DILATARI panorama ruang angkasa di sekitar bandar raya Kuching, Sarawak, Pullman Kuching merupakan destinasi percutian bertaraf lima bintang yang terletak di atas bukit di Jalan Mathies di bandar raya itu.
Kedudukannya yang terletak di tengah-tengah Segi Tiga Emas di Kuching membuatkan hotel itu tidak pernah sunyi sama ada siang atau malam.
Di situ, pengunjung bebas membeli-belah mengunjungi pusat hiburan, menikmati makanan lazat, berurusan di institusi kewangan dan pejabat berhampiran.
Justeru tidak hairanlah, sejak dibuka pada tahun 2009, hotel itu sentiasa menjadi tumpuan golongan ahli perniagaan dan pelancong yang mahu merasai pengalaman bercuti di kota dalam suasana penuh santai dan mewah.
Mengetengahkan konsep moden dan kontemporari, hotel itu menawarkan 389 bilik secara keseluruhan.
Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan bergantung kepada bajet pengunjung bermula daripada superior, deluxe, junior suites, family, executive, premier suite dan golden suite yang mewah bercirikan eksklusif bersesuaian dengan status penghuninya.
Menariknya, pengunjung yang menginap hotel itu bakal disajikan dengan keindahan Sungai Santubong yang mengasyikkan serta panorama sekitar bandar raya yang pesat membangun di sekelilingnya.
Bagi keselesaan pengunjung, setiap bilik dilengkapi pelbagai kemudahan. Antaranya kemudahan pendingin hawa, televisyen satelit, perkhidmatan bilik, jalur lebar berkelajuan tinggi, peti ais mini, peti keselamatan dan peralatan aktiviti kecergasan.
Pullman Kuching juga sentiasa memahami keperluan individu pelanggannya dengan menyediakan bilik khas seperti bilik tidak merokok dan bilik untuk orang kelainan upaya (OKU).
Kuisin antarabangsa dan Asia
Kunjungan ke hotel itu seakan tidak lengkap sekiranya tidak mencuba pelbagai gastronomi yang ditawarkan oleh rangkaian kafe dan restoran bercita rasa tinggi di situ.
Di Puzzle, pengunjung berpeluang menikmati hidangan bufet dan ala carte dalam suasana santai dan penuh eksklusif.
Mengetengahkan menu antarabangsa bersama kuisin Asia, pengunjung pasti teruja menikmati hidangan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam yang sediakan oleh chef-chef berpengalaman.
Bagi mereka yang menggemari masakan tradisional Cina pula, konsep dapur terbuka di restoran Nui Er Hong boleh dijadikan pilihan.
Sementara itu, jika mahu bersantai bersama teman-teman sambil menikmati snek ringan, Cafe Ch@t adalah jawapannya. Nikmatilah, aneka pilihan kopi, teh, jus segar atau hidangan pencuci mulut seperti ais krim buatan sendiri, roti dan pastri.
Pullman Kuching juga menyediakan beberapa pilihan bar dan lounge bagi pengunjung, yang mahu menikmati minuman pilihan sambil berhibur mendengar alunan muzik pada waktu malam. Ia boleh dinikmati tatkala berkunjung di Deja Vu atau di Liquid.
Tidak sekadar itu, pengunjung boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di hotel itu. Pengunjung boleh bersenam di gimnasium yang lengkap dengan pelbagai peralatan terkini serta khidmat jurulatih peribadi.
Di samping itu, terdapat juga kemudahan bilik jakuzi, sauna dan kolam renang.
Pengunjung yang mahu menghilangkan tekanan sambil membelai tubuh bolehlah berkunjung ke Fit Spa Lounge. Ia menyediakan bilik rawatan eksklusif dan spa berkonsepkan Bali yang kembali menyegarkan selepas dibelai oleh pakar-pakar terapi bertauliah di situ.
|
|
Persekitaran dan kemudahan yang dimiliki turut membolehkan pengunjung memilih tempat yang sesuai untuk mengendalikan mesyuarat, seminar, konvensyen dan lain-lain kegiatan perniagaan.
Dewan Ballroom seluas 1,615 meter persegi mampu memuatkan kira-kira 1,500 hingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa.
Di samping itu, ia turut mempunyai sembilan bilik serba guna untuk acara berskala kecil. Ia dilengkapi sistem audio, visual dan pencahayaan yang berteknologi tinggi.
Bosan menginap di hotel semata-mata, apa kata berkunjung ke Hills Shopping Mall yang terletak bersebelahan.
Jika tidak, ambil teksi dan lawatilah beberapa tarikan pelancongan menarik di sekitarnya seperti Kampung Budaya Sarawak, Pantai Damai, Taman Negara Bako dan Pusat Hidupan Liar Semenggok sambil bermesra dengan orang utan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: