaris kedua), Hasnurr (Hasnurr Hashim, basis), Ully (Mohd. Shafry Mohmad, gitaris utama) dan Ijan (Rizal Yaakop, drum) memilih Tasha Shila untuk muncul dalam video klip terbaharu mereka.
Strategi bijak itu bagaimanapun didakwa cuba menumpang tuah dan populariti pelakon cantik manis itu, tambahan Tasha baru mendapat pengiktirafan yang diinginkan oleh setiap pelakon baharu dalam industri hiburan.
Kesempatan bersua dengan anggota kumpulan Awan Band dan Tasha Shila sendiri ketika penggambaran video klip Lintasan Bintang di Bandar Sri Permaisuri, Cheras baru-baru ini mendapatkan penjelasan lanjut.
Kosmo!: Boleh kalian ceritakan apa makna di sebalik single kedua, Lintasan Bintang?
AWAN BAND: Kisahnya tersurat sepertimana lirik lagu itu iaitu mengenai seorang lelaki yang bertemu semula dengan seorang gadis yang dikenalinya sejak kecil dan terbit rasa cinta. Namun, teman lelaki gadis itu muncul dan si gadis pula terperangkap antara cinta zaman kanak-kanak atau cinta terkini. Penggambaran klip video lagu ini dilakukan di sekitar Putrajaya dan Cheras serta diarahkan oleh Juril Jamali.
Memilih Tasha Shila untuk muncul dalam video klip kalian tidakkah itu dianggap menumpang tuah dan populariti beliau memandangkan sahamnya kini semakin meningkat?
Siapa kami untuk menumpang populariti dia? Pada mulanya kami ada menyenaraikan beberapa nama lain antaranya Nora Danish dan Izara Aishah tapi selepas mendengar cadangan kami tiga minggu lalu, dia terus bersetuju. Kami sedar orang akan memandang niat kami dengan sangkaan sebegitu tapi kami percaya pada bakat dia dan sentiasa mengikuti perkembangan karier dia. Lagipun, dia memenuhi kriteria gadis dalam klip video kami.
Awan Band difahamkan sudah lama bertapak dalam industri hiburan tapi kenapa baru sekarang kelibat anda diperhatikan?
Kami akui sejak tahun 2007 hingga sekarang agak sukar untuk kami mencari tapak untuk dikenali. Kalau dulu terpaksa pinjam gitar daripada band lain untuk membuat persembahan tapi bermula tahun lepas, Warner Music memberi kepercayaan kepada kami untuk bernaung di bawah mereka.
Apa kelainan album sulung Awan Band?
Album Awan Band dikeluarkan pada 29 September 2011 dan terdapat enam buah lagu di dalamnya iaitu Lintasan Bintang, Tunggu, All My Love, Dramatik, Kartita dan Roda Khayalan. Album ini sesuai dengan jiwa golongan muda kerana bersifat pop progresif memandangkan kami pun bermula daripada kumpulan indie.
Kosmo!: Tasha Shila menerima pelawaan Awan Band untuk bekerjasama menjayakan penggambaran video klip mereka, kenapa?
TASHA SHILA: Sebelum menerima ‘pinangan’ mereka, saya terlebih dulu membuat kajian mengenai latar belakang Awan Band dan saya melihat mereka ada potensi untuk pergi lebih jauh dengan muzik yang berbeza. Jadi, apa salahnya saya menerima.
Anda tidak merasakan mereka menumpang populariti anda memandangkan pemilihan dibuat selepas anda diiktiraf sebagai artis baharu yang kian menyerlah?
Kalau boleh bantu, saya tidak keberatan untuk berbuat demikian. Tidak salah rasanya untuk menumpangkan populariti yang saya kecapi sesama rakan artis. Lagipun saya juga bermula dari bawah sehinggalah sekarang sudah dapat bergandingan dengan pelakon yang saya idamkan.
Bagaimana anda menyifatkan kerjasama kalian sekarang?
Situasi menang-menang. Tidak salah saya bekerjasama sebab selagi kita tidak mencuba kita tidak akan tahu keupayaan masing-masing.
Anda difahamkan boleh menyanyi, kenapa tidak diketengahkan bakat itu selain berlakon?
Saya akui memang minat menyanyi dan kalau dahulu pun memang saya bercita-cita untuk menjadi penyanyi sebelum ditawarkan berlakon dan menjadi model. Saya pernah pergi ke sesi uji bakat program realiti nyanyian sebelum ini, tapi rezeki tidak berpihak kepada saya. Buat masa sekarang, saya ingin fokus sepenuhnya kepada bidang lakonan. Apabila sudah betul-betul puas, baru saya terjun ke bidang nyanyian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: