Saturday, June 2, 2012

Lotus Temple inspirasi kelopak teratai


LOTUS Temple dibina serba indah dengan reka bentuk unik menimbulkan kekaguman kepada mata yang memandang.


TAJ MAHAL yang merupakan salah sebuah hasil arkitektur Islam terindah di dunia, menjadi tarikan utama pelancong saat ke Agra, India.

Bagaimanapun, selain Taj Mahal, India juga mempunyai satu mercu tanda yang tidak kurang hebatnya dan diiktiraf sebagai salah sebuah binaan menakjubkan dalam sejarah bangunan moden pada hari ini.

Dikenali sebagai Lotus Temple, ia merupakan kuil bagi penganut kepercayaan Bahai. Terletak di Kalkaji, New Delhi, bangunan itu dibina pada tahun 1980 dan siap sepenuhnya enam tahun kemudian.

Berbentuk seperti kelopak bunga teratai, ia mempunyai 27 kelopak yang disusun dalam tiga barisan bagi membentuk sembilan sisi yang berbeza. Kelopak bunga yang kelihatan separuh terbuka itu, dibina daripada konkrit putih dan di mana bahagian luarnya dilapisi batu marmar Greek berwarna putih.

Secara keseluruhan sebanyak 800 pekerja digunakan untuk membina kuil bangunan itu. Mereka terdiri daripada jurutera, artis, juruteknik dan pekerja pembinaan.

Secara falsafahnya, kelopak bunga teratai itu memberi manifestasi kepercayaan beragama kepada penduduk di negara itu.

Simbolik bunga teratai

Dikatakan, bunga teratai merupakan simbol keamanan, kebersihan, kasih sayang dan abadi. Keistimewaan bunga itu juga menyebabkan ia menjadi ikon penting dalam budaya dan masyarakat di India sehingga ke hari ini.

Di samping bentuknya yang unik, kuil itu turut dilengkapi sistem pengudaraan menarik berdasarkan sistem seni bina purba.

Udara panas dari dewan pusat mengalir keluar melalui bukaan dalam kubah, manakala udara sejuk mengalir masuk ke dalam melalui sistem tangki air dan binaan terasnya.

Bagi yang mahu melawat kuil itu, pengunjung digalakkan melawat dalam kumpulan yang kecil.

Di dalam kuil, pengunjung dilarang bercakap, mengambil gambar atau video. Terdapat sebuah kubah setinggi 40 meter di dalamnya yang menyimpan simbol gergasi penganut kepercayaan Bahai.

Terdapat beberapa baris kerusi yang disediakan di situ yang boleh digunakan untuk duduk sambil bermeditasi.

Mampu memuatkan kira-kira 2,500 pengunjung, lokasi itu juga sering digunakan untuk upacara-upacara keagamaan dan ritual.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: