SELEPAS meninggalkan kota London dengan menaiki pesawat easyJet selama lebih kurang dua jam setengah, saya selamat tiba di lapangan terbang Ruzyne, Prague, Republik Czech.
Prague atau Praha diangkat sebagai salah sebuah bandar raya paling cantik di Eropah, yang menjadikan antara tarikan utama untuk saya datang dan melihat sendiri kota ini.
Dari lapangan terbang Ruzyne, saya menaiki teksi yang dicadangkan oleh pihak berkuasa, AAA Taxi.
Lebih kurang 40 minit perjalanan melalui kawasan perumahan yang bersih dan bandar-bandar kecil, saya selamat sampai di Deminka Palace Hotel yang terletak di tengah-tengah kota Prague.
Petang Khamis, 24 Mac 2011 itu agak suram. Cuaca masih lagi dingin dan ditambah pula saya sedikit malas untuk mula menyesuaikan diri dengan Prague.
Sambil membelek-belek peta, saya hanya berehat di dalam bilik yang dihias dengan sentuhan mewah seperti sebuah istana moden.
Kota Prague tidaklah begitu besar, dari dataran utama Wenceslas, merentas Old Town sehinggalah ke Lesser Town, semuanya boleh dilawati hanya dengan berjalan kaki. Begitupun, sistem pengangkutan awam yang cekap seperti teksi, bas, tram dan metro boleh dinaiki.
Waktu malam di kota Prague sungguh indah. Bangunan-bangunan bersejarah dilimpahi cahaya yang cukup dramatik dan mempesonakan.
Ramai pengunjung lalu-lalang di sekitar Wenceslas Square sehinggalah ke kompleks Astronomical Clock Tower, manakala sebahagian daripada mereka memenuhi bar-bar dan restoran yang banyak terdapat di sepanjang jalan.
Ada sederetan bazar tradisional di hadapan Palladium Mall yang menjual pelbagai jenis makanan. Saya sendiri tidak melepaskan peluang merasai sejenis kuih tempatan yang dipanggil trdlo.
Trdlo ialah doh manis yang digulung tipis sebesar penumbuk dan digelek ke atas taburan serbuk gula halus dan serbuk kayu manis serta kekacang kemudian dipanggang di atas bara. Rasanya sedap seperti cinnamon roll.
Selepas berjalan di kawasan sekitar Námstí Republiky, saya singgah di sebuah restoran India Utara yang terletak sekitar 200 meter dari Palladium Shopping Mall untuk menikmati nasi beriyani dan hidangan berempah, lamb rogan josh.
Penduduk Muslim
Cuaca di Prague pada keesokan harinya sangat bagus. Matahari bersinar cerah dan tidak begitu dingin seperti hari sebelumnya.
Saya menuju ke sebuah masjid kecil yang tidak jauh dari kedudukan hotel. Kebetulan, untuk santapan tengah hari, terdapat sebuah restoran Turki iaitu Istanbul Restaurant di hadapan masjid tersebut.
Di situ, saya bertemu beberapa orang warga Malaysia yang turut bersolat Jumaat. Kebanyakan daripada mereka ialah penuntut universiti yang mengambil jurusan perubatan.
Ramai orang Muslim di kota Prague. Rata-rata mereka datang dari wilayah bekas Soviet Union seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Afghanistan serta beberapa orang berketurunan Arab.
Sejurus selepas itu, saya menyambung perjalanan menyusuri jalan-jalan kecil dan lorong sempit dari Wenceslas Square sehingga ke Josefov yang merupakan penempatan lama kaum Yahudi yang masih terpelihara.
Selain penempatan kaum ini, masih terdapat beberapa synagogue atau rumah ibadat kaum Yahudi, tanah perkuburan mereka dan beberapa monumen penting masyarakatnya.
Ternyata kota ini mempunyai ratusan buah bangunan lama dari Zaman Pertengahan yang tinggi nilai seni binanya. Ia masih kukuh dan menarik lantaran dijaga dengan sempurna.
Kedai cenderamata
Kawasan persekitaran pula sungguh bersih. Deretan kedai menjual cenderamata mudah ditemui dan rata-ratanya menjual kaca kristal berkualiti tinggi serta mewah.
Hampir semua cenderamata di sini dihasilkan oleh pengusaha tempatan. Jarang sekali dapat melihat yang ‘Made In China’, lalu menjadikan cenderamata di Prague agak mahal berbanding di kota-kota besar Eropah lain.
Saya tidak melepaskan peluang membeli beberapa kristal kegemaran saya iaitu kristal Bohemia dan kraftangan kayu seperti kotak muzik.
Petang Jumaat itu, saya sengaja untuk tidak melintas Charles Bridge yang menghubungkan Old Town dan Lesser Town. Saya bersiar-siar di sepanjang tebing Sungai Vlata, melihat keindahan bangunan-bangunan di seberang sungai termasuk Istana Prague.
Saya berhenti dan duduk di sebuah kerusi menghadap sebuah taman yang berlatarbelakangkan sebuah bangunan lama yang indah. Sempat juga saya berkenalan dan berbual-bual dengan seorang pelajar warga tempatan yang kebetulan sedang bersantai di situ.
Kota selamat
Di sekitar Wenceslas Square yang bertentangan dengan National Museum, ada pondok menjual kebab halal yang diusahakan penjual berketurunan Turki.
Sebungkus kebab ayam yang lazat dan secawan besar kopi dari Starbucks sudah cukup mengenyangkan saya pada malam itu. Berjalan-jalan seorang diri di lorong sempit dan sunyi di Prague tidak sama sekali membuatkan saya merasa takut atau cemas.
Kota ini selamat, walaupun ada ketikanya bertembung dengan warga kulit hitam yang kelihatan seperti penyangak, kaki-kaki mabuk, pengemis dan golongan gelandangan.
Selalunya saya tidak membawa kamera atau wang yang banyak ketika berjalan-jalan pada waktu malam. Wang hanya cukup untuk makan dan minum, membeli barangan serta tambang pengangkutan.
Sabtu pagi, saya menuju ke Wenceslas Square untuk bertemu dengan kenalan bernama Adi, seorang pelajar warga Malaysia yang sedang menuntut kursus perubatan di sebuah universiti di luar kota Prague.
Sudah hampir tiga tahun kenalan saya itu menuntut di Republik Czech atas tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Banyak cerita suka duka dikongsi oleh Adi, khususnya mengenai kehidupan sebagai penuntut di sebuah negara bekas jajahan Russia.
Bersamanya, saya dibawa melihat beberapa buah tempat menarik termasuklah berlegar-legar di Malostranska sambil membeli cenderamata di sepanjang Mostecka sehingga ke Charles Bridge.
Ada sebuah kedai yang menjual barangan kaca kristal menyatakan bahawa ramai pelancong Malaysia datang ke kedainya kerana harga yang berpatutan. Saya juga terlihat sekeping not kertas RM1 di sudut juruwang.
Cuaca yang sangat sejuk dan berangin pada petang hari itu membuatkan kami mudah lapar, maka beberapa kali berhenti untuk minum dan makan. Malam terakhir di kota Prague kami habiskan dengan bersantai di beberapa buah kafe.
Seawal pagi keesokannya, saya sudah bersiap sedia untuk meninggalkan kota Prague. Banyak kenangan manis dirasai sepanjang berada di kota indah ini.
Sebenarnya amat mudah mengunjungi tempat-tempat menarik di Prague. Oleh kerana kota ini tidak begitu besar, kebanyakan tempat pelancongan berada dalam radius yang mudah dilawati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: