Saturday, June 2, 2012

Hyundai i20: Pengganti Hyundai Getz


ENJIN diesel 1.1 liter yang dipasang pada model kompak Hyundai mendahului pasaran dengan kadar emisi karbon paling rendah.


HYUNDAI i20 mungkin asing untuk kita. Masakan tidak, walaupun telah mula dijual sejak tahun 2008, namun model itu tidak pernah sampai ke Malaysia. Walau bagaimanapun, kita senasib dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan kerana model itu juga tidak dipasarkan di sana.

Di kedua-dua buah negara tersebut, Hyundai Accent hatchback digunakan sebagai penutup vakum segmen model itu. Ingin saya kongsi bahawa i20 sebenarnya lebih dekat dengan kita. Ini kerana model itu sebenarnya adalah pengganti kepada Hyundai Getz.

Tidak dapat dipastikan kenapa i20 tidak dibawa masuk ke Malaysia. Sehingga kini, segmen itu masih dibiarkan kosong oleh Sime Darby selaku pengedarnya. Kalau diteliti, model itu merupakan pesaing yang agak bagus untuk model-model seangkatannya seperti Honda Jazz, Suzuki Swift atau mungkin juga Perodua Myvi Extreme.

Di Eropah, segmen kereta super-mini sebegitu memang lumayan. Maka tidak hairanlah jika i20 merupakan antara model penting untuk Hyundai. Sekiranya tidak dijual di negara kita pun apalah sangat jika dibandingkan dengan saiz pasaran sebuah negara Eropah.

Baru-baru ini, i20 baharu diperkenalkan di United Kingdom (UK). Ini merupakan satu lagi perkembangan Hyundai dalam portfolio produk mereka. Model itu menerima beberapa perubahan pada bahagian luara dan dalaman dengan opsyen enjin diesel kecil iaitu hanya bersesaran 1.1 liter.

Luaran kereta menerima perubahan kosmetik yang lebih kontemporari serta selari dengan varian i Hyundai. Pada bahagian kabin pula, material plastik yang lebih baik digunakan dan konsol tengahnya direka semula. Tempat duduknya juga menerima kemasan baharu.

Opsyen enjin

Antara opsyen rangkaian kuasa enjin yang ditawarkan ialah enjin baharu 1.1 liter, tiga silinder 'U-II' diesel berkuasa 75PS. Digabungkan dengan teknologi Blue Drive Hyundai, emisi karbon dioksida (CO2) hanya 84g/km. Ini sekali gus menjadikannya enjin diesel dengan emisi paling rendah dijual di pasaran.

Enjin tersebut dibangunkan jauh dari Korea Selatan iaitu di Pusat Kecemerlangan Diesel Hyundai yang merupakan sebahagian daripada fasiliti penyelidikan dan pembangunan Eropah Hyundai di Russelsheim, Jerman.

Enjin kecil itu ditawarkan bersama enjin 1.4 liter 'U-II' berkuasa 90PS dengan 96g/km CO2, juga dengan teknologi Blue Drive. Bagi mereka yang tidak gemarkan enjin diesel, Hyundai turut memberi dua opsyen enjin petrol iaitu 1.2 liter berkuasa 85PS dan 1.4 liter berkuasa 100PS.

i20 baharu boleh didapati dalam tiga kemasan iaitu Classic, Active dan Style. Varian Classic mempunyai peralatan standard. Antaranya, ialah enam beg udara, ESP dan buat pertama kali untuk model i20 iaitu Vehicle Stability Management (VSM).

Bagi varian Active pula, peralatan standard ekstra disediakan yang merangkumi roda aloi 15 inci, Bluetooth dengan ciri pengecaman suara, lampu kabus hadapan, stereng dan tombol gear dibalut kulit.


SEPERTI biasa, papan pemuka Hyundai nampak sibuk dengan pelbagai butang kawalan.


Varian Style, iaitu model dengan spesifikasi penuh dilihat lebih ekstra dengan lampu utama automatik, pengilap cermin depan dengan alat pengesan (sensor) hujan, kawalan suhu serta cermin pandang belakang dengan pemalap yang disatukan dengan kamera undur.

Lazimnya, ciri-ciri standard tersebut hanya boleh didapati pada kereta-kereta yang lebih besar dan mewah. Namun, seperti biasa taktik Hyundai adalah melambakkan semua peralatan tersebut di dalam kereta biasa demi mewujudkan pakej yang lebih nilai untuk wang.

Bagi pembeli yang mahukan lebih teknologi dan peralatan canggih, mereka boleh memesan Convenience Pack yang terdiri daripada sistem kemasukan tanpa kunci (keyless entry), butang START/STOP, pemegang pintu krom dan kluster penyeliaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Hyundai Motor UK, Tony Whitehorn menyatakan bahawa i20 baharu ialah sebuah lagi model dalam barisan produk dengan imej baharu Hyundai. Ia pasti dapat menarik perhatian pelanggan sedia ada. Di samping menjadi satu pilihan menarik untuk pembeli muda yang belum pernah menyenarai pendek Hyundai sebagai pilihan mereka.

“Model ini menerima pembaharuan pada ruang dalaman dan luarannya. Dengan spesifikasi yang begitu tinggi, ia bakal menarik perhatian pelanggan yang mahukan sesuatu yang bernilai untuk wang tanpa berkompromi dengan kualiti.

“Sebagai tambahan, i20 didatangkan dengan enjin diesel paling bersih dengan CO2 cuma 84g/km. Ini membuktikan usaha Hyundai dalam mengoptimumkan teknologi sedia ada untuk mengurangkan penggunaan minyak dan emisi pada barisan kereta Hyundai,” kata Whitehorn.

Harga i20 tiga pintu varian Classic dengan enjin 1.2 petrol bermula daripada £P9,995 manakala varian tertingginya iaitu 1.4 CRDi Style berharga £14,295. Jika ditukar kepada kadar semasa harganya ialah kira-kira RM49,000 hingga RM70,000. Tiada masalah untuk diterima pasaran jika julat harga tersebut ditawarkan.

Walau bagaimanapun kita tidak tahu kerja belakang tabir dan mungkin banyak faktor lain yang menyebabkan model itu tidak dibawa masuk ke sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: