The Remedy (I Won't Worry), I'm Yours dan You And I Both adalah lagu hit yang sering berkumandang di corong-corong radio tidak lama dahulu. Bukan sahaja di negara kelahirannya sendiri iaitu Amerika Syarikat, tapi di seluruh dunia.
Namun begitu, empunya nama Jason Thomas Mraz atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Jason Mraz, tidak menganggap dirinya sebagai seorang bintang besar, tetapi lebih gemar hidup dalam kesederhanaan.
Lelaki kelahiran Virginia, Amerika Syarikat itu memberitahu, dia lebih gemar untuk terlibat dengan aktiviti kemanusiaan dan juga mengusahakan sebuah ladang berbanding hidup dalam dunia glamor.
“Pada saya, hidup dalam serba sederhana adalah kehidupan yang sebenar kerana ia memberi saya kebebasan untuk melakukan pelbagai perkara dan mengetahui apa yang berlaku di dunia ini. Misalnya, dapat menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, itu juga sebahagian daripada kehidupan saya.
“Saya juga berharap kehidupan seperti ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain. Namun, pada saya, inilah realiti kehidupan bintang yang saya jalani,” jelas Mraz menerusi temu bual melalui telefon di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.
Bagi Mraz, definisi sukses ialah dapat lakukan apa sahaja yang diminati, dan hal itu dapat dilakukannya setiap hari. Ini termasuklah aktiviti bermain muzik, meluangkan masa bersama rakan, makan makanan berkhasiat dan bercucuk tanam.
“Saya sangat bersyukur dengan kesihatan yang diberi dan bagi saya itu semua merupakan satu pencapaian yang baik dalam hidup saya. Saya mendefinisikan sukses melalui kegembiraan yang dikecapi dalam hidup setiap hari,” ujar penyanyi yang bakal hadir ke Malaysia buat kali kedua pada 19 Jun ini.
Datang lagi
Pertama kali Mraz hadir ke Kuala Lumpur bagi melengkapkan konsert jelajahnya ialah pada tahun 2009. Ketika itu, dia masih lagi popular dengan lagu yang ditunggu peminat ketika mengadakan konsert iaitu I'm Yours.
Kini, buat kali kedua, Mraz bakal mengadakan konsert yang bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 19 Jun ini, pukul 8.30 malam. Ia bersempena dengan kembara promosi album terkininya yang sudah berada di pasaran sejak April lalu, Love Is A Four Letter Word.
Bakal membuat persembahan bersama kumpulan baharunya, konsert tersebut dianjurkan oleh Scenique Concerts & Events Sdn. Bhd. and Live Limited dengan kerjasama Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd.
Konsert jelajah yang diberi nama, Tour Is A Four Letter Word itu bertujuan untuk mempromosi album baharunya yang berjudul Love Is A Four Letter Word dan ujar Mraz, dia sangat teruja untuk mengadakan konsert kedua tersebut.
Tiket boleh didapati pada harga RM345, RM295, RM235, RM185, RM195 dan RM75. Ia boleh dibeli di kedai muzik Rock Corner, Victoria Music dan KL Life Centre. Selain itu, lapan pemenang bertuah bakal memenangi pas belakang pentas dan bertemu dengan penyanyi tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: